Monday, January 3, 2011

Cerpen: Hutan Rimba

Cerpen Hutan Rimba
( Sasjira )
Sumber: Bahagian Pembangunan Kurikulum ( KPM )
Sinopsis:

Pak Tua sebagai pemandu traktor menyesali pekerjaannya yang mengakibatkan kemusnahan alam sekitar. Harapannya agar kawasan hutan kembali merimbun. Hasil pekerjaannya dia berjaya membesarkan anak-anaknya dengan kerjaya masing-masing. Atas nasihat anaknya Pak Tua dapat dipujuk agar reda dengan pekerjaannya yang banyak membantu menyara keluarga dan pendidikan anak-anaknya. Akhirnya Pak Tua dan anak-anaknya berjaya menceburi bidang pelancongan dengan membuat resort keluarga di hutan simpan miliknya.

Tema:
Kemusnahan alam semulajadi untuk pembangunan. Kawasan bekas aktiviti pembalakan akhirnya telah menjadi kawasan perladangan. Estet-estet kelapa sawit luas saujana mata memandang.
Persoalan:
  1. Persoalan kemusnahan flora dan fauna alam. Aktiviti pembalakan yang dilakukan telah memusnahkan kehidupan flora dan fauna.

  2. Persoalan kekesalan atas kemusnahan khazanah alam. Pak Tua menyesal kerana pekerjaannya sebagai pemandu jentolak dengan syarikat pembalakan menyebabkan khazanah hutan musnah.

  3. Persoalan kepentingan pendidikan anak-anak. Empat orang anak Pak Tua telah berjaya dalam bidang pendidikan dan kerjaya masing-masing.

  4. Persoalan kepentingan pembangunan dalam memajukan negara. Pembangunan dalam bidang pertanian dapat memberi sumber pendapatan kepada negara.

Plot:

Secara keseluruhan cerpen ini digarap mengikut kronologi. Terdapat empat peringkat garapan plot iaitu:

( i ) Permulaan

Pada peringkat ini watak Pak Tua digambarkan sedang memandu jentolak Caterpillar yang mengeluarkan asap hitam dan bunyi bising di dalam hutan dara. Jentolak tersebut menumbangkan pokok-pokok dan mengakibatkan binatang-binatang hilang habitat semulajadi. Kawasan hutan dara menjadi gondol dalam sekelip mata.


( ii ) Perkembangan

Pada bahagian ini watak Pak Tua dipenuhi perasaan kesal sehingga menitiskan air mata ketika mengimbas kembali pekerjaannya selaku pemandu jentolak 30 tahun yang lalu telah mengakibatkan kemusnahan alam sekitar. Pak Tua berazam untuk mengembalikan kehijauan hutan dara dan flora serta faunanya. Mak Tua pula cuba memujuk Pak Tua dengan menjelaskan bahawa pekerjaan yang dia lakukan dahulu telah membuahkan hasil kerana keempat-empat orang anaknya telah bekerjaya. Sepanjang membesarkan anak-anak juga dia tidak membuat sebarang pinjaman untuk anak-anaknya melanjutkan pelajaran di universiti. Pak Tua terkenangkan zaman mudanya sewaktu dia meninggalkan kampung halamannya untuk mencari pekerjaan. Semasa di kampungnya dia menggunakan bom buatan sendiri untuk menangkap ikan walaupun perbuatan tersebut memusnahkan terumbu karang. Mak Tua terus memujuk Pak Tua agar jangan terlalu menyesali kemusnahan hutan kerana mereka bertemu jodoh dan hidup bahagia sehingga kini kerana dia bekerja di dalam hutan.

