Friday, September 24, 2010

MEMAHAMI POLISEMI DALAM PEPERIKSAAN PMR

Kategori : Tatabahasa PMR



Dalam pertuturan sehari-hari, kita sering terdengar kata-kata yang mempunyai pelbagai makna. Hal ini demikian kerana sesuatu makna bukan sahaja membawa makna seperti yang terdapat dalam kamus semata-mata, tetapi dilihat juga dalam konteks penggunaannya. Dalam bahasa Melayu, terdapat beberapa banyak perkataan yang mempunyai makna yang pelbagai. Misalnya, perkataan badan yang mendukung makna tubuh, luka membawa makna cedera dan boleh juga membawa maksud tersinggung. Perkataan Beradu yang bermakna tidur boleh juga membawa maksud berlawan atau bertanding. Makna yang pelbagai atau disebut polisemi dalam kajian semantik merujuk kepada sesuatu perkataan atau frasa yang mendukung dua atau lebih makna yang berbeza-beza. Perkataan yang polisemi adalah serupa dari segi bentuk dan ejaan tetapi berbeza makna berdasarkan konteks yang berlainan.
Konteks sememangnya sangat nyata boleh menentukan makna sesuatu perkataan atau sesuatu ujaran. Konteks dibahagikan kepada dua, iaitu konteks ayat dan konteks situasi atau disebut juga sebagai latar ujaran. Ada tiga perkara yang terlibat dalam konteks situasi:
  1. Orang yang mengambil bahagian dalam pertuturan.
  2. Tajuk atau perkara yang diperkatakan.
  3. Kesan daripada pertuturan tersebut.

Dalam masyarakat Melayu, seorang anak tidak boleh menggunakan perkataan "aku" atau "engkau" apabila bertutur dengan ibu bapa kerana perbuatan ini dianggap membawa konotasi yang tidak sopan. Tetapi perkataan "aku" dan "engkau" membawa konotasi kemesraan apabila digunakan semasa bertutur dengan kawan rapat.

Tajuk perbincangan atau perkara yang diperkatakan juga dianggap sebagai satu daripada aspek penting dalam konteks situasi. Sebagai contoh, perkataan "pasang". Kalau dikait dengan tajuk "keadaan sungai", perkataan itu membawa pengertian "air naik atau pasang", tetapi kalau dibincangkan dalam konteks tatabahasa, perkataan ini berfungsi sebagai "penjodoh bilangan".

Ayat ialah unsur bahasa yang penting dalam penentuan makna sesuatu perkataan. Sesuatu perkataan mungkin berubah terus maknanya sekiranya digunakan dalam konteks ayat yang berlainan atau mungkin juga hanya mengalami perbezaan makna yang kecil sahaja.

Oleh itu, untuk MENJAWAB SOALAN No 15 HINGGA 17 Kertas 1 PMR yang menguji kata banyak makna iaitu POLISEMI dalam bahasa MELAYU, pelajar harus selalu berdampingan dengan KAMUS.

Untuk mendapat latihan Ujian Polisemi dalam Kertas 1 PMR Sila Klik dan berbincanglah jawapan dengan GURU BM anda.



Read more

Thursday, September 16, 2010

AMALAN MEMBACA

Bank : Penulisan PMR


Lihat gambar di bawah ini dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang amalan membaca. Panjang huraian anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.







Berdasarkan soalan di atas, pelajar bebas mengemukakan pendapat tentang amalan membaca. Pelajar boleh mengemukakan pendapat berdasarkan skop yang berikut iaitu:


a. mengemukakan pendapat tentang faedah membaca.


b. menjelaskan usaha-usaha untuk meningkatkan minat membaca.


c. memperkatakan sikap rakyat negara kita tentang amalan membaca, atau


d. membincangkan faedah dan usaha meningkatkan minat membaca.



Pelajar boleh menulis karangan berdasarkan mana-mana skop di atas. Seperti kebiasaan pelajar hendaklah membuat rangka karangan terlebih dahulu sebelum menulis. Yang berikut dikemukakan contoh rangka karangan bagi skop (a) di atas, iaitu pendapat tentang faedah membaca.



