Friday, January 21, 2011

Nota Prosa Tradisional Komsas SPM

Sila layari http://tintalidaf.blogspot.com untuk dapatkan nota Prosa Tradisional Hikayat Dua Geliga Hikmat dan Hikayat Langlang Buana dalam Antologi Dirgahayu Bahasaku.
Read more

Tuesday, January 18, 2011

Prosa Tradisional: Hikayat Upu Daeng Menambun

Prosa Tradisional
( Hikayat Upu Daeng Menambun )

Sumber: Bahagian Pembangunan Kurikulum ( KPM )

Sinopsis:

Bab III

Kisah bermula dengan pelayaran Upu Daeng dengan lima bersaudara. Pelayaran Upu Daeng disertai juga Sultan Muhammad Zainuddin. Baginda berkenan menjodohkan anakanda puteri baginda dengan Upu Daeng dan lima saudara. Daeng Perani menolak kerana telah berkahwin. Daeng Perani mencadangkan Upu Daeng Menambun berkahwin dengan Puteri Kesumba anakanda Sultan Muhammad Zainuddin. Upu Daeng Menambun bersetuju.


Bab IV

Upu Daeng Menambun berkahwin dengan Puteri Kesumba. Sultan Muhammad Zainuddin bertitah kepada Upu Daeng dan lima bersaudara menyerang Panembahan Agung. Upu Daeng dan lima bersaudara sampai ke pengkalan negeri Matan. Berita kedatangan Upu Daeng sampai ke pengetahuan Panembahan Agung, Menantu Panembahan Agung Daeng Mataku dan Tuan Hj Hafiz berjumpa Upu Daeng berlima. Mereka bersalaman dan bertanya khabar. Selepas itu mereka menghunus keris untuk bertikam. Upu Daeng Menambun berkata kepada Daeng Mataku dan Tuan Hj Hafiz bahawa mereka semua orang Bugis. Daeng Mataku dan Tuan Hj Hafiz berasa serba salah kerana arahan Panembahan Agung agar menghalang Upu Daeng berlima daripada masuk ke dalam kota sama ada secara lembut ataupun kekerasan. Tuan Hj Hafiz mencadangkan agar tidak ada pertumpahan darah. Upu Daeng berlima telah masuk ke kota dan menawan Panembahan Agung. Panembahan Agung telah dibawa menghadap Sultan Muhamad Zainuddin oleh Upu berlima.


Bab V

Upu Daeng berlima telah belayar ke Riau berjumpa dengan Sultan Raja Sulaiman. Baginda meminta pertolongan Upu Daeng berlima pergi menyerang Siak kerana Yang Amtuan Raja Kecil telah menculik saudara perempuannya dan dijadikan isteri. Upu Daeng berlima bersetuju dengan syarat apabila menjadi Yang Amtuan Besar, baginda harus melantik antara mereka berlima menjadi Yamtuan Muda. Maka berperanglah orang Siak dengan orang Bugis. Yang Amtuan Raja Kecil terpaksa berundur ke hulu negeri Siak. Sultan Raja Sulaiman mengucapkan terima kasih kepada Upu Daeng berlima kerana berjaya mengalahkan Yang Amtuan Raja Kecil. Seperti yang dijanjikan, Yang Amtuan Raja Sulaiman memilih Upu Daeng Merewah dilantik menjadi Yang Amtuan Muda di Riau. Upu Daeng Chelak dijodohkan dengan adinda Yang Amtuan Raja Sulaiman bernama Tengku Puan.


