Tuesday, December 25, 2012

PANTUN EMPAT KERAT ( MUAFAKAT )


Pantun Empat Kerat ( Muafakat )

 
Indah sungguh warna pelangi,
Tidak luput hingga senja;
Ke lurah sama diharungi,
Usaha bersama membawa bahagia.

Buah salak di dalam kantung,
Kulitnya keras isinya kelat;
Bulat air kerana pembentung,
Bulat manusia kerana muafakat.

 
Turun ke paya memetik kangkung,
Hati-hati terkena getahnya;
Bergotong-royong penduduk sekampung,
Hidup muafakat hidup bahagia.


Beras segantang sudah disukat,
Lalu disimpan di atas para;
Andai seluruh masyarakat muafakat,
Negara damai rakyat sejahtera.

 
Sawah padi luas terbentang,
Kuning keemasan indahnya maya;
Percaya-mempercayai asas berpegang,
Barulah muafakat kekal selamanya.

 
Harum sungguh bunga melati,
Hiasan sanggul amat memikat;
Bertolak ansur, hormat-menghormati,
Mengukuhkan perpaduan ikatan muafakat.

Sesuatu perkara yang dilakukan bersama-sama akan membawa kejayaan.

 


Manusia akan bersatu padu apabila bermuafakat.

 

 
Kerjasama antara penduduk akan melahirkan kehidupan yang bahagia.

 

 

Apabila masyarakat bermuafakat lahirlah negara yang aman dan sejahtera.

 

 
Sikap saling mempercayai adalah asas untuk melahirkan permuafakatan yang berkekalan.

 

Sikap toleransi dan saling menghormati amat penting untuk mengukuhkan perpaduan
TEMA:
Hidup bermuafakat menjamin kesejahteraan.

 
PERSOALAN:
i.    Kepentingan amalan bergotong-royong.
      Contoh:
    
    Bergotong-royong penduduk sekampung,
     Hidup muafakat, hidup bahagia.

ii.    Sikap saling mempercayai asas permuafakatan.
    Contoh:

    Percaya-mempercayai asas berpegang,
     Barulah muafakat kekal selamanya.

iii.    Sikap toleransi mengukuhkan perpaduan.
    Contoh:
    
    Bertolak-ansur hormat-menghormati,
     Mengukuh perpaduan, ikatan muafakat.

 
BENTUK
i.    Mempunyai 6 rangkap.
ii.    Mempunyai 4 baris bagi setiap rangkap.
iii.    Dua baris di atas merupakan pembayang dan dua baris di bawah     
        merupakan maksud.
iv.    Jumlah perkataan antara 3 hingga 4 perkataan sebaris.
       Contoh: Ke lurah sama diharungi. ( 3 perkataan – rangkap 1 )
       Contoh: Indah sungguh warna pelangi. ( 4 perkataan – rangkap 1 )
v.     Terdiri daripada 9 hingga 13 suku kata sebaris.
       Contoh: Ke/lu/rah/ sa/ma/ di/ha/ru/ngi/ ( 9 suku kata – rangkap 1 )
       Contoh: per/ca/ya/ mem/per/caya/i/ a/sas/ber/pe/gang/ ( 13 suku  
       kata – rangkap 5 )
vi.    Rima akhir abab

 
GAYA BAHASA
i.    Asonansi – Pengulangan vokal a
    Contoh: usaha bersama membawa bahagia

ii.    Aliterasi – Pengulangan konsonan k
    Contoh: kulitnya keras isinya kelat

iii.    Anafora: - Pengulangan perkataan 'bulat' pada awal baris
    Contoh: Bulat air kerana pembentung
         Bulat manusia oleh muafakat

iv.    Peribahasa
    Contoh: Bulat air kerana pembentung
         Bulat manusia oleh muafakat
v.    Repitisi – Pengulangan perkataan 'hidup' dalam satu baris.
    Contoh: Hidup muafakat hidup bahagia

vi.    Inversi – Pembalikan kata
    Contoh: bergotong-royang penduduk sekampung sepatutnya penduduk sekampung bergotong-royong

vii.    Unsur alam
    Contoh: Tumbuhan – kangkung, bunga melati
         Alam paya, sawah padi