Rangka


Pendahuluan

  • Membaca penting kerana banyak faedahnya

Isi karangan

  • Menambah maklumat - tahu perkembangan semasa - tidak seperti katak di bawah tempurung.

  • Menambah kosa kata dan gaya bahasa - cemerlang dalam pelajaran.

  • Mengisi masa lapang secara berfaedah - "masa itu emas".

Penutup

  • Membaca perlu dijadikan budaya untuk melahirkan masyarakat yang berilmu.


Berdasarkan rangka di atas, sila kilik untuk mendapatkan contoh karangan yang dianggap cemerlang tahap PMR kerana penulisnya dapat:

  1. mengemukakan dan menghuraikan isi karangan dengan tepat.
  2. benar-benar memahami konsep huraian isi karangan iaitu menjawab soalan "bagaimana" dan "mengapa".
  3. memanfaatkan peribahasa untuk menjadikan persembahan menarik.
  4. karangan bebas daripada kesalahan bahasa.
  5. ayat gramatis tiada kesalahan tatabahasa dan ejaan.
  6. karangan ini mencakupi kosa kata luas dan tepat.




Read more

Tuesday, September 14, 2010

KAEDAH MERINGKAS KARANGAN PMR

Soalan mata pelajaran Bahasa Melayu Kertas 2 PMR mengandungi empat bahagian, iaitu Bahagian A, Bahagian B, Bahagian C dan Bahagian D. Bahagian A menawarkan 30 markah kepada calon peperiksaan yang merangkumi dua pecahan soalan yang jelas, iaitu:
  • Soalan A (i) MERINGKAS KARANGAN dengan markah yang diperuntukkan ialah 20 markah.
  • Soalan A (ii) PEMAHAMAN dengan peruntukan markah sebanyak 10 markah

Secara keseluruhannya, bahagian A merupakan bahagian yang bersifat paling mesra dengan calon. Soalan pada bahagian ini memberikan ruang yang cukup luas kepada calon untuk memperoleh markah pada kadar yang baik , terutama kepada pelajar yang tergolong dalam kumpulan lemah.

Oleh sebab itu, soalan Bahagian A, khususnya soalan A(i) dianggap sebagai soalan bantu lulus kepada kumpulan pelajar lemah. Hal ini demikian kerana sifat kehendak soalannya yang mudah dikesan oleh calon peperiksaan. Untuk mendapat pemahaman secara jelas tentang kehendak soalan SILA KLIK pautan yang disediakan.