Bab VI

Raja Kedah telah berbalah dengan saudaranya berkaitan takhta lalu meminta pertolongan daripada Upu Daeng lima bersaudara. Upu Daeng lima bersaudara sanggup menolong Yam Amtuan Raja Kedah untuk mendapatkan takhtanya dan berjanji akan memberikan setiap seorang lima belas bahara sebagai balasan. Upu Daeng telah meminta agar pedagang yang ada di negeri Kedah terutamanya dari Bugis, Mangkasar dan Madura di bawah perintahnya namun Raja Kedah berkata bahawa dia memerlukan masa untuk mengumpul orang tersebut untuk Upu Daeng. Upu Daeng berjaya mengumpulkan pedagang dari Timur untuk membantu Raja Kedah ditabalkan menjadi Yang Dipertuan Raja Kedah. Setelah tiga hari, rombongan Upu Daeng lima bersaudara bersetuju menabalkan Raja Kedah menjadi Yam Amtuan negeri Kedah. Namun begitu, ada saudara Raja Kedah yang tidak bersetuju dengan pelantikan baginda ingin menyerangnya dan peperangan berlarutan sehingga tiga hari tiga malam dan berterusan sehingga lapan hari yang akhirnya kemenangan berpihak kepada orang Bugis. Raja Kedah yang baru mengahwinkan Upu Daeng Perani dengan saudara perempuan dan membayar tiga bahara seperti yang dijanjikan kepada mereka.


Bab VII

Upu Daeng lima bersaudara telah dijemput oleh Raja Sambas dan ingin menjodohkan antara mereka dengan adik perempuannya yang bernama Urai Tengah seterusnya dilantik menjadi Pangeran Mangkubumi di Sambas. Upu Daeng Menambun menerina pelawaan tersebut lalu pergi ke Sambas bersama-sama Upu Daeng Kemasi. Kedatangan mereka berdua telah disambut oleh oleh Sultan Adil dan anakandanya dan disediakan satu rumah dalam sebuah kampung. setelah tiga hari, Sultan Adil menyuruh Pangeran dan kiai bertujuh untuk berjumpa Upu Daeng Menambun dan Upu Daeng Kemasi bagi menyampaikan hajat untuk mengahwinkan salah seorang daripada mereka dengan adiknya Raden Tengah. Upu Daeng Menambun mencadangkan agar Upu Daeng Kemasi dikahwinkan dengan Raden Tengah dan Sultan Adil bersetuju lalu mereka berkahwin. Upu Daeng Kemasi telah dilantik menjadi Pangeran Mangkubumi di dalam daerah negeri Sambas.


Bab VIII

Setelah sekian lama di negeri Sambas, Upu Daeng Menambun teringin untuk balik ke negeri Matan. Hal ini mengembirakan Sultan Muhammad Zainuddin lalu mengadakan sambutan yang hebat untuk menyambut ketibaannya. Setelah setahun, Sultan Muhammad Zainuddin mengumpulkan anak-anaknya serta saudaranya dan pangeran dan kiai untuk membincangkan hal berkaitan penggantinya. Pangeran dan Menteri Penggawa meminta tangguh untuk memilih orang yang layak menjadi pengganti Sultan Muhammad Zainuddin. Seluruh penduduk Matan tidak sepakat untuk memilih pengganti Sultan Muhammad Zainuddin akhirnya berkahwin dengan anak Raja Mempawah.


Bab IX

Khabar berita telah sampai ke Sultan Muhammad Zainuddin bahawa Duli Panembahan Sangkawak telah mangkat. Lalu anakanda Puteri Kesumba dilantik menjadi Ratu Agung Senuhun dan diraikan dengan besar-besaran di negeri Matan. Setelah acara keraian selama tujuh hari tujuh malam, rombongan diraja berangkat balik ke Kuala Mempawah bersama-sama hamba perempuan dan pengiring raja perempuan. Mereka kemudiannya sampai ke Sebukit lalu membuka negeri di situ. Setelah selesai segala urusan membuka negeri, mereka berangkat ke makam Marhum Panembahan Sangkawak.


Tema:
  • Kepahlawanan

Kepahlawan Upu Daeng lima bersaudara dalam menakluki dan menawan negeri-negeri Melayu dan akhirnya menjadi raja di negeri-negeri Melayu.


