Thursday, February 24, 2011

Sajak: Arkitek Kota

Arkitek Kota
( Muhammad Haji Salleh )
Sumber: Bahagian Pembangunan Kurikulum ( KPM )
hanya seniman peka
yang faham akan jiwa laut,
kenal lambung gelombangnya,
alur sungai serta diam batu,
perasaan musim,
fiil langit dan sabar bumi
berhak membina kota.
Kawasan kota sepatutnya dibangunkan oleh golongan yang benar-benar bertanggungjawab. Mereka merupakan golongan yang arif dan banyak pengetahuan tentang selok belok dan keadaan serta keperluan semasa kota yang hendak dibangunkan.
kerana arkitek matang itu anak di taman,
perenung di perpustakaan,
orang muda pulang bertandang di lorong malam,
pemunggah barang pasar di subuh hari,
pengadil di bangku bijaksana,
dan datuk bandar yang bangga.
Hal ini demikian kerana, mereka merupakan penghuni yang mendiaminya. Banyak kajian dibuat dan mengambil kira pandangan dan kepentingan pelbagai pihak yang menghuni kota tersebut.
dia harus sayangkan lagu burung,
pemancing di teduh pohon,
pemerhati tasik,
pengawas bintang,
dan bunga menjalar di beranda.
Perancang kota juga seharusnya seorang yang mencintai alam sekitar. Kehidupan flora dan fauna perlu dipelihara. Keindahan alam semula jadi perlu dipertahankan malah perlu diperindah dengan landskap yang mempersona.
pencipta kota ialah
pendekar muda dengan langkah berbagai-bagai,
kelakar tua yang mengampungkan cerita
orang bercinta yang perlukan bulan.
Orang yang membina kota merupakan generasi muda yang bukan sahaja luas ilmu pengetahuannya malah sarat dengan idea-idea bernas.
dia pengukir ruang hidup,
penghias suasana sempurna,
membenarkan penemuan,
memungkinkan kemungkinan.
Arkitek muda itu ialah orang yang menentukan kehidupan seterusnya dengan mempertahankan kebenaran dan berwaspada dengan sebarang kemungkinan.
Dari Seberang Diri.
Tema:
Keperluan pengetahuan dan pengalaman dalam melaksanakan pembangunan di kota.
Persoalan:
  1. Persoalan keprihatinan penting dalam memahami sesuatu keadaan. Hal ini penting suoaya sesuatu keadaan dapat difahami.
  2. Persoalan pembangunan kota perlu dilihat daripada pelbagai aspek. Pembangunan kota perlu dilihat menerusi pelbagai sudut.
  3. Persoalan kepentingan menjaga alam sekitar. Alam sekitar perlu dijaga.
  4. Persoalan generasi muda memiliki pelbagai idea bernas. Golongan ini mempunyai idea-idea baru yang bernas.

Nada:

  • Sinis

Gaya Bahasa:

1. Ayatnya pendek-pendek

  • Contohnya: perasaan musim

2. Diksi - mudah difahami

  • Contonya: pemerhati tasik

3. Aliterasi - Perulangan konsonan 'p'

  • Contohnya: perenung di perpustakaan

4. Asonansi - perulangan vokal 'i'

  • Contohnya: fiil langit dan sabar bumi

5. Kata ganda

  • Contohnya: berbagai-bagai

6. Metafora

  • Contohnya: jiwa laut, diam batu, perasaan musim

7. Perlambangan

  • Contohnya: pengadil, pemancing, pengawas, pendekar

Nilai:

  1. Nilai cinta akan alam sekitar. Alam sekitar perlu disayangi.
  2. Nilai bertoleransi. Nilai ini penting dalam menjalani kehidupan seharian terutamanya di kota.
  3. Nilai bertanggungjawab. Bertanggungjawab menjaga keindahan alam sekitar.
  4. Nilai bijaksana dalam membuat keputusan. Kebijaksanaan penting apabila membuat keputusan.
  5. Nilai rasional dalam semua sapek. Kerasionalan penting dalam semua aspek.

Pengajaran:

  1. Kita hendaklah mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang luas semasa merancang pembangunan.
  2. Kita hendaklah mengambil kira kepentingan rakyat ketika membangunkan negara.
  3. Kita perlulah membuat pertimbangan yang bijaksana sebelum membuat keputusan.
  4. Kita hendaklah memikirkan bencana alam yang mungkin timbul akibat pembangunan kota.
  5. Kita hendaklah menjadi perancang yang baik yang mempunyai pelbagai idea bernas dan alternatif.
Read more