NILAI

i.    Nilai bekerjasama.
    Amalan bermuafakat dan bekerjasama dalam kalangan penduduk kampung melahirkan kehidupan yang sejahtera. Contoh:
    
    Andai seluruh masyarakat muafakat
        Negara damai, rakyat sejahtera.

ii.    Nilai semangat bermasyarakat.
    Masyarakat yang percaya mempercayai akan dapat mengukuhkan perpaduan. Contoh:

    Percayai-mempercayai asasd berpegang,
        Barulah muafakat kekal selamanya.

iii.    Hormat-menghormati.
    Masyarakat yang saling menghormati dapat memperkukuhkan perpaduan.
    Contoh:
    
    Bertolak-ansur hormat-menghormati,
        Mengukuh perpaduan, ikatan muafakat.

PENGAJARAN

i.    Kita haruslah bekerjasama dalam melakukan sesuatu pekerjaan.
      Contoh:
    
      Ke lurah sama diharungi,
           Usaha bersama membawa bahagia.
    
ii.    Kita hendaklah saling mempercayai antara satu sama lain.
       Contoh:

       Percaya-mempercayai asas berpegang,
            Barulah muafakat kekal selamanya.

iii.    Kita perlu saling menghormati dalam kalangan masyarakat.
        Contoh:

        Bertolak-ansur hormat-menghormati,
             Mengukuh perpaduan, ikatan muafakat.

 

 
Read more

Thursday, August 23, 2012

CERPEN TEMPANG

( Pitteriah Abdullah )


 

Sumber: Pusat Pembangunan Kurikulum ( KPM )


 

SINOPSIS


 

    Hafizi merupakan murid yang cacat sejak dilahirkan. Kecacatan pada kaki kirinya yang pendek menyebabkan dia dipanggil dengan gelaran tempang oleh rakan-rakannya terutama Kamil. Kendatipun dia cacat, tetapi dia seorang murid yang cemerlang dalam pelajarannya. Hafizi seorang yang suka berdikari dan tidak mudah berputus asa meskipun dirinya serba kekurangan walaupun dia berasal daripada keluarga kaya dan setiap hari dihantar dan dijemput oleh pemandu keluarganya.


 

    Hafizi mempunyai seorang kawan baik bernama Raja. Dia sentiasa mempertahankan Hafizi daripada dikasari oleh Kamil yang sentiasa sakit hati dan cemburu akan kebijaksanaan Hafizi dalam pelajaran. Namun begitu, Hafizi tidak pernah melawan dan sakit hati akan perbuatan Kamil yang sentiasa mencari kesalahannya. Kamil tetap dengan perbuatan buruknya terhadap Hafizi dan tidak serik meskipun telah banyak dihukum oleh Cikgu Ridzuan, iaitu Guru Disiplin sekolah.


 

    Semasa murid-murid Tingkatan 4 Sains 1 mengadakan aktiviti perkelahan, Hafizi, Raja, Kamil dan kawan-kawannya turut serta diiringi oleh Cikgu Ridzuan dan Cikgu Lee. Tanpa disedari Raja menjerit meminta tolong bahawa Kamil lemas dalam kolam. Tanpa membuang masa, Hafizi terus terjun ke dalam kolam sehingga ke dasar untuk menyelamatkan Kamil yang sudah lemas dan tenggelam. Dengan bantuan Raja dan Hafizi, Kamil dapat diselamatkan. Kamil malu terhadap Hafizi dan memohon maaf kepada Hafizi atas keterlanjuran sikapnya terhadap Hafizi selama ini.


 


 

TEMA


 

Cerpen ini betemakan ketabahan hati seorang murid yang kurang upaya menjalani kehidupan. Hafizi yang cacat pada kaki kirinya yang pendek sebelah tabah melalui kehidupannya dan menganggap kecacatan bukan batu penghalang untuk terus berusaha dan Berjaya dalam pelajaran.