Persoalan:

  1. Persoalan keberanian dalam menegakkan keadilan.

  2. Persoalan menunaikan janji yang telah dibuat.

  3. Persoalan perebutan takhta kerajaan membawa kepada pertelingkahan.

Watak dan Perwatakan:

( i ) Upu Daeng Menambun

  • anak raja
  • mempunyai 4 saudara yang lain iaitu Daeng Parani, Daeng Kemasi, Daeng Merewah dan Daeng Chelak.
  • berkahwin dengan Puteri Kesumba dari Riau
  • dilantik menjadi raja di Mempawah

( ii ) Daeng Parani

  • saudara yang tertua antara lima bersaudara
  • beristerikan anak Nakhoda Alang dari Siantan
  • mempunyai dua orang anak iaitu Daeng Kemboja dan Daeng Khatijah

( iii ) Daeng Kemasi

  • beristerikan anak Raja Mempawah
  • dilantik menjadi raja di Sambas

( iv ) Daeng Chelak

  • dilantik menjadi raja di Riau
  • berkahwin dengan Tengku Puan, adinda Sultan Raja Sulaiman

( v ) Daeng Merewah

  • menjadi Yang Amtuan Muda di Riau
  • berkahwin dengan Ungku Encik Ayu, anakanda Ungku Datuk Temenggung

Latar:

Latar Masyarakat

1. Masyarakat feudal

  • Contoh: Masyarakat yang mengamalkan sistem pemerintahan beraja.

2. Masyarakat istana

  • Contoh: Masyarakat yang tinggal di istana seperti raja.

Latar Tempat

1. Riau

  • Contoh: Upu Daeng Menambun lima bersaudara membantu Sultan Raja Sulaiman menyerang Siak.

2. Siak

  • Contoh: Peperangan antara Upu Daeng berlima dengan orang Siak.

3. Negeri Matan

  • Contoh: Tempat Puteri Kesumba diraikan dengan besar-besaran setelah dilantik menjadi Ratu Agung Senuhun.

Latar Masa

1. Tujuh hari tujuh malam.

  • Contoh: Meraikan Puteri Kesumba yang dilantik menjadi Ratu Agung Senuhun.

2. Hari Jumaat.

  • Contoh: Rombongan Ratu Agung Senuhun mula belayar.

Gaya Bahasa:

1. Bahasa Istana.

  • Contoh: Sultan, ayahanda, patih, paduka, dayang-dayang.

2. Bahasa pinjaman bahasa Arab.

  • Contoh: warith, Allah Subhanahu Wa Ta'ala, tulisan jawi, Rahmatullah Ta'ala.

3. Kata ganda.

  • Contoh: berkasih-kasihan, dibagi-bagi, betul-betul.

Nilai:

1. Nilai keberanian.

  • Contoh: Upu Daeng berlima berani menentang musuh.

2. Nilai tolong-menolong.

  • Contoh: Upu Daeng berlima menolong Raja Sulaiman menentang orang Siak.

3. Nilai menepati janji.

  • Contoh: Raja Kedah memberikan wang sebanyak 3 gahara seperti yang dijanjikan kepada Upu Daeng berlima kerana membantunya mendapatkan takhta.

4. Nilai kerjasama.

  • Contoh: Upu Baeng lima bekerjasama dalam menyelesaikan sesuatu masalah.

Pengajaran:

  1. Kita hendaklah berani menghadapi musuh. Contoh: Upu Daeng berlima berani menentang musuh.
  2. Kita hendaklah bermusyawarah dalam membuat keputusan. Contoh: Ratu Sultan bermesyuarat dengan menantunya orang Bugis yang bernama Upu Daeng Menambun.
  3. Kita hendaklah membantu orang yang memerlukan. Contoh: Upu Daeng berlima menolong Raja Sulaiman menentang orang Siak.
  4. Kita hendaklah menepati janji. Contoh: Raja Kedah memberikan wang sebanyak tiga gahara seperti yang dijanjikan kepada Upu Daeng berlima kerana membantu mendapatkan takhta









Read more

Sunday, January 16, 2011

Prosa Tradisional: Hikayat Siak

Prosa Tradisional
( Hikayat Siak )
Sumber: Bahagian Pembangunan Kurikulum

Sinopsis:

Kisah bermula dengan pelayaran Tuan Bujang setelah mendapat perkenan daripada Sultan Palembang. Tuan Bujang dibekalkan oleh Sultan Palembang dengan pakaian keemasan dan keris kebesaran. Tuan Bujang sampai ke Rawas dan berkahwin dengan anak Dipati Batu Kuching. Tuan Bujang mendapat seorang anak lelaki dan dinamakan Raja Alang. Di Pagar Ruyung, Tuan Bujang telah ditabal sebagai Yantuan Sakti. Tuan Bujang juga telah diuji bagi membuktikan bahawa baginda ialah daripada keturunan kesultanan Johor. Tuan Bujang telah diberi gelaran Yang Dipertuan Raja Kecik. Yang Dipertuan Raja Kecik telah pergi ke Siak namun tiada sesiapa yang mengenali baginda malah baginda terpaksa bekerja sebagai Nakhoda Penangguk. Kemudian baginda pergi ke Mengkalis dan di sana telah digelar olehorang Minangkabau sebagai Yang Dipertuan. Baginda berhajat hendak menyerang negeri Johor. Pada masa yang sama, Raja Bugis iaitu Daheng Parani, Daheng Calak dan Raja Tuha telah datang ke Mengkalis. Mereka ingin membantu menyerang Johor. Daheng Parani telah membuat perjanjian sekiranya baginda berjaya menawan Johor, maka baginda akan menjadi Yang Dipertuan Besar dan Daheng Parani dilantik sebagai Yang Dipertuan Muda. Sepucuk surat telah dihantar kepada Yang Dipertuan Johor memaklumkan bahawa paduka anakanda Marhum Mangkat Dijulang ingin menuntuk bela atas kematian ayahandanya. Berita kedatangan Yang Dipertuan Raja Kecik anakanda Marhum Mangkat Dijulang di negeri Johor menjadi perbualan rakyat. Bagi membuktikan bahawa baginda ialah anakanda Marhum Mangkat Dijulang. rakyat Johor telah meminta supaya baginda menawarkan air masin menjadi tawar. Dengan izin-Nya, maka air masin telah bertukar menjadi tawar. Rakyat Johor terus bersorak dan menyebut Yang Dipertuan Raja Kecik sebagai Tuanku Yang Maha Mulia. Baginda juga bertitah kepada rakyat Johor agar menyembah dengan ucapan "daulat". Baginda kemudian menyerang Johor. Yang Dipertuan Johor bersama anakanda baginda telah pulang ke kampung lama Bendahara. Sesampai Yang Dipertuan Raja Kecik ke dalam Kota Johor, baginda telah masuk ke istana. Baginda hairan kerana tidak ada Bendahara di dalam istana. Baginda dimaklumkan bahawa Bendahara sudah melarikan diri. Yang Dipertuan Raja Kecik dimaklumkan bahawa bondanya Encik Apung telah meninggal dunia. Baginda berasa sugul dengan berita tersebut. Baginda telah bertunang dengan anak Bendahara yang bernama Tengku Tengah tetapi telah memutuskan pertunangan tersebut kerana terpikat dengan anak bongsu Bendahara iaitu Tengku Kamariah. Akhirnya baginda berkahwin dengan Tengku Kamariah dan ditabalkan menjadi Raja Johor dengan gelaran Sultan Abdul Jalil Syah.
Tema:
  • Pengembaraan anak raja.

Yang Dipertuan Raja Kecik telah mengembara dari satu tempat ke satu tempat bagi membuktikan bahawa baginda merupakan keturunan raja iaitu anakanda Marhum Mangat Dijulang sehingga baginda ditabalkan menjadi Sultan Johor.

Persoalan:

  1. Persoalan kesabaran akan membuahkan kejayaan.
  2. Persoalan kebenaran tetap terbukti apabila tiba masanya.

Watak dan Perwatakan:

1. Yang Dipertuan Raja Kecik.

  • keturunan Raja Johor.
  • nama asalnya Tuan Bujang.
  • berkahwin dengan Tengku Kamariah.
  • ditabalkan menjadi Raja Johor dengan gelaran Sultan Abdul Jalil Syah.
  • Berani. Contoh: Yang Dipertuan Raja Kecik berani memutuskan pertunangannya dengan Tengku Tengah.
  • Gigih. Contoh: Yang Dipertuan Raja Kecik gigih mengembara dari satu tempat ke satu tempat bagi membuktikan bahawa baginda merupakan keturunan raja iaitu anakanda Marhum Mangkat Dijulang.