Read more

Wednesday, September 8, 2010

UCAPAN SELAMAT HARI RAYA



Suara Takbir

Dengar beduk berbunyi

Sayup bergema di subuh sunyi

Memanggil kepada muslimin

Segera berbakti kepada Illahi

Suara azan menyahut

Terdengar sayup memecah sunyi

Memohon restu dengan bakti

Kepada Illahi Tuhan Maha Suci

Terdengar suara takbir

Memuji nama Illahi

Rasa dalam kalbu

Tenteram dan aman selalu

Kini tiba masanya

Hati gembira di hari raya

Bertemu sanak dan saudara

Bermaaf-maafan dengan keikhlasan

Read more

Bank SPM: Karangan Bhg A

KARANGAN BERDASARKAN BAHAN RANGSANGAN merupakan karangan pendek, iaitu karangan yang panjangnya sekitar 200 hingga 250 patah perkataan, berdasarkan maklumat atau pembayang yang diberikan. Bahan grafik, gambar kartun, gambar foto, bahan prosa dan sebagainya dapat dijadikan bahan rangsangan untuk membimbing calon SPM untuk menghasilkan karangan pendek.
Walau bagaimanapun karangan berdasarkan bahan rangsangan perlu sekurang-kurangnya terdiri daripada lima perenggan, iaitu pengenalan, tiga isi dan kesimpulan. Pengenalan dan kesimpulan karangan jenis ini ditulis lebih kurang tiga ayat, panjang setiap isi pula dalam lingkungan lima hingga enam ayat. Oleh sebab 30 markah diperuntukkan, calon dinasihati agar menggunakan masa tidak melebihi 45 minit untuk menjawab soalan. Sebaik-baiknya calon menggunakan 10 minit untuk mentafsir dan merangka isi, 30 minit menulis atau mengedit, dan lima minit untuk menyemak karangan.
Untuk menghasilkan karangan berdasarkan bahan rangsangan yang baik, karangan yang dihasilkan hendaklah menepati tema atau kehendak soalan yang digambarkan dalam PENANDA TUGASAN. Isi karangan pula perlu dihuraikan dengan paparan fikiran yang jelas dan matang, sesuai dengan isu atau tema yang diketengahkan dalam soalan. Bahasa yang digunakan hendaklah gramatis dari segi penggunaan kata dan ayat. Dengan kata lain, calon patut menggunakan kosa kata yang mencerminkan mutu bahasa peringkat SPM serta menguasai struktur ayat, jenis ayat dan ragam ayat bahasa Melayu dengan baik.
Selain itu, karangan calon hendaklah bebas daripada kesalahan ejaan dan penggunaan tanda baca mestilah tepat. Untuk menjalin idea dengan baik, calon hendaklah memaparkan keupayaan penggunaan penanda wacana dan kata hubung dengan betul di tempat yang sesuai. Gaya bahasa penulisan calon perlu dititikberatkan dengan menyelit peribahasa Melayu, seperti simpulan bahasa, pepatah, bidalan, dan perumpamaan, atau kata-kata hikmat, cogan kata yang sesuai dengan konteks isi yang disentuh. Bagi calon yang arif dalam agama, ayat daripada kitab suci boleh dipetik untuk mengukuhkan hujah yang ingin disampaikan.
Bagi calon yang akan menduduki SPM silalah muat turun di sini untuk melihat contoh karangan Kertas 1 Bahagian A berdasarkan bahan rangsangan.
Read more

Monday, September 6, 2010

Prosa Tradisional Ting 1 Budi Baik Seorang Bapa Angkat

Kemangkatan Tuanku Si helang Laut dan Permaisurinya di Bandar Mengkalih menyebabkan anaknya awang Sulung Merah Muda dipelihara oleh Datuk Batin Alam dan Uli Emak Si Anjung. Kemudian Awang Sulung dihantar mengaji Quran dan merawi di rumah Tuan Kadi Alim. Awang dapat membaca hingga khatam pada malam ketujuh. Seterusnya Awang Sulung diajar ilmu bahasa akal dan bahasa Arab di rumah Tuan Malik Kecil. Dalam masa yang singkat sahaja Awang Sulung dapat menguasai ilmu yang dipelajarinya.
Awang Sulung kemudian diajar ilmu persilatan oleh bapa saudara yang memeliharanya, Datuk Batin Alam. Sesudah mahir, Awang Sulung dikhatankan oleh Datuk Mudim Raja dalam satu majlis yang gemilang. Setelah sembuh daripada khatan, tukang mengasah gigi dipanggil ke istana. Baja kayu disapu ke gigi Awang Sulung menjadikan sesiapa yang terpandang Awang Sulung akan terpikat.
NILAI MURNI
  • Kasih sayang

Contohnya: Datuk Batin Alam amat mengasihi anak saudaranya Awang Sulung Merah Muda menyebabkan perhatian dan segala ilmu diberikan kepada kanak-kanak itu.

  • Tanggungjawab

Contohnya: Datuk Batin Alam memberikan pendidikan hal berkaitan dunia dan akhirat kepada Awang Sulung Merah Muda.

  • Ketaatan

Contohnya: Awang Sulung Merah Muda taat kepada arahan bapa saudaranya kerana dia mengetahui tindakan bapa saudaranya untuk kebaikannya juga.

PENGAJARAN

  • Kita perlu bertanggungjawab terhadap saudara yang terdekat

Contohnya: Datuk Batin Alam mengambil keputusan memelihara Awang Sulung Merah Muda setelah kedua-dua orang tua kanak-kanak itu meninggal dunia.