 

PERSOALAN


 

1.    Persoalan nasib golongan orang kurang upaya sering dihina.

Contoh: Hafizi sering diganggu, diejek dan dihina oleh Kamil yang sentiasa tidak berpuas hati dan benci dengan Hafizi disebabkan kecacatan.


 

2.    Persoalan sifat cemburu terhadap kelebihan yang ada pada orang lain.

Contoh: Hafizi seorang murid yang pintar dabn bijak sering menjadi mangsa kebencian Kamil yang tidak senang dengan kepandaian dan kepintaran Hafizi dalam kelas.


 

3.    Persoalan ketabahan menghadapi dugaan dan cabaran hidup.

Contoh: Hafizi merupakan seorang yang sabar dan tabah dalam menghadapi karenah kawannya yang bernama Kamil yang sering mencari gaduh dengannya. Namun, Hafizi tidak pernah menyimpan perasaan negative dan marah terhadap Kamil.


 

4.    Persoalan mensyukuri nikmat Tuhan.

Hafizi tidak pernah menyesal akan kecacatan yang dihadapinya dan sentiasa mensyukuri segala pemberian Tuhan terhadapnya.


 


 

PLOT


 

Secara keseluruhannya, plot cerpen ini digarap mengikut kronologi. Terdapat empat peringkat garapan plot iaitu:


 

( i )    Permulaan:


 

    Permulaan plot menjelaskan tentang sikap Kalim yang sering mengejek Hafizi disebabkan kecacatan yang dialaminya. Hal ini menyebabkan Hafizi sering menjadi bahan ketawa dan mangsa perlakuan jahat Kamil yang sering mencari sebab untuk menyakiti hati Hafizi kerana Hafizi merupakan seorang pelajar yang cemerlang dalam kelas 4 Sains 1.


 


 

( ii )    Perkembangan:


 

    Perkembangan plot menjelaskan kekasaran dan salah laku Kamil terhadap Hafizi. Hal ini dapat dilihat apabila Kamil menolak Hafizi yang hendak masuk ke dalam kelas. Bagaimanapun Raja, iaitu kawan rapat Hafizi selalu mempertahankannya


 


 


 


 


 


 


 


 

Read more

Thursday, August 9, 2012

CERPEN KASUT KELOPAK JANTUNG
( Ghazali Lateh )
Sumber Bahagian Pembangunan Kurikulum ( KPM )

Sinopsis

Cikgu Harun yang sering menerima sebuah bungkusan hadiah tidak bersetem tanpa kiriman melalui pos daripada seseorang setiap kali menjelangnya Sambutan Hari Guru telah membuatkan Cikgu Harun teringat akan pengalamannya mengajar di sebuah kampung di pedalaman sejak lebih tiga puluh tahun yang lalu. Ahmad seorang murid yang miskin dan selalu tidak berkasut apabila datang ke sekolah selepas selipar Jepunnya putus. Hal ini menyebabkan Cikgu Harun  berasa amat marah dan kecewa. Sewaktu mengikuti kelas Pendidikan Jasmani, sekali lagi emosi Cikgu Harun tercabar atas sikap Ahmad kerana tidak menukar pakaian sukan dan masih berkaki ayam. Akhirnya, Cikgu Harun menyuruh Ahmad memakai kelopak jantung tersebut sebagai kasut. Ahmad berasa sangat malu. Selepas peristiwa itu, dia terus tidak datang ke sekolah. Cikgu Harun berasa bersalah dan bernekad untuk mencari Ahmad di rumahnya. selepas melihat kesusahan dan kedaifan hidup Ahmad dan keluarganya, perasaannya menjadi sebak lalu menangis. Cikgu Harun terus ke bandar untuk membelikan baju dan kasut sekolah baru untuk Ahmad. Cikgu Harun  sudahpun bersara sebagai guru dan selalu menerima kasut-kasut mahal dan berjenama daripada muridnya, Ahmad yang menjadi pengurus besar di sebuah syarikat pengeluar kasut terkemuka di bandar.