Latar:

Latar Masyarakat

  1. Golongan masyarakat feudal. Contohnya, masyarakat yang mengamalkan sistem pemerintahan beraja.
  2. Golongan masyarakat istana. Contohnya, masyarakat yang tinggal di istana.

Latar Masa

  1. Latar masa tidak dinyatakan dengan terperinci namun peristiwa berlaku pada zaman Kesultanan pemerintahan Raja Siak.

Latar Tempat

  1. Rawas. Contoh: Tuan Bujang berkahwin dengan anak Dipati Batu Kuching.
  2. Siak. Contoh: Tempat Yang Dipertuan Raja Kecik tetapi tiada siapa mengenali baginda malah baginda terpaksa bekerja sebagai Nahkhoda Penangguk.
  3. Johor. Contoh: Yang Dipertuan Raja Kecik telah ditabalkan menjadi Raja Johor dengan gelaran Sultan Abdul Jalil Syah.

Gaya Bahasa:

1. Penggunaan Bahasa Arab.

  • Contoh: Allah Ta'ala.

2. Penggunaan Bahasa Istana.

  • Contoh: Patik, Baginda, Hulubalang, titah

3. Penggunaan Kata Ganda.

  • Contoh: Kaya-kaya, besar-besar, masing-masing

Nilai:

  1. Nilai kegigihan. Contoh: Yang Dipertuan Raja Kecik gigih mengembara dari satu tempat ke satu tempat bagi membuktikan bahawa baginda merupakan keturunan raja iaitu anakanda Marhum Mangkat Dijulang.
  2. Nilai keberanian. Contoh: Yang Dipertuan Kecik berani memutuskan pertunangannya dengan Tengku Tengah.
  3. Nilai ketaatan. Contoh: Rakyat negeri Johor menunjukkan taat setia kepada Yang Dipertuan Raja Kecik setelah mengetahui baginda ialah keturunan raja.

Pengajaran:

  1. Kita hendaklah gigih berusaha untuk mencapai kejayaan.
  2. Kita janganlah cepat berputus asa sekiranya gagal dalam sesuatu hal.
  3. Kita hendaklah patuh akan perintah ketua.

Read more

Thursday, January 13, 2011

Kajian Drama: Drama Tiang Cengal Dinding Sayung

Drama Tiang Cengal Dinding Sayung
( Suriani Mohd Yusof )

Sumber: Bahagian Pembangunan Kurikulum ( KPM )
Sinopsis:

Mak Jimah isteri Pak Jumaat menghadapi kesedihan apabila Pak Jumaat didapati hilang semasa kejadian ombak tsunami di kedah. Anak-anak Jimah iaitu Sabri, Shahrul, Sabariah dan Salmah, manakala Sani anak angkatnya cuba menenangkan perasaan Jimah agar sabar dengan takdir Tuhan. Shahrul meminta pertolongan Sani agar menyatakan hasratnya pulang ke Kuala Lumpur kepada emaknya kerana telah tamat cuti, sebaliknya Sani meminta Shahrul sendiri memberitahunya. Sabariah yang panas baran baru balik dari London menyalahkan bapaknya ( Jumaat ) yang terus turun ke laut untuk menangkap ikan. Sebenarnya dia telah mengirim wang kepada ibu bapanya supaya mereka tidak perlu bekerja. Sikapnya ditegur oleh Pak Man jiran mereka yang tidak memahami Jimah. Salmah merupakan anak Jimah yang baru balik dengan pakaian seksi dimarahi Sabariah supaya menukar pakaian sebelum berjumpa emaknya. Berlaku pertengkaran antara Sabri dan Sabariah untuk menyerahkan tugas menjaga emak mereka. Sikap mereka ditegur Pak Man. Sikap anak-anaknya menyebabkan Jimah menyerahkan kembali buku bank hasil pemberian mereka. Sabariah memarahi Jimah yang masih berharap bapa mereka akan selamat. Dalam keadaan kecoh itu Wahid dan Senin mengambil kesempatan untuk menipu serta mencuri barangan mangsa tsunami.