Wednesday, February 16, 2011

Sajak: Di Bawah Langit yang Sama

Di Bawah Langit yang Sama
( Lim Swee Tin )
Sumber: Bahagian Pembangunan Kurikulum ( KPM )
Di bawah langit yang sama
Kita hirup udara
Tanpa mengira Beirutmu
Atau Kuala Lumpurku
Kita menghirup udara
Di bawah langit yang sama
Maksud: Penyajak menggambarkan bahawa walau di manapun kita berada, kita menghirup udara yang sama dan berada di bumi ciptaan Tuhan. Taraf manusia pun sama.
Aku suka gerimis di Kota London
Pernah terpesona angin dingin-tajam di Washington
Pohon-pohon hijau atau aneka warna
tiada bezanya.
Siapa pun menghuni Australia penghuni Afrika
Kerana di bawah langit ini
Kita sama.
Maksud: Penyajak kagum akan gerimis di kota London dan terpesona dengan tiupan bayu dingin di Washington. Namun aneka warna tumbuh-tumbuhan tetap serupa. Tempat-tempat lain yang mempunyai keistimewaan tersendiri juga didiami oleh manusia.
Aku inigin menyeberang Laut China Selatan
Layari Lautan Teduh rentasi Laluan Sutera
Berkongsi siang miliki malam
Anyam cinta pelangikan zaman
Tiupkan harapan senada
Sesama kita - warga dunia
Di bawah langitnya
Yang sama.
Maksud: Penyajak ingin menjelajah ke seluruh pelosok dunia untuk mengeratkan hubungan silaturahim dan berkongsi impian yang sama iaitu melihat keamanan dan keharmonian dunia. Beliau ingin melihat dunia bersama-sama bagi memperjuangkan keamanan.
Peta-peta itu yang memisahkan
Jangan tutup pos sempadan
Visa hanya keperluan rasmi seketika
Pasport dokumen pengenalan titik mula
Kita dakapi mimpi tak berbeza
gapai hasrat
Lebur kebencian kuburkan sejarah hitam
Di bawah langit ini yang
Sama.
Maksud: Penyajak mendapati manusia sering dipisahkan oleh sempadan negara dan untuk memasuki negara tersebut perlu ada dokumen rasmi seperti pasport dan visa. Penyajak menyeru rakyat di dunia agar sama-sama berjuang mencapai keamanan dunia serta mengikis rasa benci dan dendam.
Tema:
Kesamatarafan manusia walau di mana-mana mereka berada. Walaupun manusia berada dan dipisahkan oleh sempadan, mereka setaraf dan mengimpikan kehidupan yang aman dan harmoni.
Persoalan:
  1. Persoalan keindahan alam semula jadi di sesuatu tempat. Setiap tempat mempunyai keindahan alam semulajadi yang tersendiri.
  2. Persoalan harapan dan impian manusia sejagat untuk kehidupan yang aman dan harmoni. Setiap orang mempunyai impian dan harapan untuk kehidupan yang aman dan harmoni.
  3. Persoalan garis sempadan seringkali memisah dan membezakan manusia. Manusia dipisahkan oleh faktor geografi.
  4. Persoalan kepentingan nilai hormat dan menghormati antara manusia. Nilai ini penting dalam kehidupan.

Nada:

  • Sinis

Nilai:

  1. Nilai menghargai keindahan alam. Keindahan alam perlu dihargai.
  2. Nilai hormat-menghormati sesama manusia. Nilai ini penting dalam kehidupan seharian.
  3. Nilai bertoleransi antara masyarakat. Toleransi penting dalam kehidupan bermasyarakat.
  4. Nilai kerjasama dalam menjayakan sesuatu. Kerjasama penting untuk menjayakan sesuatu.

Pengajaran:

  1. Kita mestilah menganggap manusia sebenarnya sama taraf walaupun di manapun mereka berada.
  2. Kita mestilah menganggap setiap tempat mempunyai keistimewaannya yang tersendiri.
  3. Kita hendaklah sedar bahawa manusia seringkali dipisahkan dan dibezakan oleh sempadan waktu dan tempat.
  4. Kita mestilah mewujudkan hubungan harmoni sesama negara dan rakyat.
  5. Kita hendaklah mengimpikan kehidupan yang lebih baik dan harmoni.
Read more

Tuesday, February 15, 2011

Sajak: Pasar Perasaan

Pasar Perasaan
(T. Alias Talib)
Sumber: Bahagian Pembangunan Kurikulum ( KPM )


ini pasar perasaan
pada gerainya duduk penjual sentimental
yang sering dikunjungi pembeli emosional.

Maksud: Penulis mendapati warung atau kedai kopi menjadi gelanggang untuk pengunjung melontarkan pendapat dan berdebat. Perdebatan yang berlaku pula dikuasai oleh emosi.


ini pasar perasaan
mereka memperdagangkan kata-kata
yang terbit daripada kalbu
bukan terbit daripada akal.

Maksud: Semasa berdebat, kata-kata yang dilontarkan lebih luahan perasaan dan bukannya hasil daripada pertimbangan akal fikiran.


mereka memperdagangkan hujah
yang rapuh dan lapuk
bagai kayu buruk;
yang mudah dipatahkan
bagai ranting kering.

Maksud: Mereka juga melontarkan pelbagai hujah sesuka hati tanpa sebarang makna dan fakta kukuh. Hujah-hujah yang begitu rapuh dan mudah disangkal.


ini pasar perasaan
di dalamnya mengalir sungai manusia
yang menghilirkan suara kosong.

Maksud: Di warung jugalah, para pengunjungnya memperlihatkan kelemahan mereka yang kurang ilmu pengetahuan. Perdebatan kosong terus menjadi agenda walaupun tidak membawa kebaikan.


ini pasar perasaan
yang memperdagangkan akal cetek
dan tawar-menawar yang dangkal.

Maksud: Di warung jugalah, para pengunjungnya memperlihatkan kelemahan mereka yang kurang ilmu pengetahuan. Perdebatan kosong terus menjadi agenda walaupun tidak membawa kebaikan.


kumasuki pasar ini
kususuri sungai sibuk ini
di tengah-tengah penjual dan pembeli
yang kaya dengan perasaan
tetapi miskin dengan kebijaksanaan.