TEMA:

Cerpen ini bertemakan keprihatinan seorang guru terhadap anak muridnya yang hidup dalam kemiskinan.


PERSOALAN:

1.   Persoalan ketabahan dan kegigihan dalam menuntut ilmu.
      Contoh:   Ahmad terpaksa berulang-alik ke sekolah walaupun dalam keadaan berkaki ayam.

2.   Persoalan kesusahan hidup masyarakat di pedalaman.
      Contoh:   Ahmad mengambil upah memetik cili untuk membantu menyara keluarga.

3.   Persoalan ketaatan murid kepada arahan guru.
      Contoh:   Ahmad tetap memakai kasut yang diperbuat daripada kelopak jantung walaupun sudah lusuh.

4.   Persoalan seorang guru yang bertanggungjawab.
      Contoh:   Cikgu Harun ke rumah Ahmad untuk menyiasat punca Ahmad tidak hadir ke sekolah selama
      seminggu


PLOT:

Secara keseluruhannya, plot cerpen ini digarap tidak mengikut kronologi. Terdapat empat peringkat garapan plot iaitu:

(i)    Permulaan

Permulaan plot menjelaskan tentang persoalan yang bermain difikiran Cikgu Harun berkaitan bungkusan  hadiah yang dihantar kepadanya tanpa setem dan kiriman melalui pos. Walau bagaimanapun, Cikgu Harun dapat meneka pengirimnya kerana beliau selalu menerima hadiah tersebut terutama setiap kali menjelang Hari Guru. Cuma beliau terfikir dan ragu akan tujuan kiriman tersebut sama ada pengirimnya benar-benar ikhlas atau ingin memperlinya.

(ii)     Perkembangan

Perkembangan plot menjelaskan tentang situasi Cikgu Harun yang kembali mengenangkan rentetan peristiwa antara beliau dengan murid-murid sewaktu beliau menjadi guru selama lebih tiga dekad. Seorang murid darjah tiga bernama Ahmad yang sering menguji dan menimbulkan kemarahannya setiap kali beliau masuk ke kelas tersebut. Perkara ini disebabkan keadaan Ahmad yang tidak memakai kasut sekolah sepanjang tiga minggu sejak sekolah dibuka disebabkan selipar jepunnya telah putus. Apabila Cikgu Harun bertanya tentang perkara tersebut kepada Ahmad, dia hanya mampu menjawab bahawa kasut sekolahnya belum dibeli. Itulah jawapan yang selalu disebut acapkali Cikgu Harun bertanya tentang kasut sekolah. Hal inilah yang menyebabkan Cikgu Harun hilang sabar dengan Ahmad.

(iii)     Puncak

Cikgu Harun mendenda Ahmad dengan memaksa Ahmad menjadikan kelopak jantung yang diikat dengan tali rafia sebagai kasut. Ahmad berasa sangat malu atas hukuman tersebut sehinggalah dia mengambil keputusan untuk berhenti sekolah.

(iv)     Peleraian

Cikgu Harun bersara dan kini, Ahmad telah berjaya menjadi pengurus besar di sebuah syarikat pengeluar kasut terkemuka.


