Pasar Perasaan
(T. Alias Talib)
Sumber: Bahagian Pembangunan Kurikulum ( KPM )
ini pasar perasaan
pada gerainya duduk penjual sentimental
yang sering dikunjungi pembeli emosional.
Maksud: Penulis mendapati warung atau kedai kopi menjadi gelanggang untuk pengunjung melontarkan pendapat dan berdebat. Perdebatan yang berlaku pula dikuasai oleh emosi.
ini pasar perasaan
mereka memperdagangkan kata-kata
yang terbit daripada kalbu
bukan terbit daripada akal.
Maksud: Semasa berdebat, kata-kata yang dilontarkan lebih luahan perasaan dan bukannya hasil daripada pertimbangan akal fikiran.
mereka memperdagangkan hujah
yang rapuh dan lapuk
bagai kayu buruk;
yang mudah dipatahkan
bagai ranting kering.
Maksud: Mereka juga melontarkan pelbagai hujah sesuka hati tanpa sebarang makna dan fakta kukuh. Hujah-hujah yang begitu rapuh dan mudah disangkal.
ini pasar perasaan
di dalamnya mengalir sungai manusia
yang menghilirkan suara kosong.
Maksud: Di warung jugalah, para pengunjungnya memperlihatkan kelemahan mereka yang kurang ilmu pengetahuan. Perdebatan kosong terus menjadi agenda walaupun tidak membawa kebaikan.
ini pasar perasaan
yang memperdagangkan akal cetek
dan tawar-menawar yang dangkal.
Maksud: Di warung jugalah, para pengunjungnya memperlihatkan kelemahan mereka yang kurang ilmu pengetahuan. Perdebatan kosong terus menjadi agenda walaupun tidak membawa kebaikan.
kumasuki pasar ini
kususuri sungai sibuk ini
di tengah-tengah penjual dan pembeli
yang kaya dengan perasaan
tetapi miskin dengan kebijaksanaan.
Maksud: Penyajak cuba terlibat dan menyelami intipati perdebatan tersebut. Beliau mendapati pendebat-pendebat itu lebih dikuasai emosi ketika berbicara berbanding fakta dan ilmu.
ini pasar tidak berakal
yang diriuhkan kekosongan.
Maksud: Bagi penyajak perdebatan di warung atau kedai kopi hanya sesuai untuk mereka bercakap tanpa berfikir dahulu. Perdebatan nampak menarik tetapi tidak membawa makna.
Tema:
Perbincangan kosong di kedai kopi. Seringkali dikatakan kedai kopi sebagai tempat perdebatan pengunjungnya. Hujah mereka kosong tanpa fakta dan ilmu. Hanya sekadar meluahkan perasaan. Seringkali juga berlaku perdebatan yang sia-sia kerana dikuasai emosi.
Persoalan:
- Persoalan perbincangan kosong dan tidak ilmiah hanya sekadar menghamburkan kata-kata dan meluahkan perasaan.
- Persoalan luahan pendapat akan menjadi sia-sia kerana kurangnya kebijaksanaan.
- Persoalan pendapat tanpa ilmu dan fakta mudah dipatah dan ditepis.
- Persoalan kepentingan ilmu pengetahuan dalam menyampaikan hujahan.
Nada:
- Sinis
Nilai:
- Nilai rasional. Kerasionalan diperlukan dalam menyampaikan maklumat.
- Nilai kerajinan. Kerajinan diperlukan untuk mencari ilmu untuk menguasai kemahiran.
- Nilai kebijaksanaan. Nilai ini diperlukan untuk mengemukakan maklumat
- Nilai kesabaran. Kesabaran diperlukan dalam menghadapi cabaran hidup.
- Nilai keprihatinan. Keprihatinan terhadap persekitaran amat diperlukan.
Pengajaran:
- Kita hendaklah mendengar dengan teliti sebelum memberikan pendapat.
- Kita mestilah mengemukakan pendapat yang bernas dan berfakta.
- Kita janganlah beremosi ketika berdebat kerana ini akan mendedahkan kelemahan diri sendiri.
1 comment:
Terima kasih :)
Post a Comment