Maksud: Penyajak cuba terlibat dan menyelami intipati perdebatan tersebut. Beliau mendapati pendebat-pendebat itu lebih dikuasai emosi ketika berbicara berbanding fakta dan ilmu.


ini pasar tidak berakal
yang diriuhkan kekosongan.
Maksud: Bagi penyajak perdebatan di warung atau kedai kopi hanya sesuai untuk mereka bercakap tanpa berfikir dahulu. Perdebatan nampak menarik tetapi tidak membawa makna.


Tema:

Perbincangan kosong di kedai kopi. Seringkali dikatakan kedai kopi sebagai tempat perdebatan pengunjungnya. Hujah mereka kosong tanpa fakta dan ilmu. Hanya sekadar meluahkan perasaan. Seringkali juga berlaku perdebatan yang sia-sia kerana dikuasai emosi.
Persoalan:
  1. Persoalan perbincangan kosong dan tidak ilmiah hanya sekadar menghamburkan kata-kata dan meluahkan perasaan.
  2. Persoalan luahan pendapat akan menjadi sia-sia kerana kurangnya kebijaksanaan.
  3. Persoalan pendapat tanpa ilmu dan fakta mudah dipatah dan ditepis.
  4. Persoalan kepentingan ilmu pengetahuan dalam menyampaikan hujahan.

Nada:

  • Sinis

Nilai:

  1. Nilai rasional. Kerasionalan diperlukan dalam menyampaikan maklumat.
  2. Nilai kerajinan. Kerajinan diperlukan untuk mencari ilmu untuk menguasai kemahiran.
  3. Nilai kebijaksanaan. Nilai ini diperlukan untuk mengemukakan maklumat
  4. Nilai kesabaran. Kesabaran diperlukan dalam menghadapi cabaran hidup.
  5. Nilai keprihatinan. Keprihatinan terhadap persekitaran amat diperlukan.

Pengajaran:

  1. Kita hendaklah mendengar dengan teliti sebelum memberikan pendapat.
  2. Kita mestilah mengemukakan pendapat yang bernas dan berfakta.
  3. Kita janganlah beremosi ketika berdebat kerana ini akan mendedahkan kelemahan diri sendiri.
Read more

Sunday, February 13, 2011

Sajak: Bangkitlah

Bangkitlah
(Rejab F.I)
Sumber: Bahagian Pembangunan Kurikulum
Anak-anak yang sedang lena
bangkitlah
matahari sudah tinggi
di puncak gunung.
Maksud: Penyajak menyeru anak bangsanya agar sedar daripada terlena dibuai kelalaian. Negara sudah lama merdeka dan semakin maju.
Lihat jernihnya pagi ini
burung-burung berterbangan di uadara
dan pepohon hijau merendang daunnya
apa kau masih belum bangkit?
Maksud: Negara kita semakin makmur dan bangsa-bangsa asing sibuk merebut kekayaan tanah air. Penyajak tertanya-tanya mengapa anak bangsanya masih leka.
Bangkitlah
jangan sesal nanti
madu bumi yang kekeringan
isi laut kekosongan
dan perut belantara menjadi ladang.
Maksud: Penyajak menyeru anak bangsanya supaya bangkit dari lena agar mereka tidak menyesal. Kekayaan hasil bumi negara semakin berkurangan dek pembangunan.
Anak-anak
esok apa yang akan kaumakan?
tanah atau batu atau debu?
kau mahu terus nangis
tanpa air mata?
Maksud: Penyajak berasa risau akan masa depan bangsanya yang mungkin terus ketinggalan dan hidup dalam kesusahan. Beliau tidak mahu bangsanya berputih mata.
Kalau tidak
bangkitlah
matahari belum lagi rembang
dan burung-burung belum lagi menjamah awan!
Maksud: Jikalau bangsanya tidak mahu perkara itu berlaku, mereka perlu bangkit dan berusaha. Masih ada waktu dan kesempatan mereka untuk maju dan mengejar arus pembangunan.
Tema:
Kesedaran anak bangsa perlu untuk bangkit daripada leka dalam mengejar arus pembangunan selepas kemerdekaan. Mereka harus merebut kemakmuran negara agar tidak menyesal.
Persoalan:
  1. Persoalan kepentingan mengejar arus pembangunan. Arus pembangunan perlu disedari dan diikuti oleh anak-anak.
  2. Persoalan kemajuan dan pembangunan negara tidak akan menunggu sesiapa yang leka. Kemajuan dan pembangunan negara tidak akan menunggu sesiapapun.
  3. Persoalan sumber bumi dan khazanah negara semakin berkurangan. Hal ini perlu disedari oleh semua orang.
  4. Persoalan masa depan anak bangsa yang masih leka. Kelekaan anak bangsa merunsingkan penyajak tentang masa depan mereka.

Nada:

  • Patriotik

Nilai:

(i) Nilai kegigihan.

  • Kegigihan diperlukan untuk mengejar kekayaan.

(ii) Nilai kerjasama.

  • Semangat ini diperlukan untuk merebut peluang yang ada.

(iii) Nilai kerajinan.

  • Kerajinan diperlu untuk memajukan diri.