WATAK DAN PERWATAKAN

Watak Utama

Ahmad

  • murid tahun 3
  • seorang yang patuh: Contohnya, Ahmad seorang yang taat dan patuh akan perintah gurunya yang mengarahkannya agar memakai kasut daripada kelopah jantung pisang sehingga dia membeli kasut sekolah baru. Ahmad tetap memakai kasut kelopak jantung tersebut walaupun berada di rumah sehinggalah dia mendapat kasut sekolah baru yang dibeli oleh Cikgu Harun.
  • seorang yang sensitif: Contohnya, Ahmad terlalu sensitif dan malu apabila memakai kasut kelopak jantung berkenaan dan sanggup menyendiri semasa waktu rehat dan hanya menunggu loceng pulang dari sekolah. Beliau tidak hadir ke sekolah selama tiga minggu kerana malu dengan keadaannya itu.
  • seorang yang rajin : Contohnya,  Ahmad selalu hadir ke sekolah untuk belajar walaupun terpaksa berkaki ayam. Dia juga seorang murid yang rajin mencari wang dengan mengambil upah memetik cili di kebun sayur bagi mendapatkan kasut sekolah baru. Dia juga rajin membantu ibunya yang uzur.
  • seorang yang mengenang budi : Contohnya, Ahmad seorang yang sentiasa mengenang budi dan jasa Cikgu Harun dengan mengirim bungkusan hadiah sepasang kasut berjenama yang mahal-mahal.

Watak Sampingan

Cikgu Harun
  • Beliau merupakan seorang guru dikehendaki mengajar di sebuah sekolah di kampung yang terletak di kawasan pedalaman.
  • Beliau merupakan seorang guru yang tegas terhadap muridnya.
  • Beliau merupakan seorang yang mudah marah terhadap muridnya yang tidak mematuhi arahannya.
  • Beliau juga merupakan seorang guru yang mementingkan kejayaan anak muridnya.
  • Beliau merupakan seorang guru yang berjiwa sensitif tentang kesusahan dan kemiskinan hidup yang dialami oleh anak muridnya seperti yang ditonjolkan oleh Ahmad.
Ibu Ahmad
  • Seorang ibu tua yang sudah uzur
  • Seorang yang penyayang terhadap anaknya dan mempunyai wajah yang seiras dengan anaknya.
  • Seorang yang menghormati tetamu dengan mempersilakan Cikgu Harun naik ke rumah sementara menunggu Ahmad pulang.

LATAR

Latar masa
  • Pada waktu pagi : Sewaktu sesi persekolahan . Contohnya, Ahmad sering dimarahi oleh Cikgu Harun setiap pagi semasa dalam kelas dan sewaktu Pendidikan Jasmani.
  • Pada waktu petang : Ketika Cikgu Harun ke rumah Ahmad untuk mencarinya. Contohnya, setelah Ahmad tidak hadir ke sekolah selama tiga minggu, Cikgu Harun terus berusaha menjejaki Ahmad di rumahnya pada waktu petang selepas sekolah.
  • Pada zaman sekarang : Cikgu Harun telahpun bersara daripada kerjayanya sebagai guru dan Ahmad telah berjaya menjadi pengurus besar di sebuah syarikat pengeluar kasut terkemuka. Contohnya, Cikgu Harun selalu menerima bungkusan hadiah kasut dari anak muridnya yang bernama Ahmad setiap kali menjelang Sambutan Hari Guru.
Latar Tempat
  • Di rumah cikgu Harun : Cikgu Harun telah mendapat bungkusan hadiah tanpa setem dan kiriman pos daripada seseorang bersempena Hari Guru.
  • Dalam kelas darjah tiga : Tempat Ahmad belajar dan sering dimarahi oleh Cikgu Harun kerana tidak memakai kasut sekolah.
  • Di Padang Sekolah : Tempat Ahmad menerima hukuman daripada Cikgu Harun dengan memakai kasut kelopak jantung kerana tidak memakai pakaian sukan dan masih berkaki ayam.
  • Di rumah Ahmad : Cikgu Harun telah menemui ibu Ahmad yang uzur dan Ahmad yang hidup dalam serba kekurangan dan kedaifan.
  • Di pekan : Tempat Cikgu Harun membeli keperluan pakaian dan sepasang kasut sekolah untuk Ahmad.
Latar Masyarakat
  • Masyarakat Pendidik : Masyarakat pendidik yang mengajar di kawasan pedalaman. Masyarakat ini diwakili oleh Cikgu Harun.
  • Masyarakat Pelajar : Masyarakat ini diwakili oleh Ahmad, murid darjah tiga. Dia tidak pernah ponteng sekolah cekal dalam menimba ilmu kerana sanggup berulang alik ke sekolah yang jauh dari rumahnya.
  • Masyarakat kampung yang miskin : Terdiri daripada masyarakat kampung yang hidup dalam serba kekurangan dan diselubungi kemiskinan. Kebanyakannya bekerja kampung. 
  • Masyarakat yang berjaya dan mengenang budi : Ahmad selalu berusaha untuk mencapai kejayaan dalam hidup dan dia selalu menghadiahkan kasut yang mahal-mahal kepada gurunya setiap tahun sebagai menghargai pengorbanan gurunya
Teknik Penulisan 
  • Dialog
  1. "Ahmad, Esok pergi sekolah. Pakai Uniform baru ni," kata Cikgu Harun. Ahmad menyambut pemberian Cikgu Harun dengan tangannya terketar-ketar.
  2. "Terima kasih, cikgu," kata Ahmad ketika Cikgu Harun membuka ikatan kasut kelopak jantung yang berjurai-jurai hancur di kakinya.                                                                  
  • Imbas Kembali
  1. Namun sesuatu yang pasif, setiap kali bungkusan itu sampai, Cikgu Harun pun terkesima, membiarkan diri hanyut dalam arus ingatan ke zaman awal menjadi pendidik di sebuah kampung pedalaman. Lebih tiga dekad lalu, ketika kedaifan masih menjadi sinonim dengan kehidupan merhaen di luar bandar.