Akhirnya Jumaat dijumpai dan dikhabarkan oleh Man Bengap serta menyatakan Sani sahaja diminta menemani Jimah menjemput Jumaat di balai polis. Walau bagaimanapun, atas sikap bertolak ansur Sani maka mereka sama-sama menjemput Jumaat. Sabariah, Salmah, Shahrul memohon maaf kepada Jimah. Pak Man dan Mak Jah terharu dengan peristiwa itu. Atas pengajaran peristiwa yang menimpa Mak Jah, maka Pak Man berfikir bahawa dia harus bersyukur mempunyai Man Bengap walaupun hanya sebagai cucu angkat tetapi dapat menghiburkannya terutama dalam masa dia dan isterinya sunyi.

Pemikiran:

Kesetiaan isteri dan kasih sayang isteri dan anak-anak terhadap ketua keluarga ( suami/bapa ) serta kepincangan sikap anak-anak dalam menjalankan tanggungjawab mereka sebagai anak-anak

Persoalan:
  1. Persoalan kasih sayang isteri kepada suami yang tidak berbelah bagi.

  2. Persoalan sikap hormat-menghormati antara ahli keluarga.

  3. Persoalan simpati atas nasib malang yang menimpa seseorang.

  4. Persoalan jujur dan amanah dalam menyampaikan maklumat.

  5. Persoalan sikap sabar dan tabah dalam menghadapi dugaan dan cabaran hidup.

  6. Persoalan kepincangan masyarakat yang mengambil kesempatan atas kesusahan orang lain.

Plot:

Secara keseluruhan drama ini disusun mengikut kronologi iaitu mengikut urutan cerita bermula dengan permulaan dan diakhiri dengan peleraian.

Pembinaan Plot:

Secara keseluruhannya drama ini digarap mengikut kronologi. Terdapat empat peringkat garapan plot iaitu:

( i ) Permulaan

  • Dialog Pak Man dengan Sani yang bertanya khabar dan menyatakan simpati atas nasib keluarga Jimah yang kehilangan Pak Jumaat semasa kejadian tsunami.

( ii ) Perkembangan

  • Nasihat Pak Man terhadap nasib Sani walaupun sebagai anak angkat dalam keluarga Mak Jimah tetapi telah dibesarkan dengan mendapat pendidikan yang sempurna.

  • Berlaku pertengkaran antara Shahrul dan Sani mengenai sikap Shahrul yang mementingkan kerjayanya dan hendak pulang ke Kuala Lumpur walaupun bapa mereka belum ditemui lagi.

( iii ) Konflik

  • Arahan Shahrul agar Sani menasihati Jimah ( ibu mereka ) agar menerima kenyataan bahawa bapa mereka telah meninggal di laut semasa kejadian tsunami.

  • Sabariah yang tidak puas hati atas sikap bapanya yang terus turun ke laut walaupun dia telah mengirimkan wang kepada bapanya untuk menyara kehidupan mereka.

  • Mak Jah menyatakan perasaannya yang mengambil berat terhadap anak-anak Jimah kepada Sani dan dia menganggap mereka sebagai anak-anaknya juga.

  • Sabariah menyindir sikap Sani yang hanya sebagai anak angkat menumpang kehidupan mereka.

  • Jimah memahami sikap anak-anaknya terutama Sabariah yang hanya mementingkan kerjaya dan diri sendiri sahaja.

( iv ) Klimaks

  • Jimah memulangkan wang anak-anaknya yang disimpan di dalam bank dan meminta mereka pulang ke tempat masing-masing walaupun Pak Jumaat belum ditemui.