Pengajaran:

  1. Kita tidak boleh leka walaupun telah merdeka.
  2. Kita perlu merebut peluang yang ada.
  3. Kita perlu bersaing dengan bangsa lain untuk maju.
  4. Kita janganlah leka kerana kelekaan menyebabkan kita menderita dan terus dihimpit kemiskinan.
Read more

Friday, February 11, 2011

Sajak: Kecek - (V)

Kecek - (V)
Awang Abdullah
Sumber: Bahagian Pembangunan Kurikulum ( KPM )
1
seorang pengarah
membuka akaun semasanya
di sebuah bank ternama
tetapi dalam diam
dia mencantum kemiskinan
orang lain
ke dalam amanahnya
yang telah lama pecah.
Maksud: Seorang yang berjawatan pengarah dalam sebuah bank sibuk mengumpul kekayaan dengan hasil simpanan pelanggan. Semasa menjalankan tugas dia begitu licik pecah amanah dan menggelapkan wang. Perbuatan jenayah itu telah lama dilakukan.
2
di kampung
seorang petani
membuka akaun kemiskinannya
di ruang kedaifannya
dan mengunci sedozen anak-anaknya
di dalam pagar sengsara
tetapi dia tidak pernah mencantum
kekayaan orang lain
ke dalam getirnya
yang sudah lama
berumbi.
Maksud: Di kampung pula, seorang petani hidup dalam serba daif dan kekurangan. Dia tabah dalam membesarkan anak-anak dan menyara keluarga. Namun dia tidak pernah mengambil hak orang lain dalam usaha untuk keluar daripada belenggu kemiskinan.
3
di pantai
seorang nelayan
membuka akaun sengsaranya
di rahang laut ternganga
dan mengurung sederet anak-anaknya
di bawah pusara nasib
tapi dia tidak pernah mengumpul
kesenangan orang lain
ke dalam kegusarannya
yang telah sekian musim
berlumut
di papan hidupnya.
Maksud: Di kawasan pantai, seorang nelayan juga terus dibelenggu kemiskinan. Anak-anaknya turut dibesarkan dalam keadaan serba kekurangan. Namun dia juga tidak pernah menggunakan hasil titik peluh orang lain sepanjang meniti kehidupan yang semakin lama semakin menghimpit.
4
Tuhan tidak pernah mungkir
meencatatkan setiap angka
dan nilai hitungan paling kecil
ke dalam akaun-Nya
di rumah keadilan.
Maksud: Setiap dosa dan pahala, kebaikan dan kejahatan setiap individu itu akan dicatatkan. Mereka akan mendapat pembalasan dari Tuhan seperti yang telah dijanjikan.
Tema:
Sikap amanah. Dalam mencari rezeki kita perlu amanah kerana wang yang diperoleh digunakan untuk menyara keluarga. Golongan yang berjawatan didapati seringkali pecah amanah untuk hidup mewah berbanding golongan yang berpendapatan rendah.
Persoalan:
  1. Persoalan sikap pecah amanah oleh golongan berjawatan tinggi.
  2. Persoalan golongan miskin terus dibelenggu kemiskinan dan hidup susah.
  3. Persoalan setiap perbuatan pasti mendapat balasan seperti yang dijanjikan oleh Allah.

Nada:

  • Sinis

Nilai:

  1. Nilai amanah dalam memjalankan tugas. Apabila menjalankan tugas, laksanakan dengan penuh amanah.
  2. Nilai bertanggungjawab dalam mencari rezeki yang halal. Bertanggungjawablah untuk mencari yang halal.
  3. Nilai kegigihan berusaha walaupun mengalami kesusahan. Walaupun kesusahan melanda, kita perlu gigih berusaha mencari rezeki.
  4. Nilai simpati terhadap nasib golongan kurang berada. Perasaan ini perlu wujud terhadap golongan kurang berada.
  5. Nilai rasional dalam peredaran kehidupan. Untuk menjalani kehidupan, kerasionalan amat diperlukan.

Pengajaran:

  1. Kita hendaklah amanah semasa menjalankan tugas.
  2. Kita hendaklah menjadi seorang bapa yang bertanggungjawab mencari rezeki yang halal.
  3. Kita tudak boleh mencari kekayaan dengan menindas orang lain.
Read more