  • Imbas Muka
  1. Dia tahu jika dia tidak ambil kisah, perkara itu akan berlarutan. Malahan, anak-anak yang lain pula akan ambil kesempatan.
  • Monolog Dalaman
  1. "Jauh juga rumah Ahmad," bisik hati kecil Cikgu Harun

Gaya Bahasa

Simile

  • Ahmad pun datang terkebil-kebil, tertunduk-tunduk seperti ayam kalah menyabung. (hlm 80)
Sinkope
  • "Kasut sekolah tak pakai, baju sukan tak bawa! Apa nak jadi dengan kamu ini? Leter Cikgu Harun setelah melihat Ahmad hanya diam membatu.   (hlm 81)
Metafora 
  • Namun sesuatu yang pasti, setiap kali bungkusan itu sampai, Cikgu Harun pun terkesima, membiarkan diri hanyut dalam arus ingatan ke zaman awal menjadi pendidik di sebuah kampung pedalaman. (hlm 77)
Pengulangan
  • Mana ada guru yang mahu muridnya gagal dalam pelajaran. Mana ada guru yang mahu murid-muridnya berhenti sekolah.

Nilai
  • Nilai Ketegasan : Cikgu Harun merupakan seorang guru yang tegas dalam menjalankan tugasnya sebagai seorang pendidik. Hal ini jelas ditonjolkan akan sikapnya terhadap muridnya, Ahmad.
  • Nilai Bersimpati : Cikgu Harun sangat bersimpati terhadap Ahmad yang daif dan beliau telah membelikan pakaian dan kasut sekolah yang baru kepada anak muridnya itu.
  • Nilai Ketabahan : Ahmad merupakan seorang cekal dan tabah dalam menimba ilmu meskipun dia berada dalam sebuah keluarga yang serba kekurangan.
  • Nilai Mengenang Jasa : Ahmad tetap mengingati akan jasa Cikgu Harun yang telah banyak berkorban untuknya. Dia telah mengirimkan kasut berjenama yang mahal sebagai hadiah Hari Guru kepada Cikgu Harun setiap tahun walaupun telah lama mereka tidak berjumpa.  
Pengajaran