( v ) Peleraian

  • Jumaat dijumpai terselamat dalam kejadian tsunami. Dengan penemuan itu memberi banyak kesedaran kepada anak-anak Jimah bagi memohon maaf atas kesalahan masing-masing. Jimah meminta anak-anaknya juga memohon maaf daripada Sani yang banyak dihina oleh mereka. Pak Man bersyukur dengan situasi yang ceria itu dan dia juga bersyukur dikurniakan cucu angkat seperti Man Bengap.

Teknik Penceritaan:

1. Pemerian

  • Dia budak lurus. Putih, putihla yang dia kata. Kalau hitam, hitamlah yang dia kata. Dia manusia yang tidak ada kepentingan langsung ... ( ms 439 )

2. Suspen

  • Man: Orang sudah jumpa tuk, sudah jumpa dah.

3. Kejutan

  • ... Kita ni sibuk dengan kerja, dengan laki, dengan bini, dengan perniagaan. Beginilah, kalau sudah semua tidak mahu, kita hantar ke rumah welfare. Mahu? ( ms 434 )

Watak dan Perwatakan

Watak Utama

1. Jimah

  • isteri Jumaat, berusia 55 tahun
  • seorang yang setia, penyayang dan bertanggungjawab. Setiap hari Jimah ke tepi pantai menanti kepulangan suaminya yang hilang di tengah laut
  • sabar dengan dugaan dengan berdoa. Jimah sentiasa berfikir dan berdoa pada Tuhan sejak kejadian suaminya hilang di laut

Watak Sampingan

2. Sani

  • Anak angkat Jimah - seorang doktor dan telah beristeri
  • seorang yang bertanggungjawab dan sabar. Sangat mengambil berat akan emaknya terutama ketika bapanya hilang di laut

3. Sabri

  • Anak sulung Jimah
  • mengetuai ahli keluarga
  • penyabar. Sabri mahu semua adik beradiknya memujuk emaknya selagi mayat bapa mereka tidak dijumpai

4. Sabariah

  • graduan ekonomi bekerja di London
  • panas baran, anak kedua dalam keluarga. Dia menyalahkan bapanya kerana tidak berhenti pergi ke laut walaupun wang belanja bulanan dikirim setiap bulan
  • tidak suka akan Sani. Sabariah memarahi kepada Sani supaya tidak memandai-mandai dan berdolak-dalik tentang soal kematian. Dia juga menginggatkan bahawa Sani bukanlah ahli keluarga mereka.

5. Shahrul

  • Anak ketiga dalam keluarga
  • seorang akauntan di Kuala Lumpur
  • mementingkan kerjayanya. Shahrul hendak balik ke Kuala Lumpur walaupun mayat bapanya belum dijumpai
  • berselisih faham dengan Sani. Shahrul sindir-menyindir dengan Sani ketika dia pulang ke rumah emak

6. Salmah

  • seorang pereka fesyen
  • seorang yang mengikut fesyen terkini. Salmah pulang ke rumah dengan hanya memakai skirt
  • lebih mementingkan kerjaya. Salmah lewat pulang ke kampung atas urusan pekerjaan

7. Wan Malin

  • Isteri Sani
  • Banyak membantu Sani menjaga Jimah. Wan Malin berjanji dengan Jimah akan bersama-sama mentuanya itu menunggu bapa mentuanya sehingga pulang

8. Man Bengap

  • Pemuda kurang akal tetapi lurus bendul. Dia menyebut mayat untuk bangkai ikan dugong sehingga menyebabkan Pak Man ketawa
  • Cucu angkat Pak Man

9. Pak Man

  • Jiran Jimah yang prihatin dengan keluarga Jimah. Pak Man menyuruh isterinya Mak Jah memujuk Jimah yang begitu sedih dengan kehilangan suaminya. Beliau bimbang akan kesihatan Jimah yang setiap hari pulang lewat malam dari pantai
  • Banyak memberi nasihat kepada anak-anak Jimah. Pak Man menasihati anak-anak Jimah supaya bertanggungjawab apabila musibah menimpa ketua keluarga

10. Mak Jah

  • Isteri Pak Man
  • Seorang yang penyayang. Mak Jah sanggup bersama-sama keluarga Jimah menenangkan mereka ketika mereka bersedih kehilangan bapa mereka

