Pantun Empat Kerat ( Muafakat )
Indah sungguh warna pelangi,
Tidak luput hingga senja;
Ke lurah sama diharungi,
Usaha bersama membawa bahagia.
Buah salak di dalam kantung,
Kulitnya keras isinya kelat;
Bulat air kerana pembentung,
Bulat manusia kerana muafakat.
Turun ke paya memetik kangkung,
Hati-hati terkena getahnya;
Bergotong-royong penduduk sekampung,
Hidup muafakat hidup bahagia.
Beras segantang sudah disukat,
Lalu disimpan di atas para;
Andai seluruh masyarakat muafakat,
Negara damai rakyat sejahtera.
Sawah padi luas terbentang,
Kuning keemasan indahnya maya;
Percaya-mempercayai asas berpegang,
Barulah muafakat kekal selamanya.
Harum sungguh bunga melati,
Hiasan sanggul amat memikat;
Bertolak ansur, hormat-menghormati,
Mengukuhkan perpaduan ikatan muafakat.
|
Sesuatu perkara yang dilakukan bersama-sama akan membawa kejayaan.
Manusia akan bersatu padu apabila bermuafakat.
Kerjasama antara penduduk akan melahirkan kehidupan yang bahagia.
Apabila masyarakat bermuafakat lahirlah negara yang aman dan sejahtera.
Sikap saling mempercayai adalah asas untuk melahirkan permuafakatan yang berkekalan.
Sikap toleransi dan saling menghormati amat penting untuk mengukuhkan perpaduan
|
TEMA:
Hidup bermuafakat menjamin kesejahteraan.
PERSOALAN:
i. Kepentingan amalan bergotong-royong.
Contoh:
Bergotong-royong penduduk sekampung,
Hidup muafakat, hidup bahagia.
ii. Sikap saling mempercayai asas permuafakatan.
Contoh:
Percaya-mempercayai asas berpegang,
Barulah muafakat kekal selamanya.
iii. Sikap toleransi mengukuhkan perpaduan.
Contoh:
Bertolak-ansur hormat-menghormati,
Mengukuh perpaduan, ikatan muafakat.
BENTUK
i. Mempunyai 6 rangkap.
ii. Mempunyai 4 baris bagi setiap rangkap.
iii. Dua baris di atas merupakan pembayang dan dua baris di bawah
merupakan maksud.
iv. Jumlah perkataan antara 3 hingga 4 perkataan sebaris.
Contoh: Ke lurah sama diharungi. ( 3 perkataan – rangkap 1 )
Contoh: Indah sungguh warna pelangi. ( 4 perkataan – rangkap 1 )
v. Terdiri daripada 9 hingga 13 suku kata sebaris.
Contoh: Ke/lu/rah/ sa/ma/ di/ha/ru/ngi/ ( 9 suku kata – rangkap 1 )
Contoh: per/ca/ya/ mem/per/caya/i/ a/sas/ber/pe/gang/ ( 13 suku
kata – rangkap 5 )
vi. Rima akhir abab
GAYA BAHASA
i. Asonansi – Pengulangan vokal a
Contoh: usaha bersama membawa bahagia
ii. Aliterasi – Pengulangan konsonan k
Contoh: kulitnya keras isinya kelat
iii. Anafora: - Pengulangan perkataan 'bulat' pada awal baris
Contoh: Bulat air kerana pembentung
Bulat manusia oleh muafakat
iv. Peribahasa
Contoh: Bulat air kerana pembentung
Bulat manusia oleh muafakat
v. Repitisi – Pengulangan perkataan 'hidup' dalam satu baris.
Contoh: Hidup muafakat hidup bahagia
vi. Inversi – Pembalikan kata
Contoh: bergotong-royang penduduk sekampung sepatutnya penduduk sekampung bergotong-royong
vii. Unsur alam
Contoh: Tumbuhan – kangkung, bunga melati
Alam – paya, sawah padi
NILAI
i. Nilai bekerjasama.
Amalan bermuafakat dan bekerjasama dalam kalangan penduduk kampung melahirkan kehidupan yang sejahtera. Contoh:
Andai seluruh masyarakat muafakat
Negara damai, rakyat sejahtera.
ii. Nilai semangat bermasyarakat.
Masyarakat yang percaya mempercayai akan dapat mengukuhkan perpaduan. Contoh:
Percayai-mempercayai asasd berpegang,
Barulah muafakat kekal selamanya.
iii. Hormat-menghormati.
Masyarakat yang saling menghormati dapat memperkukuhkan perpaduan.
Contoh:
Bertolak-ansur hormat-menghormati,
Mengukuh perpaduan, ikatan muafakat.
PENGAJARAN
i. Kita haruslah bekerjasama dalam melakukan sesuatu pekerjaan.
Contoh:
Ke lurah sama diharungi,
Usaha bersama membawa bahagia.
ii. Kita hendaklah saling mempercayai antara satu sama lain.
Contoh:
Percaya-mempercayai asas berpegang,
Barulah muafakat kekal selamanya.
iii. Kita perlu saling menghormati dalam kalangan masyarakat.
Contoh:
Bertolak-ansur hormat-menghormati,
Mengukuh perpaduan, ikatan muafakat.