  • Seseorang guru perlu tegas dalam melaksanakan tugas sebagai pendidik. Contohnya, Cikgu Harun sangat tegas dan berdisiplin dalam menjalankan tugasnya sebagai seorang guru. Beliau amat memandang serius terhadap murid-muridnya yang tidak mamatuhi peraturan sekolah.
  • Seseorang murid perlu mendengar dan mematuhi setiap arahan guru. Contohnya, Ahmad tidak membantah arahan yang diberikan oleh Cikgu Harun terhadapnya agar memakai kasut kelopak jantung walaupun dia tidak suka dan malu dengan kawan-kawannya.
  • Setiap orang hendaklah mengenang dan menyanjungi setiap jasa seseorang guru. Contohnya, walaupun lebih tiga dekad berlalu, Ahmad masih mengenang dan menghargai jasa gurunya dengan mengirimkan bungkusan hadiah kepada Cikgu Harun.
  • Kemiskinan dan kesusahan hidup bukanlah menjadi halangan kepada seseorang untuk menimba ilmu. Contohnya, Ahmad selalu hadir ke sekolah untuk belajar meskipun dia hidup dalam serba kepayahan dan kekurangan disebabkan kemiskinan serta kesukaran hidup yang dialaminya.
Read more

Wednesday, April 4, 2012

Sajak "Diari Lama"

Maksud

Rangkap 1: Pejuangan para pejuang dahulu amat hebat hingga menumpahkan darah.

Rangkap 2: Penyajak menyatakan rasa cinta pada negara dan menyaksikan sambutan ulang tahun kemerdekaan dengan rasa bangga. Penyajak mengharapkan negara akan makmur sampai bila- bila.

Tema

Semangat nasionalisme dalam jiwa rakyat Malaysia .

Persoalan

Perjuangan tokoh pejuang dahulu untuk menegakkan kemerdekaan Negara amat disanjungi.

Rasa bangga menjadi anak Malaysia yang merdeka.

Banyak pengorbanan yang diperlukan dalam menuntut kemerdekaan .

Nilai

Pengorbanan.Contohnya,para pejuang terdahulu sanggup berkorban jiwa raga untuk mendapatkan kemerdekaan negara.

Pejuangan.Contohnya,para pejuang berjuang sungguh-sungguh ketika menuntut kemerdekaan.

Cinta pada negara.Contohnya,penyajak menyatakan rasa cintanya pada negara.

Gigih.Contohnya,para pejuang gigih dalam perjuagan mereka.

Mengenang jasa.Contohnya,penyajak mengenang jasa para pejuang kemerdekaan.

Pengajaran

Kita haruslah berjuang dengan bersungguh-sungguh demi kedaulatan negara.

Janganlah kita lupa akan jasa dan perjuangan orang terdahulu yang membawa Malaysia ke arah negara merdeka.

Kita seharusnya berasa bangga dan bertuah kerana dilahirkan di negara yang sudah mencapai kemerdekaan,aman,dan makmur.

Kesedaran terhadap erti kemerdekaan sebenar penting disemat dalam jiwa anak-anak Malaysia supaya kesejahteraan negara dapat dikekalkan.

Kita hendaklah memiliki semangat cinta akan tanah air

Read more

Sunday, April 1, 2012

Dengan kadar literasi yang tinggi, iaitu 93 peratus, budaya membaca dalam kalangan rakyat Malaysia seharusnya berada pada tahap yang tinggi juga. Selain itu, pelbagai usaha dilaksanakan oleh pihak kerajaan untuk memupuk budaya membaca masyarakat tempatan. Antaranya, menetapkan bulan Julai sebagai bulan membaca setiap tahun dan mewujudkan Jawatankuasa Gerakan Membaca Kebangsaan.

Persoalannya apakah peranan yang telah kita lakukan sebagai warganegara tercinta untuk menyahut dan menjayakan impian murni ini?

Read more

Monday, February 6, 2012

MARI BELAJAR MENULIS 1

Lihat grafik di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang

faedah-faedah belajar secara berkumpulan. Panjangnya huraian hendaklah
antara 200 hingga 250 patah perkataan.