  • Kita hendaklah memberi ilmu yang secukupnya kepada anak-anak

Contohnya: Datuk Batin Alam memberi ilmu dalam hal berkaitan dunia dan akhirat kepada anak angkatnya, Awang Sulung Merah Muda.

  • Kita hendaklah patuh kepada kedua-dua orang yang lebih tua

Contohnya: Awang Sulung Merah Muda patuh setiap arahan dan nasihat bapa angkatnya, Datuk Batin Alam

Read more

KOLEKSI COGAN KATA

  1. Bahasa Jiwa Bangsa
  2. Bangsa Membaca Bangsa Berjaya
  3. Membaca Jambatan Ilmu
  4. Membaca Sepanjang Hayat
  5. Guru Pembina Negara Bangsa
  6. Guru Cemerlang, Pelajar Gemilang, Negara Terbilang
  7. Belia Benci Dadah
  8. Belilah Barangan Buatan Malaysia
  9. Biar Lambat Asal Selamat
  10. Cegah Sebelum Parah
  11. Belia Benci Dadah
  12. Dadah Musuh Negara
  13. Dadah Musuh Nombor 1
  14. Bersih Cekap Amanah
  15. Kepimpinan Melalui Teladan
  16. Keranamu Malaysia
  17. Malaysia Boleh
  18. Generasi Muda Wawasan Bangsa
  19. Genarasi Muda Peneraju Wawasan
  20. Filem Kita Wajah Kita
  21. Indah Budi Kerana Bahasa
  22. Remaja Penggerak Wawasan
  23. Rumahku Syurgaku
  24. Semakin Hari Semakin Sayang
  25. Sihat Sepanjang Hayat
  26. Sayangilah Sungai Kita
  27. Fikir Dahulu Sebelum Buang
  28. Utamakan Kesihatan
  29. Tak Nak Merokok
  30. Satu Malaysia
Read more

Saturday, September 4, 2010

PENDAPAT TOKOH

PENDAPAT TOKOH ( RUJUKAN TOKOH ) AMAT DIGALAKKAN UNTUK DIGUNA DALAM PENULISAN KARANGAN.
Persoalannya, Mampukah pelajar mengingati semua pendapat tokoh ini? Di sinilah pelajar perlu menggunakan kebijaksanaan fikiran dan kehebatan minda untuk memilih pendapat tokoh yang bersifat "UMUM" yang dapat disesuaikan dengan pelbagai tema karangan. SELAMAT MENCUBA!
  1. Buku merupakan penasihat yang kekal. Chambers
  2. Jangan bertanya apa sumbangan negara kepadamu, tetapi tanyalah apa yang boleh kamu sumbangkan untuk negara. Abraham Lincoln
  3. Jangan memikirkan masa lampau atau masa akan datang, tetapi tawanlah saat ini dan ambillah manfaatnya. Pascal
  4. Jika kita membenci orang, orang akan membenci kita. Pepatah Tibet
  5. Kejahatan yang dilakukan oleh manusia tetap hidup, walaupun orang itu telah mati. Shakespeare
  6. Kesedaran walaupun sesaat, sering kali berharga berbanding pengalaman sepanjang hayat. Oliver Wendell Holmes
  7. Keyakinan akan memotivasikan diri anda untuk melangkah lebih tinggi. Dr. Irfan Khairi, jutawan internet di Malaysia
  8. Masa umpama pedang. Jika kamu tidak memancungnya, masa pasti akan memancung kamu. Pepatah Arab
  9. Merancang masa bermakna merancang kejayaan. Dr. Irfan Khairi
  10. Orang yang bijaksana akan sentiasa dilanda kebimbangan. Zhuang Zi
  11. Orang yang rajin dan tabah tidak mudah mengatakan sesuatu itu, tiada harapan. Cicero
  12. Orang yang budiman ialah orang yang menghargai dan mengakui kelebihan bakat temannya. Confucious
  13. Orang yang berfikiran besar merupakan orang yang melihat bahawa fikiranlah yang bakal menguasai dunia. Napoleon Hill
  14. Pengalaman ialah guru terbaik. Cicero
  15. Usia tua datang tanpa dipanggil. Pepatah Jerman
  16. Rakyat itu akar bangsa. Jika akarnya sihat, maka pokoknya pun sihat. Beng Tju
  17. Seseorang yang mempunyai perancangan dapat mengatasi sepuluh orang yang tidak mempunyai perancangan. Frank Tibolt
  18. Tiada kejahatan yang dapat dinilai sebagai baik, walaupun kejahatan itu dilakukan untuk tujuan baik. Pepatah Arab
  19. Manusia dilahirkan untuk meraih kejayaan, bukan untuk mengalami kegagalan. Henry Thoreau
  20. Wajah ialah saksi yang tidak pernah berdusta. Socrates
Read more

