Bangkitlah
(Rejab F.I)
Sumber: Bahagian Pembangunan Kurikulum
Anak-anak yang sedang lena
bangkitlah
matahari sudah tinggi
di puncak gunung.
Maksud: Penyajak menyeru anak bangsanya agar sedar daripada terlena dibuai kelalaian. Negara sudah lama merdeka dan semakin maju.
Lihat jernihnya pagi ini
burung-burung berterbangan di uadara
dan pepohon hijau merendang daunnya
apa kau masih belum bangkit?
Maksud: Negara kita semakin makmur dan bangsa-bangsa asing sibuk merebut kekayaan tanah air. Penyajak tertanya-tanya mengapa anak bangsanya masih leka.
Bangkitlah
jangan sesal nanti
madu bumi yang kekeringan
isi laut kekosongan
dan perut belantara menjadi ladang.
Maksud: Penyajak menyeru anak bangsanya supaya bangkit dari lena agar mereka tidak menyesal. Kekayaan hasil bumi negara semakin berkurangan dek pembangunan.
Anak-anak
esok apa yang akan kaumakan?
tanah atau batu atau debu?
kau mahu terus nangis
tanpa air mata?
Maksud: Penyajak berasa risau akan masa depan bangsanya yang mungkin terus ketinggalan dan hidup dalam kesusahan. Beliau tidak mahu bangsanya berputih mata.
Kalau tidak
bangkitlah
matahari belum lagi rembang
dan burung-burung belum lagi menjamah awan!
Maksud: Jikalau bangsanya tidak mahu perkara itu berlaku, mereka perlu bangkit dan berusaha. Masih ada waktu dan kesempatan mereka untuk maju dan mengejar arus pembangunan.
Tema:
Kesedaran anak bangsa perlu untuk bangkit daripada leka dalam mengejar arus pembangunan selepas kemerdekaan. Mereka harus merebut kemakmuran negara agar tidak menyesal.
Persoalan:
- Persoalan kepentingan mengejar arus pembangunan. Arus pembangunan perlu disedari dan diikuti oleh anak-anak.
- Persoalan kemajuan dan pembangunan negara tidak akan menunggu sesiapa yang leka. Kemajuan dan pembangunan negara tidak akan menunggu sesiapapun.
- Persoalan sumber bumi dan khazanah negara semakin berkurangan. Hal ini perlu disedari oleh semua orang.
- Persoalan masa depan anak bangsa yang masih leka. Kelekaan anak bangsa merunsingkan penyajak tentang masa depan mereka.
Nada:
- Patriotik
Nilai:
(i) Nilai kegigihan.
- Kegigihan diperlukan untuk mengejar kekayaan.
(ii) Nilai kerjasama.
- Semangat ini diperlukan untuk merebut peluang yang ada.
(iii) Nilai kerajinan.
- Kerajinan diperlu untuk memajukan diri.
Pengajaran:
- Kita tidak boleh leka walaupun telah merdeka.
- Kita perlu merebut peluang yang ada.
- Kita perlu bersaing dengan bangsa lain untuk maju.
- Kita janganlah leka kerana kelekaan menyebabkan kita menderita dan terus dihimpit kemiskinan.
No comments:
Post a Comment