Dalam zaman yang penuh persaingan ini, para pelajar sentiasa berusaha melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran demi mencapai kejayaan dalam bidang akademik. Menetapkan matlamat, menyediakan jadual waktu yang praktikal, menghadiri kelas tuisyen dan mengulang kaji pelajaran setiap hari merupakan usaha-usaha yang dilakukan oleh pelajar demi mencapai kejayaan. Namun belajar secara berkumpulan boleh dikatakan sebagai batu loncatan ke arah kejayaan kerana usaha ini boleh mendatangkan pelbagai faedah kepada pelajar-pelajar.

Belajar secara berkumpulan memberikan suasana belajar yang menyeronokkan. Seseorang pelajar akan dapat belajar atau membuat ulang kaji dengan perasaan yang ceria tanpa tekanan daripada guru-guru. Hal ini demikian kerana rakan-rakan merupakan orang yang paling dekat dengan pelajar selain ahli keluarga. Contohnya, seseorang pelajar yang bersikap malu tidak berani untuk bertanya kepada guru apabila dia menghadapi masalah dalam pelajaran. Sebaliknya dia akan bertanya dan mengeluarkan buah fikiran mereka di depan rakan. Justeru, belajar secara berkumpulan bukan sahaja dapat memberikan suasana belajar yang menyeronokkan malahan membuka langkah kepada pelajar untuk memajukan diri dalam pelajaran.

Kesimpulannya, belajar secara berkumpulan merupakan langkah yang bijak bagi pelajar yang ingin mencapai kecemerlangan. Sebagai bakal pepimpin negara, kita seyogianya melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran dan memanfaatkan kaedah belajar secara berkumpulan untuk menjadi seorang yang cemerlang dan seterusnya memberi sumbangan kepada negara.


Read more

Latihan 1

PENGUKUHAN TATABAHASA

TANDAKAN JAWAPAN SAMA ADA BETUL ATAU SALAH

BIL

Penggunaan Frasa

JAWAPAN

1

Semua kanak-kanak

 

2

Meja itu dibuat daripada

 

3

Kertas-kertas bertaburan

 

4

Semangat cintakan negara

 

5

Kakak memasakkan emak

 

6

Guru mengambil berat tentang pelajar

 

7

Buku yang ada dengan anda itu

 
Read more

Thursday, February 2, 2012

BUKU LATIHAN SPM 2012 AKAN TERBIT


PRAKATA

Modul Kaedah Menjawab Soalan Kertas 1 dan kertas 2 ini dihasilkan dengan tujuan untuk membantu pelajar di Tingkatan 4 dan Tingkatan 5. Modul ini diciptakan selaras dengan konsep Sukatan Pelajaran Berfokus bagi membantu pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, bagi mata pelajaran Bahasa Melayu. Perkara yang dijadikan fokus dalam modul ini ialah bimbingan untuk menjawab semua soalan kertas 1 dan kertas 2 .

Modul ini diharap akan dapat membantu murid melalui pendekatan atau cara belajar yang menarik. Hal ini sekali gus dapat membantu murid menguasai kemahiran dan teknik menjawab soalan dengan lebih cepat dan mudah. Walaupun begitu penggubalan modul ini tetap mengambil kira aspek kepentingan kemahiran berbahasa sebagaimana yang dihasratkan dalam Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu SPM dan Hasil Pembelajaran Utama yang memberikan fokus kepada elemen interpersonal, maklumat dan estetik.

Latihan-latihan yang disediakan diharap dapat membantu pelajar bermula daripada konsep yang mudah, beransur-ansur kepada yang lebih sukar terutamanya dalam bahagian pengukuhan dan akhirnya pelajar dapat menjawab soalan bagi kertas Bahasa Melayu yang sebenar mengikut format peperiksaan. .

Semoga panduan yang diberikan kepada pelajar ini akan dapat membantu mengukuhkan pemahaman tentang cara-cara menulis jawapan dan memperoleh markah yang terbaik bagi soalan Bahasa Melayu Kertas 1 dan Kertas 2, Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.

FADIL HJ ISMAIL

MRSM Kuala Krai

2012





Read more