Drama 1400
( Nordin Hassan )
Sumber: Bahagian Pembangunan Kurikulum ( KPM )
Sinopsis:
Dollah yang capik menyuarakan rasa tidak puas hati atas sikap masyarakat yang menolaknya disebabkan harta dan kecacatannya. Dia berazam untuk menjadi kaya dan mengubah pendirian orang kampung.
Dollah bertemu dukun dengan menggunakan azimat daripada mayat ibunya. Hasil pertolongan dukun Dollah mendapat harta karun dengan pertolongan Jin. Dollah bertukar corak dengan memakai kaki palsu dan pakaian mahal serta mempunyai pembantu bernama Doli.
Pada peringkat awal peminangannya ditolak. Walaupun begitu dengan kekayaannya Dollah telah membina empayar yang luas dengan membeli tanah orang kampung. Dollah juga telah berkahwin dengan Intan Siti Rahimah yang beriman dan baik perangainya. Sebaliknya Dollah dibenci orang kampung kerana Dollah menindas orang kampung dan memelihara kuda yang banyak serta mengotorkan sungai dengan najis kuda yang menjadi sumber air penduduk kampung. Akibat pencemaran tersebut, penyakit merebak dan ramai penduduk kampung yang menggunakan air sungai yang tercemar itu mendapat zuriat yang cacat.
Dollah suka berburu. Dia gembira dengan kehamilan isterinya dan meminta Intan Siti Rahimah makan makanan yang baik sahaja dan tidak mengambil makanan dari kampung tersebut.
Apabila anaknya lahir, anak itu cacat. Anak tersebut dibuang dan isterinya dihalau. Dollah telah bertemu dengan mayat ibunya yang minta dia bertaubat. Akhirnya semua harta kekayaannya hilang dan balik kepada keadaan asal.
Dollah bertemu semula dengan isterinya di kampung lain yang memperjuangkan Islam. Akhirnya Dollah hilang di laut dan Siti Rahimah mendoakan keselamatannya.
Pemikiran:
Kekayaan mengubah sikap manusia ke arah kemungkaran dan menindas golongan yang lemah. Dollah seorang pemuda yang asalnya miskin dan capik. Dia dipandang hina oleh masyarakat. Justeru, dia berazam untuk menjadi kaya. Malangnya setelah hajatnya untuk menjadi kaya termakbul, sikap Dollah terus berubah. Dia sering menindas orang kampung. Dollah langsung tidak memperdulikan akibat pencemaran sumber air penduduk kampung yang berpunca daripada najis kuda yang dipeliharanya. Dia juga tidak membenarkan isterinya bergaul dengan golongan susah. Dollah lupa daratan.
Persoalan:
Persoalan kepincangan masyarakat memilih kepada orang yang berharta.
Persoalan keimanan yang kukuh menjadi panduan pada kebaikan.
Persoalan pencemaran sungai memberi kesan yang buruk kepada pengguna dan membawa penyakit.
Persoalan penindasan kepada golongan yang lemah.
Persoalan penipuan kepada orang yang kurang berilmu.
Plot:
Secara keseluruhannya, plot ini digarap mengikut kronologi. Terdapat empat peringkat garapan plot iaitu:
( i ) Permulaan
Memperkenalkan watak Dollah yang tempang, tiada berharta tetapi baik budi bahasa serta suka membantu. Dollah sering ditindas atas kelemahan dirinya menyebabkan dia ingin menjadi kaya. Nasihat Soud kepada Dollah supaya ikhlas membantu dan jangan mencari rezeki haram.
( ii ) Perkembangan
Dollah bertemu bomoh yang membantunya menggunakan azimat mayat ibunya bagi mendapatkan harta karun. Dollah berubah menjadi kaya dan berperwatakan orang yang mewah.
( iii ) Konflik
pinangannya ditolak pada peringkat permulaan walaupun Dollah sudah kaya
Dollah mengambil tanah orang kampung dan memelihara kuda yang mencemarkan sungai dan membawa penyakit kepada penduduk kampung
Dollah disondol binatang ganjil dan Siti Rahimah melahirkan anak cacat lalu dibuang
( iv ) Klimaks
Dollah hilang kekayaan dan harta benda dan pertemuan dengan mayat ibunya yang meminta dia bertaubat atas segala perbuatan syiriknya
( v ) Peleraian
Dollah insaf dengan kesalahan dan kembali beriman dengan bantuan Siti Rahimah yang ditemui semula di kampung lain. Walau bagaimanapun Dollah hilang di laut.
Teknik Plot:
1. Kejutan
- Dollah bertemu dengan mayat ibunya
- Siti Rahimah melahirkan anak yang cacat dan hodoh
2. Suspen
- Dollah disondol binatang ganjil
3. Pemerian
Manusiakah? Jinkah? Jembalangkah ? Apakah dia? Kepalanya besar, telinganya panjang, matanya halus, berbulu di sana, berbulu di sini, tabik-tabik cakap ...