( iii ) Konflik

Peringkat ini bermula setelah Pak Tua mewarisi tanah pusaka ibu bapa mentuanya. Pada waktu ini Pak Tua masih lagi dengan rutinnya pada setiap malam Jumaat menghantar juadah ke masjid sambil terus melakukan solat fardhu dan membaca surah Yasin. Tanah pusaka itu dipenuhi buah-buahan tempatan dan buah-buah itu dipungut oleh oleh Pak Tua untuk anak cucunya, namun begitu untuk mendapatkan buah-buahan hutan dia terpaksa meredah hutan belantara. Digambarkan juga dusun Pak Tua didatangi pelawat yang menaiki bas mini dan kereta kerana jalan sudah berturap. Konflik timbul apabila Ajam mempersoalkan tindakan bapanya yang menjadikan tanah dusun itu menjadi hutan simpan di samping ada tanah untuk tapak rumah dan dusun buah-buahan. Melati pula mempertahankan tindakan bapanya yang sebenarnya menolong negara melaksanakan pembangunan dan hal ini disokong oleh Budi.

( iv ) Klimaks

Apabila Bakar mencari pekerja untuk menjaga dusun dan hutan daripada pencuri kayu balak yang semakin menjadi-jadi. Melati menyatakan rancangan mereka adik-beradik untuk menjadikan dusun dan hutan itu sebagai kawasan pelancongan.

( v ) Peleraian

Pak Tua tidur di ruang utama dengan dikelilingi cucu-cucunya sambil bercerita tentang kehidupan sebuah hutan rimba yang indah dan damai. Pada ketika itu juga dia sudah bergelar haji dan berasa lega dengan keputusannya melestarikan harta warisan alam.

Watak dan Perwatakan:

Watak Utama

Pak Tua

  • pemandu jentolak jenama Caterpillar.


  • seorang yang bertanggungjawab terhadap keluarga, Bertanggungjawab membiayai perbelanjaan pendidikan anak-anaknya.


  • berjaya membesarkan anak-anak dengan pendidikan tinggi. Anaknya yang sulung Ajam berjaya dalam bidang perniagaan pengangkutan bas antarkota. Anaknya yang kedua, Bakar bekerja sebagai pengurus ladang sebuah estet kelapa sawit. Anaknya yang ketiga, Melati menjadi seorang pensyarah di sebuah IPT dan anaknya yang bongsu seorang guru yang memegang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan.


  • bangga dengan kejayaan anak-anak. Dia bangga kerana kesemua anaknya sudah berjaya dalam bidang akademik dan mempunyai kerja yang baik.


  • bersyukur dengan pembangunan. Pembangunan yang telah dilakukan telah menyebabkan anak-anaknya dapat menikmati kehidupan yang sempurna.


  • kesal atas pencerobohan hutan. Pak Tua kesal kerana ketika mudanya dia telah terlibat dengan aktiviti pembalakan.

Watak Sampingan:

Mak Tua

  • isteri Pak Tua.

  • tinggal di tepi sungai berdekatan hutan dara.

  • pandai memasak. Menyediakan makanan yang enak untuk keluarganya.

  • pandai mendidik anak-anak. Anak-anaknya saling menyayangi dan mengormati kedua orang tua mereka.

Ajam

  • anak sulung Pak Tua.

  • seorang pengusaha pengangkutan bas antarkota.

  • mahir dalam selok-belok dunia perniagaan.
  • gigih. Kegigihannya menyebabkan dia telah menjadi ahli perniagaan yang berjaya.

  • berfikiran terbuka. Menerima cadangan adik-adiknya yang mahu membuka kawasan pelancongan.

Bakar

  • anak Pak Tua.

  • berkelulusan Sarjana Pertanian.

  • pengurus ladang estet kelapa sawit.

Melati

  • anak ketiga Pak Tua.

  • pensyarah IPT.

Budi

  • anak bongsu Pak Tua.

  • seorang guru ijazah Sarjana Muda Pendidikan.

Latar:

Latar Masa:

  1. 3o tahun yang lalu sepanjang usia Pak Tua membesarkan anak-anak.