Sajak: Dirgahayu Bahasaku

Dirgahayu Bahasaku
( Ahmad Sarju )
Sumber: Bahagian Pembangunan Kurikulum
Tempatmu di singgahsana
hati nurani bangsaku
warga yang berbudi
setia dan amanah.
Maksud:
Bahasa Melayu tetap bersemadi di sanubari orang-orang Melayu. Bangsa Melayu sememangnya terkenal sebagai bangsa yang berbudi bahasa, setia dan amanah.
Bahasa itu maruah bangsa
yang mesti dipelihara martabatnya
agar tetap kukuh dan ampuh
melayari lautan bijaksana
salam ikatan mesra dan teguh.
Maksud:
Bahasa dilihat sebagai simbol maruah bangsa yang perlu dipertahankan agar terus kukuh dan menjadi keutamaan dalam banyak hal. Bahasa hendaklah digunakan dengan sebaik mungkin terutama dalam usaha mengeratkan hubungan silaturahim.
Cekal dan wajar semangat pejuangku
hak bangsaku memilikimu
hak bangsaku mendaulatkanmu
di bumi bertuah ini
merentas dunia tak bertepi.
Maksud:
Para cendiakawan dan penggiat bahasa terus berjuang demi mendaulatkan bahasa. Sebenarnya setiap orang perlu memainkan peranan ini tidak kira di mana-mana sahaja mereka berada.
Sejarah bangsa mencatatkan kegemilangan
ke barat dan ke timur menjalin persaudaraan
gagah pelautku membelah lautan
ke utara dan ke selatan bahasaku mencengkam
dari pulau ke pulau menggilat mutiara silam.
Maksud:
Suatu ketika dahulu, bangsa Melayu pernah mencatat sejarah sebagai pelayar hebat. Mereka begitu berani menjelajah dari sebuah pulau ke sebuah pulau dan dari sebuah benua ke benua lain. Dari situlah bahasa Melayu mula tersebar.
Dirgahayu bahasaku
di arena antarabangsa suaramu tumbuh
menusuk kalbu lagu bahasamu
bahasamu bahasa minda
mudah akrab dan bertatasusila
daripada bangsa yang bernama Melayu
menempa kejayaan di alaf baru.
Maksud:
Bahasa Melayu tetap di hati. Dalam masa yang sama, bahasa Melayu mula diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa. Bahasa Melayu turut dikenali. Kini bangsa Melayu menempa kejayaan demi kejayaan.
Tema:
Semangat cinta akan bahasa Melayu. Bahasa Melayu perlu dimartabatkan supaya mampu bersaing dengan bahasa-bahasa yang lain. Peranan ini perlu dimainkan oleh semua pihak.
Persoalan:
  1. Persoalan kepentingan memartabatkan bahasa Melayu. Bahasa Melayu perlu dimartabatkan di negara ini.
  2. Persoalan perjuangan memartabatkan bahasa. Perjuangan memartabatkan bangsa dipertanggungjawabkan kepada semua orang Melayu.
  3. Persoalan sejarah kegemilangan bahasa Melayu. Bahasa Melayu mempunyai sejarah kegemilangan yang tersendiri.
  4. Persoalan kepentingan Bahasa Melayu sebagai alat komunikasi. Bahasa Melayu berperanan sebagai alat komunikasi yang penting.

Nada:

  • Patriotik

Nilai:

1. Nilai bersopan santun.

  • Penggunaan bahasa yang betul membolehkan nilai budi bahasa dapat dilahirkan dalam komunikasi.

2. Nilai setia.

  • Apabila memartabatkan bahasa maka nilai setia dapat ditunjukkan.

3. Nilai amanah dalam meneruskan warisan bangsa.

  • Warisan bangsa perlu dipertahankan.

4. Nilai mencintai bahasa bangsa sendiri.

  • Sesuatu bangsa bertanggungjawab mencintai bahasanya sendiri.

5. Nilai bersatu padu semasa menggunakan bahasa yang sama.

  • Penggunaan bahasa yang sama dapat memupuk nilai bersatu padu.

6. Nilai kegigihan dalam memastikan bahasa Melayu terus digunakan.

  • Sifat ini penting agar penggunaan bahasa Melayu dapat diteruskan.

Pengajaran:

  1. Kita hendaklah mencintai bahasa Melayu sepenuh jiwa.
  2. Kita hendaklah bertanggungjawab mempertahankan dan memartabatkan bahasa Melayu.
  3. Kita perlu berusaha gigih untuk mendaulatkan bahasa Melayu.
  4. Kita mestilah memartabatkan bahasa Melayu supaya berkembang dan mendapat perhatian masyarakat dunia.

Read more

Monday, February 7, 2011

Novel Sutera Dalam Lukisan

Novel : Sutera Dalam Lukisan
( Abd. Talib Hassan )
Sumber: Bahagian Pembangunan Kurikulum ( KPM )

Sinopsis:

Novel ini memaparkan kisah seorang pemuda yang mengalami konflik jiwa akibat kematian ibunya yang telah dibunuh oleh bapa tirinya. Kenangan pahit itu telah menjadikan Bujei atau nama sebenarnya Mohamad Hafiz, akhirnya telah menjadi sasau akibat sering menjadi cemuhan, dipandang hina, dipermain dan diperbudakkan oleh masyarakat kampung malah bapa tirinya, Harun juga sering menyeksanya malah telah cuba mengambil peluang untuk merampas hak milik Bujei yang ditinggalkan oleh arwah ibunya. Hidupnya keseorangan dan menanti permata hati untuk menerangi semua sinar hidupnya. Kehadiran Adila telah mengubah segala-galanya dan Bujei mulai merasai erti sebuah kehidupan. Namun banyak ranjau duri yang terpaksa diharunginya untuk meneruskan hubungan persabahatan bersama Adila. Alias yang turut menyimpan perasaan terhadap Adila terus menyimpan dendam terhadap Bujei dan Adila. Satu demi satu rancangan jahat diatur dalam usaha untuk memiliki Adila. Bujei diperdaya hingga akhirnya dia mempercayai Adila akan mengahwini Alias malah Adila turut difitnah menghidap penyakit AIDS kerana pernah menuntut di luar negara. Dendam yang kian membara menyebabkan Alias meminta khidmat neneknya untuk mendapatkan ilmu pengasih yang akan mendorong Adila tunduk kepada kehendaknya. Alias yang dirasuk kerinduan akhirnya telah menjadi sasau dan sanggup merayu kepada Bujei untuk mengharapkan simpati serta pengertian daripada Bujei supaya memujuk Adila menerima dirinya. Akhirnya, Alias sendiri terpaksa mendapatkan khidmat daripada dukun yang sama dalam usaha untuk memulihkannya. Orang kampung pula kini telah melihat perubahan diri Bujei yang menjadi manusia normal berbanding Alias yang kini telah mengambil alih tempat Bujei. Sebelum pulang ke kota, Adila telah meluahkan isi hatinya kepada Sidang Saman dan isterinya tentang keputusannya untuk menerima Hafiz sebagai pasangan hidupnya. Adila akhirnya terpaksa kembali ke kota kerana ditawarkan pekerjaan sebagai seorang pensyarah di salah sebuah universiti swasta.