4. Imbas Kembali
Dollah: Imah pernah tak ke tepi laut?
Siti Rahimah: Pernah, tapi lewat petang saja, apabila matahari hampir terbenam, sebelum maghrib. Waktu itu angin kerap kali sayu dan laut beranak ombak di gigi air. Pantai tak jauh.
5. Monolog
Dollah: ( Agak kehilangan akal pada mulanya, tetapi tiba-tiba dia dia berkata ) Ya Allah, ampunlah dosaku. Berilah aku rahmat-Mu.
Watak dan Perwatakan:
Watak Utama
1. Dollah
Capik, miskin dan dihina masyarakat
Seorang yang bertukar haluan apabila mempunyai kekayaan. Dollah sudah tidak mengambil berat tentang solat setelah dia menjadi kaya
Seorang yang menindas orang lemah. Dollah tidak membesarkan isterinya membantu orang-orang kampung mengajar anak-anak jirannya yang susah.
Seorang yang sombong apabila mempunyai kekayaan. Dollah marah apabila semua pinangannya ditolak walaupun dia mempunyai harta yang banyak.
Watak Sampingan
2. Abu Lahab
3. Pak Sudin
Latar:
1. Latar Masa
lewat petang ( sebelum Maghrib ) Siti Rahimah pergi ke tepi laut
Minggu depan - Intan Siti Rahimah pergi mengajar anak-anak orang kampung di surau
Petang - di surau, Dollah berbual dengan Pak Long
2. Latar Tempat
Kampung Kuala dan Kampung Kenanga - tempat Dollah membeli tanah dan memelihara kuda
Sungai Nenek - airnya yang jernih telah tercemar dan dipanggil Sungai Kuda
Surau - tempat Intan Siti Rahimah mengajar anak-anak orang kampung mengaji
Di rumah pawang - Dollah meminta pertolongan mendapat azimat untuk menjadi kaya
3. Latar Masyarakat
masyarakat yang mementingkan harta benda. Abu Lahab sanggup menipu orang kampung demi mengumpul harta kekayaan
masyarakat yang sombong dengan kekayaan / kuasa. Dollah bangga dan sombong dengan kekayaan yang dimiliki
masyarakat yang beriman dan taat perintah Tuhan. Maulana mengingatkan Dollah supaya menjadikan al-Quran sebagai petunjuk
masyarakat yang mementingkan diri. Dollah tidak membenarkan isterinya Intan Siti Rahimah membantu bergaul dengan orang susah
masyarakat yang saling membantu. Intan Siti Rahimah ingin membantu keluarga pekerja Dollah yang susah dengan mengajar anak-anak mereka
Gaya Bahasa:
1. Simpulan Bahasa
2. Repetisi
3. Personifikasi
4. Kata Pinjaman
Bahasa Inggeris - Order, secret, you, I
Bahasa Arab - Fajar, sidik, hijrah
Nilai:
Nilai kesabaran. Contohnya, Soud meminta Dollah agar bersabar dengan hinaan orang kampung
Nilai tolong-menolong. Contohnya, Intan Siti Rahimah menolong anak orang kampung mengajar mengaji
Nilai menghargai barangan tempatan. Contohnya, Dollah yang tidak menggunakan batu mamar dari Langkawi untuk membuat rumah sebaliknya memilih batu mamar dari Itali
Nilai kasih sayang antara suami isteri. Contohnya, Tuan Dollah menjaga isterinya yang sedang mengandung dengan baik
Nilai ketaatan. Contohnya, Intan Siti Rahimah mendengar arahan suaminya iaitu Dollah semasa mengandung
Pengajaran:
Kita hendaklah mencari rezeki atau harta yang halal. Abu Lahab mengumpul harta dengan menipu orang kampung dan akhirnya mereka telah dimasukkan dalam tahanan.
Kita janganlah menindas golongan yang lemah atau miskin. Dollah dihina oleh masyarakat kampung sehingga tidak ada orang yang mahu menerima pinangannya kerana dia capik dan miskin.
Kita perlu menjaga keindahan alam sekitar. Dollah mencemarkan sungai dengan najis-najis kuda yang dipeliharanya.
Kita hendaklah taat dan menunaikan perintah Allah. Maulana mengingatkan Dollah supaya mentaati Allah dan bukannya menurut nafsu.
Kita hendaklah insaf dan bertaubat atas segala kesalahan yang telah kita lakukan. Abu Lahab dan isterinya insaf atas perbuatan mereka menipu orang kampung. Mereka berjanji akan memulangkan harta orang kampung semula.