Prosa Tradisional Ting 1 Taju'l Muluk

Raja Zainu'l Muluk yang memerintah Syarqastan dalam keadaan gering. Menurut nujum, penyakit baginda akan sembuh sekiranya memperoleh bunga bakawali. Keempat-empat anak baginda pergi mencari bunga bakawali, kecuali Taju'l Muluk. Sudah lama merantau, putera baginda tidak juga kembali kerana termasuk perangkap Puteri Jenuh Hati yang pandai bermain catur menyebabkan Taju'l Muluk pergi mencari.
Taju'l Muluk bekerja dengan seorang amir dan setiap hari selama dua jam dihabiskan bermain catur. Setelah dia mahir, dia pun pergi ke mahligai Puteri Jenuh Hati untuk menyelamatkan adik-adiknya. Untuk mendapat masuk ke mahligai tersebut, Taju'l Muluk terpaksa mengaku seorang perempuan tua sebagai neneknya. Menurut nenek itu, kehebatan Puteri Jenuh Hati bermain catur kerana memelihara seekor kucing dan tikus. Sekiranya baginda hendak kalah, segera diisyaratkan kepada kucin, kemudian kucing akan menggoyangkan kepalanya, lalu padamlah pelita itu. Ketika itulah tikus akan keluar mengacau buah catur. Strategi ini digunakan menyebabkan baginda dapat mengalahkan beratus-ratus orang raja.
Apabila mengetahui akan rahsia itu, Taju'l Muluk membeli seekor musang dan diajar anak musang itu, Apabila dia memetik tangan, keluarlah musang itu. Dengan menggunakan kuda dan memakai pakaian lengkap, Taju'l Muluk pergi ke mahligai Puteri Jenuh Hati. Puteri Jenuh Hati melayan kedatangan Taju'l Muluk dengan baik. Kemudian Taju'l Muluk mengajak Puteri Jenuh Hati bermain catur. Dalam pusingan pertama, Taju'l Muluk kalah. Ketika pusingan kedua, Puteri Jenuh Hati hampir kalah, lalu baginda memberi isyarat kepada kucing, menyebabkan pelita terpadam dengan sendirinya. Taju'l Muluk kemudian memberi isyarat kepada anak musangnya, lalu anak musangnya itu mengejar tikus yang hendak mengacau catur. Oleh sebab Puteri Jenuh Hati tidak dapat menipu, baginda kalah teruk di tangan Taju'l Muluk.
Setelah harta benda Puteri Jenuh Hati habis, Taju'l Muluk membuat pertaruhan dengan Puteri Jenuh Hati. Menurutnya jika dia kalah, baginda boleh mengambil harta yang dimenanginya. Manakala, sekiranya baginda yang kalah, dia akan mengambil semua harta yang tinggal milik Puteri Jenuh Hati. Akhirnya pertandingan itu memihak kepada Taju'l Muluk. Dia kemudiannya menceritakan tujuan dia datang ke mahligai tersebut. Akhirnya, adik Taju'l Muluk dibebaskan.
Menurut cerita Puteri Jenuh Hati, Bakawali merupakan anak raja yang besar kerajaannya. Di dalam taman puteri itu terdapat sebuah kolam dan di tengah kolam tersebut terdapat bunga bakawali yang dicari Taju'l Muluk selama ini. Untuk mencari kekuatan, Taju'l Muluk menceritakan kisah seekor harimau dengan Brahman. Dengan semangat yang kuat, Taju'l Muluk pergi ke sempadan negeri Bakawali. Setelah melalui pelbagai cabaran, akhirnya Taju'l Muluk menemui raksasa dan dia terpaksa berbaik-baik dengan raksasa tersebut. Dengan bantuan raksasa, jin telah membawa Taju'l Muluk terbang menemui Dewi Hamalah. Taju'l Muluk menunjukkan surat yang ditulis oleh raksasa. Apabila jin itu pulang, Dewi Hamalah mengahwinkan Taju'l Muluk dengan Puteri Mahmudah.
NILAI
  • Kasih sayang

