Sunday, March 13, 2011

Seloka Si Luncai

Puisi Tradisional
( Seloka Si Luncai )
Sumber: Bahagian Pembangunan Kurikulum ( KPM )
Sikap Si Luncai, biarkan, biarkan ...
Ada rumah tidak dijaga,
Ada anak tidak dilatih,
Ada ternak tidak dibela,
Ada kebun tidak ditanam,
Ada cerdik tidak selidik,
Ada belajar kepalang ajar,
Ada mengaji tiada mengkaji,
Ada mata tiada kuasa,
Ada kuat tiada buat,
Biarkan, biarkan ...!
Si Luncai pun terjun dengan labu-labunya.
Maksud:
Sikap Si Luncai yang tidak bertanggungjawab menyebabkan kehilangan harta benda. Sebagai contoh ada rumah tetapi tidak dijaga dengan baik. Ada anak tetapi tidak diasuh, ada ternakan tidak dibela, tidak bercucuk tanam walaupun ada kebun. Kesimpulannya, Si Luncai kerugian kerana tidak memanfaatkan segala yang dimiliki.
Tema:
Sikap negatif menyebabkan kerugian.
Persoalan:
  1. Persoalan sikap tidak bertanggungjawab membawa kerugian.
  2. Persoalan tidak mengamalkan ilmu yang diperoleh.
  3. Persoalan tidak menggunakan kudrat yang ada.

Bentuk:

1. Mempunyai satu rangkap sahaja.

2. Mempunyai 12 baris.

3. Jumlah perkataan antara dua hingga enam perkataan dalam satu baris.

  • biarkan, biarkan ...! ( 2 perkataan - baris 11 )
  • Ada kuat tiada buat ( 4 perkataan - baris 10 )
  • Sikap Si Luncai, biarkan, biarkan ( 5 perkataan - baris 1 )

Gaya Bahasa:

1. Anafora

  • Ada rumah tidak dijaga,
  • Ada anak tidak dilatih

2. Repitisi

  • Biarkan ...biarkan

3. Unsur bunyi

  • Asonansi - Ada mata tiada kuasa ( baris 9 ) Perulangan vokal 'a'
  • Aliterasi - Si Luncai pun terjun dengan labu-labunya ( baris 12 ) perulangan konsonan 'n'

Nilai:

1. Nilai bertanggungjawab

  • Contoh: bertanggungjawab terhadap diri, keluarga dan masyarakat.

2. Nilai kebijaksanaan

  • Contoh: Kebijaksanaan dalam menjalankan apa jua kerja.

Pengajaran:

  1. Kita hendaklah menjaga harta benda dengan sebaik-baiknya.
  2. Kita hendaklah bijak menggunakan akal.
  3. Kita janganlah membiarkan perkara yang salah tanpa menegur kesalahan itu.

No comments:

Post a Comment