11. Wahid dan Senin

  • Penjahat yang mengambil kesempatan. Mereka berpura-pura ditugaskan membanci kerugian yang dihadapi mangsa tsunami
  • Mencuri harta mangsa tsunami. Mereka hendak mencuri barang di rumah Jumaat semasa ketiadaan orang di rumah tersebut

Latar

Latar Masa

  1. Siang, tepi pantai berhampiran dengan sebuah perahu yang telah rosak
  2. Pagi, semasa Man mencuci kereta Abang Sabri
  3. Senja, di rumah Jimah

Latar Tempat

  1. Tepi pantai: Jimah berdiri di gigi air sambil memandang ke tengah laut
  2. Rumah Jimah :Semasa Sabariah memarahi Salmah
  3. Anak tangga rumah Jimah: Semasa Sabariah duduk termenung memikirkan nasib emaknya

Latar Masyarakat

  1. masyarakat penyayang iaitu menyayangi anak-anak contohnya sikap Jimah dan Jumaat yang tidak mahu menyusahkan anak-anak mereka dalam mencari rezeki pada usia emas.
  2. masyarakat yang prihatin dalam memberi bantuan, misalnya Pak Man yang datang menziarahi keluarga Jimah semasa kehilangan Jumaat.
  3. masyarakat yang berpendidikan, misalnya anak-anak Jimah yang berjaya dengan kerjaya masing-masing. Salmah sebagai pereka fesyen, Sani sebagai doktor, Shahrul sebagai akauntan.
  4. masyarakat yang mementingkan kerjaya misalnya Shahrul yang ingin kembali ke Kuala Lumpur setelah tamat cutinya.
  5. masyarakat yang menghormati orang yang lebih tua misalnya Sani dan Wan Malini yang menghormati Jimah dan Jumaat.

Gaya Bahasa:

1. Diksi

  • Kata pinjaman bahasa Inggeris ( Survey, HQ )

2. Falsafah

  • Daun dapat dilayang, getah jatuh ke perdu juga

3. Simile

  • ... air matanya itu macam anak air mengalir

4. Metafora

  • Ombak susu, gigi ombak

5. Repetisi

  • Putih, putihlah yang dia kata kalau hitam, hitamlah

Nilai:

  1. Nilai kasih sayang kepada suami. Jimah mengisi kehilangan suaminya berterusan.
  2. Nilai kesetiaan seorang isteri kepada suami. Misalnya Jimah tetap setia menanti suaminya yang hilang.
  3. Nilai hormat-menghormati orang yang lebih tua. Misalnya Sani tetap menghormati Sabariah walaupun kerap dimarahi.
  4. Nilai nasihat-menasihati. Pak Man menasihati Sabariah supaya tidak menghina Sani anak angkat emaknya.
  5. Nilai tanggungjawab anak-anak kepada ibu bapa. Misalnya Sani dan Wan Malini terus menjaga Jimah dan Jumaat setiap hari.

Pengajaran:

  1. Kita hendaklah menjalankan tanggungjawab dengan sebaik memberi pendidikan kepada anak-anaknya. Contohnya Pak Jumaat dan Mak Jah memberi pendidikan kepada anak-anaknya sehingga ke universiti.
  2. Kita hendaklah mengenang jasa ibu bapa yang telah membesarkan kita. Misalnya menyayangi mereka sepenuh hati walaupun dibesarkan oleh keluarga angkat sahaja.
  3. Kita perlu menyesal dan insaf terhadap kelemahan kita. Contohnya Sabariah insaf atas kesilapannya yang tidak dapat meluangkan masa dengan ibu bapanya.
  4. Kita perlu bersyukur dengan apa-apa yang kita miliki, misalnya Man Bengap bersyukur dengan kehidupannya yang serba kekurangan.
  5. Kita perlu menjaga hubungan yang baik dalam keluarga.
  6. Kita perlu berjimat cermat dalam berbelanja. Misalnya Pak Jumaat menyimpan duit yang dikirim oleh anak-anak.


Read more