Contohnya: Taju'l Muluk kasih akan ayahandanya menyebabkan dia pergi merantau untuk mendapatkan bunga bakawali agar penyakit ayahandanya dapat disembuhkan.

  • Baik hati

Contohnya: Perempuan tua yang dianggap penghulu mahligai Puteri Jenuh Hati telah melayan Taju'l Muluk dengan baik dan menganggap Taju'l Muluk seperti cucunya sendiri.

  • Keberanian

Contohnya: Taju'l Muluk seorang yang berani, antaranya sanggup berdepan dengan raksasa.

PENGAJARAN

  • Kita perlulah berkorban terhadap darah daging sendiri

Contohnya: Taju'l Muluk sanggup menghadapi pelbagai cabaran untuk memastikan saudaranya yang diculik Puteri Jenuh Hati dapat dibebaskan dan ayahandanya yang gering dapat disembuhkan.

  • Kita hendaklah jujur dalam setiap tindakan

Contohnya: segala tipu muslihat yang dilakukan oleh Puteri Jenuh Hati untuk menang dalam permainan catur janganlah diikuti.

  • Kita sewajarnya bijak menggunakan akal ketika menghadapi kecemasan

Contohnya: Taju'l Muluk menggunakan pelbagai muslihat apabila berhadapan dengan raksasa yang sebesar gunung yang mahu memakannya.

Read more

Friday, September 3, 2010

Klimaks dalam Novel KOMSAS Tingkatan Satu

Dalam kajian novel, aspek binaan plot merupakan satu perkara penting. Binaan plot merujuk kepada jalan cerita yang disampaikan oleh pengarang yang meliputi permulaan, perkembangan, klimaks dan peleraian.
Klimaks ialah kemuncak cerita yang menjadi titik paling tinggi dalam konflik watak utamanya. Sesebuah karya pasti memiliki titik klimaks kerana tanpa klimaks, cerita akan mendatar dan tiada daya tarikan.
Untuk memudahkan pelajar mengenal pasti klimaks yang terdapat dalam novel yang dikaji, terdapat beberapa perkara hendaklah diberi perhatian, iaitu klimaks ada kaitan dengan tema dan persoalan novel, klimaks biasanya melibatkan watak utama, klimaks membawa perubahan kepada diri watak dan klimaks menyelesaikan konfliks watak utama dengan watak lain.
Oleh sebab itu, klimaks dalam Novel Anak Din Biola ialah pengumuman Budiman sebagai Juara Bintang Kota Raya. Hal ini demikian kerana sepanjang perkembangan plotnya, fokus utama cerita ialah usaha Budiman untuk belajar bermain biola dan memenuhi wasiat bapanya. Maka, apabila Budiman diumumkan sebagai juara, terjawablah segala konflik yang diwujudkan sejak awal cerita.
Perkara ini dapat diringkaskan seperti yang berikut:
  • TEMA : Kegigihan seorang remaja melaksanakan amanat arwah bapanya supaya dia berjaya dalam bidang muzik.
  • WATAK UTAMA: Budiman.
  • KONFLIK: Memenuhi wasiat arwah bapa.
  • KLIMAKS: Budiman berjaya menjadi juara Bintang Biola Remaja Kota Raya.
  • PENYELESAI KONFLIK:Budiman berjaya memenuhi impian arwah bapanya.
Read more

Peribahasa Untuk Tema GAYA HIDUP SIHAT

Peribahasa Untuk Tema: Gaya Hidup Sihat/ Kesihatan/ Penyakit Berjangkit
  • Nasi sudah menjadi bubur : Sesuatu perbuatan/tingkah laku yang sudah terlanjur yang sudah tidak dapat dibaiki lagi.