  2. Malam jumaat. Majmils bacaan Yasin diadakan.

Latar Tempat:

  1. Hutan tempat diteroka oleh Pak Tua.

  2. Sungai tempat Mak Tua mencari ikan.

  3. Sungai Kinabatangan, Sabah.

Latar Masyarakat:

  1. Masyarakat penyayang keluarga masing-masing. Contohnya Pak Tua menyayangi semua ahli keluarga.

  2. Masyarakat beriman ..., Contohnya Pak Tua yang rajin bersolat di masjid.

  3. Masyarakat inginkan pendidikan bagi mencorakkan pendidikan baru. Contohnya anak-anak Pak Tua yang semuanya berpendidikan tinggi.

  4. Masyarakat yang inginkan pembangunan bagi memajukan kawasan penempatan. Contohnya Pak Tua yang tidak menghalang hasrat anak-anaknya yang ingin menjadikan kawasan dusun mereka sebagai kawasan pelancongan.

Teknik Penulisan:

1. Pemerian :


Contohnya:


Kera dan monyet melompat bergayutan lari meninggalkan habitatnya. Begitu juga dengan gajah, babi hutan, payau, dan kijang. Namun ada yang tidak sempat menyelamatkan diri.


2. Dialog :

Contohnya:

"Bapa telah melestarikan harta warisan alam." Bakar mencelah kagum.

"Hanya dengan cara inilah bapa dapat menebus kesalahan bapa kerana pernah terlibat dalam pemusnahan hutan suatu masa dahulu."...


3. Imbas Kembali:

Contohnya:

Pak Tua cuba meraih kembali ingatannya sewaktu tiga puluh tahun yang lalu. Jari jemarinya terketar-ketar mengurut kerut di dahinya yang menyimpan begitu banyak memori ...

4. Suspen:

Contohnya:

"Tapi kenapa semua kesenangan ini harus terhasil dari sebuah kehancuran. Kehancuran hutan rimba." Akhirnya kesesakan di dada Pak Tua ikut terluah bersama linangan air matanya. Dia menangis kini. Dia menangis setelah menyedari bahawa tanpa sedar, dia sekali lagi ikut terlibat dalam pemusnahan alam...

Gaya Bahasa:

  1. Kata ganda. Contohnya: pohon-pohon

  2. Metafora. Contohnya: hutan dara, busana hijau.

  3. Hiperbola. Contohnya: ... jentolak yang dipandu oleh Pak Tua telah merobek dan mengoyak hasil busana hutan.

  4. Personifikasi. Contohnya: bunyi mengaum keras mendengung, membingitkan suasana.

  5. Repitisi. Contohnya: Dia menangis kini. Dia menangis setelah ...

  6. Paradoks. Contohnya: ... kesenangan ini harus terhasil dari sebuah kehancuran.

Nilai:

  1. Nilai tanggungjawab. Contonya Pak Tua yang bertanggungjawab membesarkan keempat-empat orang anaknya sehingga mereka berjaya dengan kerjaya masing-masing.

  2. Nilai kasih sayang sesama ahli keluarga. Contohnya anak-anak Pak Tua yang saling menyayangi antara satu sama lain dan berbincang dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.

  3. Nilai kegigihan. Contohnya Pak Tua yang gigih mencari rezeki untuk menyara kehidupan keluarga.

  4. Nilai kerajinan. Contohnya Pak Tua rajin berusaha untuk meningkatkan diri dengan berhijrah meninggalkan kampung halamannya.

Pengajaran:

  1. kita hendaklah menjadi seorang bapa yang bertanggungjawab. Pak Tua bertanggungjawab untuk membesarkan dan memberi pendidikan yang sempurna kepada anak-anaknya.

  2. kita hendaklah saling berkasih sayang antara adik -beradik. Contohnya anak-anak Pak Tua sama-sama berbincang sebelum mengambil keputusan untuk menjadikan dusun buah-buahan bapa mereka sebagai kawasan pelancongan.

  3. kita mestilah menjadi ketua keluarga yang memiliki sifat gigih bekerja. Contohnya Pak Tua begitu gigih bekerja untuk menyara anak-anak dan isterinya.