Tema:

Konflik jiwa seorang pemuda dalam mengharungi kehidupan setelah kematian kedua-dua ibu bapa dan neneknya. Pandangan negatif orang kampung akibat fitnah yang ditabur oleh bapa tirinya telah membentuk keperibadiannya menjadi manusia abnormal. Kehadiran Adila telah membawa sinar baru dalam hidup pemuda tersebut dan kembali menjadi manusia normal seperti sediakala.

Persoalan:
  1. Persoalan tanggungjawab membantu sesama manusia tanpa mengira sifat individu seperti yang digambarkan melalui watak Adila yang begitu optimis untuk membentuk semula keperibadian abnormal yang dihidapi oleh Hafiz.
  2. Persoalan menghormati hak individu tanpa menghilangkan hak diri sendiri yang digambarkan melalui watak Bujei atau nama sebenarnya Hafiz yang akhirnya sedar akan haknya setelah mendapat bimbingan dari Adila.
  3. Persoalan kebaikan akan mengatasi kebatilan seperti yang tergambar dalam peristiwa Alias yang cuba mengenakan ilmu pengasih terhadap Adila telah menyebabkan dia mendapat pembalasan akibat perbuatannya sendiri.
  4. Persoalan sifat kasih sayang dan hati yang luhur mampu mengubah sifat seseorang seperti yang digambarkan melalui watak Adila yang telah membimbing Bujei atau Hafiz untuk membentuk semula keperibadiannya dan berjaya mengubah Bujei menjadi insan yang berjaya.
  5. Ketegasan dalam pendirian seperti yang tergambar melalui watak Wak Senen yang tegas dalam pendiriannya untuk mengembalikan hak Bujei yang telah dianiaya oleh bapa tirinya.
  6. Persoalan jodoh pertemuan di tangan Tuhan. Walaupun Adila pada asalnya begitu takut dengan Bujei, tetapi akhirnya telah memilih Bujei menjadi pasangan hidupnya. Walaupun telah bertunang dan berjanji sehidup semati dengan Faizal, tetapi akhirnya Faizal berkahwin dengan orang lain dan bukan dengan tunangnya.
  7. Persoalan berani mempertahankan hak atau harta daripada dirampas oleh orang lain. Bujei telah menunjukkan sikapnya yang tegas dan tidak boleh dipermainkan oleh Alias apabila meminta ganti rugi sebanyak RM 80 sebagai gantian radionya yang telah rosak akibat perbuatan Alias.

Plot:


Plot dihuraikan secara kronologi iaitu berdasarkan kepada hukum sebab dan akibat. Manusia yang berbuat baik akan memperoleh pembalasan yang baik juga dan begitulah sebalinya.

Binaan Plot:

(i) Eksposisi ( Permulaan )

Menceritakan watak utama iaitu Bujei yang digambarkan sering mengunjungi latar tempat di kampung. Digambarkan juga latar masa iaitu pada waktu senja dan latar masyarakat kampung Bujei yang telah menganggap Bujei sebagai insan abnormal.

(ii) Perkembangan

Kematian ibu Bujei yang bernama Fatimah yang dibunuh oleh bapa tirinya merupakan titik hitam dalam kehidupannya. Bujei menjadi sasau dan sering dicemuh dan dipermainkan oleh masyarakat kampung. Perkenalan dengan Adila telah mengubah hidupnya menjadi seorang yang lebih berkeyakinan untuk meneruskan kehidupan. Dalam masa yang sama dia menaruh hati kepada Adila. Adila juga diminati oleh Alias, Sahak dan Faizal, bekas tunangnya.

(iii) Klimaks

Alias berusaha menculik Adila dan dengan bantuan neneknya, mencari ubat pengasih untuk mendapatkan Adila.

(iv) Peleraian

Adila juga menaruh hati kepada Bujei (Hafiz). Hal ini menyebabkan Alias menjadi sasau kerana cintanya tidak kesampaian. Adila ditawarkan untuk berkhidmat sebagai pensyarah di salah sebuah universiti swasta di kota.

Teknik Plot:

1. Pemerian.

Contoh:

  • Anak sungai itu tidak begitu lebar. Hanya lebih kurang sembilan meter jarak antara dua belah tebing, tidak dalam dan agak cetek airnya ketika itu.

2. Dialog

Contoh:

  • "Lepaskan motor aku ni ... aku nak pergi ambil duit," kata Alias.

3. Imbas Kembali

Contoh:

  • Dan dia sendiri telah menanam cita-cita untuk mengikut jejak bapanya. Tragedi pertama menimpanya apabila bapanya meninggal dunia dalam satu kemalangan di lebuh raya Karak.

4. Imbas Muka

Contoh:

  • Mungkinkah penyakit Adila sudah menjadi-jadi? Mungkinkah Adila sudah dibawa ke rumah sakit? Terlintas juga di fikirannya untuk menjenguk dan melihat keadaan Adila.

5. Monolog Dalaman

Contoh:

  • Dan sempat juga Adila memikirkan hal Bujei. Mungkin Bujei juga sudah tahu sehingga terasa malu untuk datang menemuinya. Dia terfikir untuk pulang ke kota, meninggalkan kampung yang tidak lagi memberi kedamaian kepadanya.

6. Suspen

Contoh:

  • Sambil memaki-hamun, kata-kata makian yang sering digunakan oleh Alias ke atas dirinya, Bujei menghayunkan parangnya ke arah Alias.