Contoh: Seseorang yang telah mengidap sesuatu penyakit adalah sukar untuk disembuhkan semula.

  • Sediakan payung sebelum hujan : Kita hendaklah sentiasa beringat-ingat sebelum terjadi sesuatu yang kurang baik

Contoh: Oleh hal itu, kita perlulah beringat dan sentiasa berwaspada selalu dengan menjaga kesihatan sebelum sesuatu kejadian buruk menimpa diri kita.

  • Sudah terhantuk baru tengadah: Sesudah menerima kesusahan / kesulitan / masalah baru hendak beringat

Contoh: Apabila seseorang sudah mengidap penyakit yang berbahaya dan kronik seperti obesiti, darah tinggi, jantung, diabetis barulah sedar perlunya menjaga kesihatan.

  • Melentur buluh biarlah dari rebungnya: Mengajar anak biarlah sejak mereka kecil lagi

Contoh: Usaha untuk membudayakan pemakanan seimbang oleh ibu bapa kepada anak-anak perlu diterapkan semasa mereka masih kecil agar apabila mereka dewasa tentulah mereka sudah biasa dengan amalan pemakanan yang sihat.

COGAN KATA:

  1. Mencegah lebih baik daripada mengubati

Read more

SENARAI KABINET 2010

  1. Perdana Menteri Malaysia dan Menteri Kewangan : Datuk Seri Mohd Najib Razak
  2. Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran : Tan Seri Datuk Haji Muhyiddin Mohd Yassin
  3. Menteri Dalam Negeri : Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussin
  4. Menteri Pelancongan : Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen
  5. Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri : Datuk Mustapa Mohamed
  6. Menteri Kesihatan : Datuk Seri Liow Tiong Lai
  7. Menteri Belia dan Sukan : Datuk Ahmad Shabery Cheek
  8. Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna : Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob
  9. Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar : Datuk Douglas Unggah Embas
  10. Menteri Pengangkutan : Datuk Seri Kong Cho Ha
  11. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat : Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil
  12. Menteri Kerja Raya : Datuk Shaziman Abu Mansor
  13. Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan : Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim
  14. Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani : Datuk Haji Noh Omar
  15. Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi : Datuk Seri Maximus Ongkili

Read more

Thursday, September 2, 2010

KAJIAN NOVEL BUKAN DUNIAKU


Gara -gara merajuk dengan kedua-dua ibu bapanya. Halim mengambil keputusan untuk lari dari rumah. Hanya itu sahaja jalan yang terlintas dalam fikirannya ketika itu.
Namun begitu, Halim tersilap langkah. Perhitungannya telah membawa padah. Pertemuannya dengan abang Joe menambahkan lagi kekusutan sehingga dia terperangkap dengan tipu daya Abang Joe. Apakah yang terjadi selanjutnya. Untuk mendapat keseluruhan cerita anda perlu MEMBACA dari kulit ke kulit.
  • Untuk Mendapatkan PELBAGAI info tentang kajian Novel BUKAN DUNIAKU: Sila Klik
Read more

Cadangan Peribahasa / Cogan Kata dengan Tema Karangan

TEMA REMAJA dan MASALAH SOSIAL
  • Mencurah air ke daun keladi - Nasihat yang sia-sia

Contoh: Remaja yang tidak mahu dan mendengar nasihat daripada mereka yang lebih tua dan berpengalaman.

  • Seekor kerbau membawa lumpur habis semua terpalit - Disebabkan seorang sahaja yang bersalah habis semua mendapat malu.

Contoh: Kesan buruk / negatif kepada masyarakat kerana sikap segelintir remaja yang melencong daripada norma-norma masyarakat.

  • Kerana nila setitik rosak susu sebelanga - maruah masyarakat tercalar / rosak kerana keburukan seseorang

Contoh: Kesan negatif / masyarakat mendapat malu lantaran sikap beberapa remaja yang bersikap liar.