  4. kita hendaklah rajin berusaha untuk membaiki taraf hidup. Contohnya Pak Tua sangat rajin bekerja sejak zaman mudanya lagi.






Read more

Sunday, January 2, 2011

Cerpen: Pungut@Zahara@YapSiew Hong

Sumber: Bahagian Pembangunan Kurikulum

Sinopsis:
Perjalanan kehidupan Mak Timah dalam membesarkan anak angkatnya yang cacat selama 24 tahun. Kisah bermula dengan imbas kembali peristiwa Mak Timah yang mengambil anak angkatnya yang digelar Pungut ( diberi nama Zahara, nama asal Yap Siew Hong ) yang diambil dari keluarga Bibik yang berketurunan Cina. Pada peringkat awal Mak Timah berharap saiz Pungut akan berubah apabila dia besar dan boleh membantunya apabila dewasa tetapi sebaliknya pula berlaku malah Pungut jadi bisu dan pekak serta tidak boleh menguruskan diri sendiri. Hal ini disebabkan Pungut mengalami kecacatan kekal hingga dewasa dan Mak Timah terpaksa menguruskan segalanya. Mak Timah berdoa agar Tuhan mengambil nyawa Pungut sebelum dia meninggal dunia.

Tema:
Kesabaran seorang ibu angkat ( Mak Timah ) menjaga anak cacat anggota ( Pungut )

Persoalan:
  1. Persoalan kepincangan masyarakat terhadap penerimaan anak yang cacat. Siew Lan tidak menyukai anaknya kerana anak tersebut cacat dan dikatakan membawa sial.

  2. Persoalan ketabahan dalam menjalankan tanggungjawab yang berat. Mak Timah tetap menguruskan Pungut yang cacat walaupun ketika Mak Timah sedang sakit.

  3. Persoalan keikhlasan dalam menerima amanah dan takdir Tuhan. Mak Timah hairan memikirkan orang sekarang yang tidak ikhlas dalam membantu orang lain. Dia tidak membenarkan anak lelakinya menghantar Pungut ke rumah kanak-kanak cacat.

  4. Persoalan kejujuran dalam memberi kebajikan tanpa mengharapkan balasan. Mak Timah selalu berdoa kepada Tuhan agar mengambil nyawa Pungut dahulu sebelum mengambil nyawanya kerana dia tahu tidak ada sesiapapun akan memelihara Pungut

Plot:

Secara keseluruhannya, plot cerpen ini disusun secara kronologi. Terdapat empat peringkat garapan plot iaitu:

( i ) Permulaan

Pembaca diperkenalkan dengan watak Pungut yang bertingkah laku seperti orang kurang upaya dan dijaga keperluannya oleh Mak Timah sepanjang masa.

( ii ) Perkembangan

Mak Timah terkenangkan peristiwa 24 tahun lalu bagaimana dia mengenali Bibik dan mengambil anak Siew Lan yang baru dilahirkan sebagai anak angkat yang sah kerana tidak sampai hati apabila mengetahui bayi itu akan dibuang.

( iii ) Konflik

Konflik timbul apabila anak Mak Timah mula bertengkar tentang Pungut dan mencadangkan agar Pungut dihantar ke rumah kebajikan.

( iv ) Peleraian

Mak Timah terus menjaga Pungut dan berdoa agar Pungut mati terlebih dahulu sebelum dirinya.


Teknik Plot:

1. Pemerian

Dia tergigil-gigil. Mulutnya mengeluarkan bunyi macam suara nyamuk, berdenggung-denggung. Kepalanya digeleng-gelengkan ke kiri dan ke kanan dengan pantas. Kemudian dia meluru masuk bilik ...

2. Monolog

"Mungkin Tuhan nak uji kesabaran aku, menjaga dia, "fikir Mak Timah.

3. Dialog

"Mengapa Bik?" Mak Timah bertanya.