Watak dan Perwatakan:

Watak Utama - Bujei / Hafiz

  • Bercita-cita untuk menjadi askar seperti arwah bapanya. Sewaktu dirinya kecil, dia sering menjadikan bapanya sebagai idola.
  • Suka berangan-angan menonton dan mendengar radio yang telah rosak di rumahnya.
  • Takut dengan Alias. Setiap perkara yang diminta oleh Alias akan dilakukan oleh Bujei tanpa sebarang bantahan.
  • Tidak mementingkan kebersihan tetapi berubah setelah dilatih oleh Adila. Membuang perkakasan yang tidak berguna di rumahnya dan membakarnya di halaman rumah.
  • Suka mendengar radio. Sanggup membeli radio baru sewaktu keluar ke pekan bersama Samsul.
  • Mempunyai bakat menyanyi. Bujei menyanyi lagu Bahtera Merdeka sewaktu majlis perkahwinan Same'ah dan berjaya memukau orang ramai dengan kemerduan suaranya.
  • Mempunyai sifat suka berjimat. Tidak menggunakan wang pembelian Wak Senen yang besar nilainya dan menyimpannya dengan rapi di dalam kendi di rumahnya.
  • Pulih daripada sikap abnormal menjadi normal dengan bantuan Adila dan keluarga Sidang Saman.
  • Anak yang bertanggungjawab. Cuba menyelamatkan ibunya daripada kebakaran rumahnya tetapi tidak berjaya kerana api marak terlalu cepat dan dia dihalang oleh orang ramai daripada memasuki rumahnya yang terbakar.
  • Seorang pemuda yang mempunyai sikap abnormal. Dia membentuk peribadinya melalui pandangan penduduk kampung yang menganggapnya bodoh, dungu dan tidak berakal.
  • Tidak memilih pekerjaan, asalkan mendatangkan upah untuk dia mengalas perut.

Watak Sampingan:

1. Adila

  • Lulusan universiti luar negara iaitu England.
  • Mempunyai sifat optimis dan percaya sikap abnormal Bujei dapat dipulihkan.
  • Telah bertunang dengan Faizal tetapi putus kerana Faizal tidak menepati janji dan berkahwin dengan orang lain. Akibat kecewa, dia telah membawa diri pulang ke kampung dan tinggal dengan keluarga Pak Longnya iaitu Sidang Saman dalam jangka masa yang panjang.
  • Mempunyai pendirian yang tegas kerana menolak pinangan Alias dengan alasan belum bersedia untuk mendirikan rumah tangga.
  • Lemah lembut dan hormat kepada orang lain terutamanya orang yang lebih tua. Sewaktu tinggal di kampung, Adila sering mendapat pujian penduduk kampung.
  • Menjadi mangsa fitnah Alias. Alias telah memfitnah Adila telah 'rosak' sewaktu belajar di luar negara.
  • jatuh cinta dengan Bujei / Hafiz. Telah meluahkan isi hatinya kepada Sidang Saman dan isterinya tentang perasaannya terhadap Bujei sebelum pulang ke kota.

2. Alias

  • Suka membuli Bujei /Hafiz. Contohnya meminta Bujei mencuci motosikalnya dengan menjanjikan upah tetapi memungkirinya.
  • Suka kepada Adila dan menghantar pinangan tapi ditolak. Cuba mendekati Adila setelah gagal mendapatkan Same'ah.
  • Suka terlibat dalam perlumbaan motor. Contohnya sewaktu berlumba motor dengannya, Sahak telah terlibat dalam kemalangan dan kritikal di hospital.
  • Bercakap kasar. Contohnya sering bercakap kasar terutama dengan Bujei.
  • Cuba menculik Adila dan mengenakan ilmu pengasih kepada Adila. Meminta bantuan daripada neneknya untuk mencari ilmu pengasih.
  • Cuba memfitnah Adila setelah pinangannya ditolak.
  • Akhirnya menjadi sasau / gila.

3. Sidang Saman

  • Mengambil berat akan anak buahnya. Contohnya sering bertanyakan khabar Bujei dan akan meminta anaknya mencari Bujei sekiranya tidak melihat kelibatnya di kampung.
  • Bijak memerangkap orang yang bersalah melalui kata-kata. Contohnya sewaktu berbicara dengan Harun yang meminta pandangannya ketika ingin menjual tanah pusaka arwah isterinya.
  • Menjadi pangkal rujuk permasalahan Adila. Terutama sewaktu Adila mula jatuh cinta dengan Bujei.

4. Same'ah

  • Bertimbang rasa dan baik dengan Bujei. Contohnya sering mengambil berat akan diri Bujei.
  • Anak Sidang Saman.
  • Berkahwin dan mengikut suami pindah ke Ipoh.

5. Harun

  • Seorang duda.
  • Berkahwin dengan Fatimah, Ibu Bujei setelah kematian bapa Bujei.
  • Bekerja sebagai mandur di ladang kelapa sawit.
  • Panas baran dan sering memukul serta mendera isterinya.
  • Mengikis wang peninggalan bekas suami Fatimah. Melakukan keganasan terhadap isteri dan anak tirinya Bujei sehingga isterinya terbunuh dalam kebakaran akibat daripada perbuatannya dan anak tirinya menjadi sasau.
  • Suka berpura-pura. Contohnya berpura-pura baik dengan Bujei untuk mendapatkan tanda tangan Bujei bagi membolehkan dia menjual harta pusaka Fatimah.