RUJUKAN TOKOH / KATA-KATA HIKMAT

  1. Bill Gates - Sekiranya kita mahu berubah selepas orang lain sudah berubah, sebenarnya kita tidak berubah.

Contoh: Nasihat kepada remaja supaya berubah ke arah positif dengan segera.

Read more

Contoh Penerapan Peribahasa dalam Ayat

  1. Hal ini bersesuaian dengan peribahasa ...
  2. Peribahasa Melayu ada mengatakan bahawa ..
  3. Hal ini jelas dinyatakan dalam peribahasa ...
  4. Orang tua-tua pernah berkata ...
  5. Situasi ini boleh diperjelas melalui peribahasa ...
  6. Perkara ini bertepatan dengan maksud peribahasa ...
  7. Ibu bapa hendaklah mengasuh dan mendidik anak-anak sejak kecil kerana kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya.
  8. Sebagai rakyat Malaysia kita mestilah mempertahankan negara kita daripada dijajah oleh musuh bak kata pepatah "biar putih tulang jangan putih mata"
  9. Kita hendaklah berusaha dengan bersungguh-sungguh dalam pelajaran demi masa depan kerana usaha tangga kejayaan.
  10. Sikap penduduk di taman itu yang selalu berbincang dan bermuafakat untuk melaksanakan sesuatu aktiviti ibarat hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah.
  11. Sikap seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing perlu dielakkan, sebaliknya sikap ke bukit sama didaki kelembah sama dituruni perlulah diamalkan dalam kalangan masyarakat setempat untuk memperkukuh perpaduan.
  12. Kita hendaklah menjaga perpaduan yang telah kita bina dengan menghindarkan perkara-perkara yang boleh menimbulkan ketegangan atau kehancuran ibarat telur sesangkak, pecah sebiji pecah semua.
  13. Sikap sesetengah rakyat yang menjadi seperti api di dalam sekam menyebabkan pihak asing cuba mencampuri urusan pentadbiran negara kita.
  14. Kita janganlah bermain api dalam keadaan negara kita yang aman damai ini kerana seekor kerbau yang membawa lumpur semuanya akan terpalit, iaitu kesilapan yang dilakukan oleh seseorang akan menyebabkan semua orang di sekelilingnya ditimpa kesusahan.
  15. Kita hendaklah membalas jasa ibu bapa yang telah memelihara dan membesarkan kita supaya kita tidak dikatakan bagai kacang lupakan kulit.

Read more

Wednesday, September 1, 2010

PENERAPAN PERIBAHASA DALAM KARANGAN

Cara menulis peribahasa dan ungkapan menarik dalam karangan adalah seperti berikut:
  • Menggunakan satu tanda petik '...'

Tanda petik jenis ini digunakan untuk menyatakan sesuatu tajuk atau bahagian yang difokuskan.

Contoh:

Peribahasa 'usaha tangga kejayaan' perlu dijadikan pegangan oleh sesiapa sahaja yang ingin mengecapi kejayaan dalam hidup ini.

  • Menggunakan dua tanda petik " ..."

Tanda dua petik digunakan untuk maksud konsep cakap ajuk atau unsur personifikasi, iaitu seolah-olah 'pepatah' itu manusia atau orang tua yang memberi nasihat atau berkata-kata.

Contoh:

  1. Ibu bapa hendaklah mendidik anak sejak kecil bak kata pepatah, "kalau hendak melentur buluh, biarlah dari rebungnya"
  2. Orang tua-tua mengatakan, "jauh perjalanan, luas pengalaman." ( Tiada kata hubung 'bahawa' )
  • Tanpa menggunakan tanda petik

Jika ayat tersebut berbentuk ayat cakap pindah atau keterangan, tanda petik tidak perlu digunakan.

Contoh:

  1. Setiap pelajar mestilah berusaha untuk mencapai kejayaan kerana kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.
  2. Ibu bapa sepatutnya menjadi model kepada anak-anak mereka kerana pepatah Melayu mengatakan bahawa bagaimana acuan begitulah kuihnya. ( Ada kata hubung bahawa )

Read more