"Siew Lan." Jawabnya lambat

4. Imbas kembali

.. Mak Timah terbayang kisah yang berlaku dua puluh empat tahun lalu ...


Watak dan Perwatakan

Watak Utama

1. Mak Timah

  • perempuan tua

  • selalu sakit-sakit

  • ibu angkat Pungut

  • ikhlas menjaga Pungut. Mak Timah sanggup menjaga Pungut selagi dia masih hidup.

  • Tabah dan sabar menghadapi dugaan. Mak Timah tetap menjaga makan minum dan kencing berak Pungut walaupun dia tidak bermaya kerana sakit.

Watak Sampingan

2. Pungut/ Zahara bt Muhamad @ Yap Siew Hong

  • berusia 24 tahun

  • cacat fizikal dan mental ( terpaksa semua dibantu ) dijangkakan tidak hidup lama oleh doktor

  • anak angkat Mak Timah

  • bertubuh sangat kecil ( pekak dan bisu )

3. Bibik

  • nenek Pungut

  • berbangsa Cina peranakan

  • percaya kepada ramalan loktang. Bibik tidak suka akan Pungut kerana dia percaya kata-kata loktang bahawa Pungut membawa sial.

Latar

Latar Masa

  1. Tahun 1957 ketika Pungut dilahir

  2. 24 tahun selepas Pungut dewasa

Latar Tempat

  1. Rumah sewaan Bibik tempat tinggal Mak Timah

  2. Rumah lelaki anak bongsu Mak Timah

Latar Masyarakat

  1. Masyarakat majmuk ( bangsa Cina dan Melayu ). Terdapat keluarga Siew Lan dan keluarga Mak Timah.

  2. Masyarakat yang percaya kepada bomoh ( ramalan Loktang ). Bibik amat percaya dengan ramalan Loktang tentang Siew Lan.

  3. Masyarakat yang simpati terhadap golongan kurang upaya. Mak Timah kasihan dengan nasib Siew Lan yang akan dibuang lalu sanggup memeliharanya.

Gaya Bahasa

  1. Kata ganda: digeleng-gelengkan

  2. Bahasa pasar: sueh, loktang

  3. Sinkope: nak, kau

  4. Personifikasi: kelakuannya tak ubah macam wayang patung

Nilai

  1. Nilai kasih sayang: CONTOH: seorang ibu angkat ( Mak Timah ) mengasihi anak angkatnya Pungut.

  2. Nilai keikhlasan: CONTOH: Mak Timah menguruskan dan menjaga Pungut dengan ikhlas.

  3. Nilai simpati terhadap golongan yang kurang upaya: CONTOH: Mak Timah simpati dengan nasib Pungut

  4. Nilai setiakawan: CONTOH: semangat setiakawan antara masyarakat iaitu Mak Timah bertegur sapa dengan Bibik

  5. Nilai hormat-menghormati: CONTOH: anak-anak Mak Timah menghormati pendirian emak mereka.

Pengajaran

  1. kita hendaklah menyayangi ahli keluarga sungguhpun statusnya hanya anak angkat sahaja. Contonya Mak Timah yang menyayangi Pungut dan memeliharanya sehingga sudah berusia 24 tahun.

  2. kita mestilah ikhlas memberikan pertolongan. Contohnya Mak Timah begitu ikhlas memelihara Pungut sehingga mencapai umur dewasa.

  3. kita haruslah bersimpati terhadap golongan kurang upaya. Contohnya Mak Timah yang bersimpati dengan nasib Pungut.

  4. kita hendaklah mengamalkan semangat setiakawan. Contohnya Mak Timah bertegur sapa dengan bibik.

  5. kita wajarlah menghormati keputusan ibu bapa. Contohnya anak-anak Mak Timah yang menghormati keputusannya menjadikan Pungut sebagai anak angkat.



Read more

Saturday, January 1, 2011

Tebang Tebu ( ROSLAN MADUN )

Read more

Thursday, November 18, 2010

TELUR SEBIJI RIUH SEKAMPUNG

Read more