Tuesday, December 25, 2012

PANTUN EMPAT KERAT ( MUAFAKAT )


Pantun Empat Kerat ( Muafakat )

 
Indah sungguh warna pelangi,
Tidak luput hingga senja;
Ke lurah sama diharungi,
Usaha bersama membawa bahagia.

Buah salak di dalam kantung,
Kulitnya keras isinya kelat;
Bulat air kerana pembentung,
Bulat manusia kerana muafakat.

 
Turun ke paya memetik kangkung,
Hati-hati terkena getahnya;
Bergotong-royong penduduk sekampung,
Hidup muafakat hidup bahagia.


Beras segantang sudah disukat,
Lalu disimpan di atas para;
Andai seluruh masyarakat muafakat,
Negara damai rakyat sejahtera.

 
Sawah padi luas terbentang,
Kuning keemasan indahnya maya;
Percaya-mempercayai asas berpegang,
Barulah muafakat kekal selamanya.

 
Harum sungguh bunga melati,
Hiasan sanggul amat memikat;
Bertolak ansur, hormat-menghormati,
Mengukuhkan perpaduan ikatan muafakat.

Sesuatu perkara yang dilakukan bersama-sama akan membawa kejayaan.

 


Manusia akan bersatu padu apabila bermuafakat.

 

 
Kerjasama antara penduduk akan melahirkan kehidupan yang bahagia.

 

 

Apabila masyarakat bermuafakat lahirlah negara yang aman dan sejahtera.

 

 
Sikap saling mempercayai adalah asas untuk melahirkan permuafakatan yang berkekalan.

 

Sikap toleransi dan saling menghormati amat penting untuk mengukuhkan perpaduan
TEMA:
Hidup bermuafakat menjamin kesejahteraan.

 
PERSOALAN:
i.    Kepentingan amalan bergotong-royong.
      Contoh:
    
    Bergotong-royong penduduk sekampung,
     Hidup muafakat, hidup bahagia.

ii.    Sikap saling mempercayai asas permuafakatan.
    Contoh:

    Percaya-mempercayai asas berpegang,
     Barulah muafakat kekal selamanya.

iii.    Sikap toleransi mengukuhkan perpaduan.
    Contoh:
    
    Bertolak-ansur hormat-menghormati,
     Mengukuh perpaduan, ikatan muafakat.

 
BENTUK
i.    Mempunyai 6 rangkap.
ii.    Mempunyai 4 baris bagi setiap rangkap.
iii.    Dua baris di atas merupakan pembayang dan dua baris di bawah     
        merupakan maksud.
iv.    Jumlah perkataan antara 3 hingga 4 perkataan sebaris.
       Contoh: Ke lurah sama diharungi. ( 3 perkataan – rangkap 1 )
       Contoh: Indah sungguh warna pelangi. ( 4 perkataan – rangkap 1 )
v.     Terdiri daripada 9 hingga 13 suku kata sebaris.
       Contoh: Ke/lu/rah/ sa/ma/ di/ha/ru/ngi/ ( 9 suku kata – rangkap 1 )
       Contoh: per/ca/ya/ mem/per/caya/i/ a/sas/ber/pe/gang/ ( 13 suku  
       kata – rangkap 5 )
vi.    Rima akhir abab

 
GAYA BAHASA
i.    Asonansi – Pengulangan vokal a
    Contoh: usaha bersama membawa bahagia

ii.    Aliterasi – Pengulangan konsonan k
    Contoh: kulitnya keras isinya kelat

iii.    Anafora: - Pengulangan perkataan 'bulat' pada awal baris
    Contoh: Bulat air kerana pembentung
         Bulat manusia oleh muafakat

iv.    Peribahasa
    Contoh: Bulat air kerana pembentung
         Bulat manusia oleh muafakat
v.    Repitisi – Pengulangan perkataan 'hidup' dalam satu baris.
    Contoh: Hidup muafakat hidup bahagia

vi.    Inversi – Pembalikan kata
    Contoh: bergotong-royang penduduk sekampung sepatutnya penduduk sekampung bergotong-royong

vii.    Unsur alam
    Contoh: Tumbuhan – kangkung, bunga melati
         Alam paya, sawah padi

NILAI

i.    Nilai bekerjasama.
    Amalan bermuafakat dan bekerjasama dalam kalangan penduduk kampung melahirkan kehidupan yang sejahtera. Contoh:
    
    Andai seluruh masyarakat muafakat
        Negara damai, rakyat sejahtera.

ii.    Nilai semangat bermasyarakat.
    Masyarakat yang percaya mempercayai akan dapat mengukuhkan perpaduan. Contoh:

    Percayai-mempercayai asasd berpegang,
        Barulah muafakat kekal selamanya.

iii.    Hormat-menghormati.
    Masyarakat yang saling menghormati dapat memperkukuhkan perpaduan.
    Contoh:
    
    Bertolak-ansur hormat-menghormati,
        Mengukuh perpaduan, ikatan muafakat.

PENGAJARAN

i.    Kita haruslah bekerjasama dalam melakukan sesuatu pekerjaan.
      Contoh:
    
      Ke lurah sama diharungi,
           Usaha bersama membawa bahagia.
    
ii.    Kita hendaklah saling mempercayai antara satu sama lain.
       Contoh:

       Percaya-mempercayai asas berpegang,
            Barulah muafakat kekal selamanya.

iii.    Kita perlu saling menghormati dalam kalangan masyarakat.
        Contoh:

        Bertolak-ansur hormat-menghormati,
             Mengukuh perpaduan, ikatan muafakat.

 

 
Read more