6. Wak Senen

  • Suka bersedekah. Sering memberi wang kepada Bujei dengan nilaian yang besar.
  • Baik hati. Contohnya sanggup memulangkan semula tanah pusaka peninggalan ibu Bujei yang telah dijual oleh bapa tirinya Harun.
  • Mengambil tindakan dengan teliti. Contohnya sering berbincang dengan Sidang Saman sebelum melakukan sesuatu perkara seperti yang dilakukan sewaktu ingin memulangkan semula tanah pusaka Bujei.

Gaya Bahasa:

  1. Simile. Contoh: "Jangan takut. Dia mendengar lagi seperti memujuk pula.
  2. Personifikasi. Contoh: Angin lembut bersih menjamah tubuhnya dan ledakan bunyi air membuai perasaannya.
  3. Hiperbola. Contoh: "Macam seorang pembunuh yang suka membunuh orang... tak kira tempat atau masa, tak kira sesiapa aje?"
  4. Sinkope. Contoh: Tak tentu perasaan Bujei mendengar suara Adila dan sebutan yang begitu hormat dirasakannya.
  5. Metafora. Contohnya: Tidak pernah diduga, apa lagi mengharapkan satu lorong yang akan membebaskan dirinya daripada pasung peribadi itu.
  6. Kata ganda. Contohnya: Dia bagaikan merindui tempat-tempat dan lorong-lorong yang biasa dikunjungi.

Nilai:

1. Nilai kasih sayang.

  • Contoh: Bujei cuba menyelamat ibunya dalam kebakaran rumahnya. Ibunya pengsan setelah didera oleh bapa tirinya.

2. Nilai hormat-menghormati.

  • Contoh: Adila telah memanggil Bujei dengan nama asalnya iaitu Hafiz.

3. Nilai baik hati.

  • Contoh: Adila dan Samsul telah membawa Bujei ke klinik untuk mendapatkan rawatan setelah dibelasah oleh Harun.

4. Nilai keadilan.

  • Contoh: Sidang Saman meminta Alias membayar ganti rugi atas radio Bujei.

5. Nilai keberanian.

  • Contoh: Bujei berani mempertahankan dirinya daripada ditindas oleh Alias.

Pengajaran:

1. Kita hendaklah menerima ketentuan atau takdir Tuhan.

  • Contoh: Bujei menerima hakikat ibunya yang meninggal dunia akibat perbuatan bapa tirinya.

2. Kita janganlah bersifat dengki sesama manusia.

  • Contoh: Alias telah memfitnah Adila setelah pinangannya ditolak.

3. Kita hendaklah membantu golongan yang kurang bernasib baik.

  • Contoh: Adila optimis dia boleh membantu Bujei memulihkan keperibadiannya dan perkara itu dapat direalisasikannya.

4. Kita hendaklah berpegang teguh kepada janji yang telah dibuat.

  • Contoh: Faizal tidak menepati janjinya untuk bernikah dengan Adila kerana telah berkahwin dengan orang lain.

5. Kita janganlah bercakap bohong.

  • Contoh: Alias telah membohongi Bujei dengan mengatakan bahawa Adila menghidap penyakit Aids untuk menjauhkan perhubungan mereka.

6. Kita janganlah mudah mempercayai perkara karut.

  • Contoh: Alias berpakat dengan neneknya untuk mencari ilmu pengasih bagi mendapatkan cinta Adila.

7. Kita janganlah mementingkan diri sendiri untuk mencapai cita-cita.

  • Contoh: Alias tidak memperdulikan Sahak yang terlibat dalam kemalangan sewaktu berlumba motor dengannya.

Latar:

Latar Masa

  1. Waktu pagi: "Okey, Good Moorning Bujei"
  2. Waktu Maghrib: Kedengaran bunyi azan maghrib dan spontan Sidang Saman menoleh ke belakangnya.
  3. Waktu petang: Makin petang merangkak, makin galak agas-agas menghurungnya.

Latar Tempat

  1. Di tebing sungai: Kadang-kadang dia berada di tebing sungai untuk memancing.
  2. Rumah Mak Usu Bakyah: Sebenarnya sudah agak lama Mak Usu Bakyah mengharapkan kedua-dua anak saudaranya berandang tidur di rumahnya.
  3. Di pekan: Samsul membawa Bujei ke pekan untuk menggunting rambut, membeli radio, jam dan pakaian.

Latar Masyarakat

  1. Masyarakat kampung yang memandang rendah kepada orang yang kurang bernasib baik. Contoh: Kebanyakan orang mengatakan dia bodoh, dungu, tidak berakal lalu seperti tertunai hasrat mereka begitu.
  2. Masyarakat kampung yang mempunyai norma kemanusiaan. Contoh: Sidang Saman begitu mengambil berat tentang Bujei dengan membawa Bujei balik ke rumahnya setelah dipukul oleh Harun.
  3. Masyarakat yang mengambil kesempatan atas kesenangan orang lain. Contoh: Baru sahaja beberapa bulan berkahwin, Harun sudah memujuknya untuk membeli kereta.
  4. Masyarakat yang mengamalkan kerjasama. Contoh: Penduduk kampung bekerjasama untuk mengadakan majlis perkahwinan Same'ah.
  5. Masyarakat pendendam. Contoh: Melihat Bjei kembali bersama Adila, kemarahannya semakin menjadi. Dia makin berdendam dengan Bujei.



Read more