Tuesday, January 4, 2011

Cerpen: Idola

Cerpen Idola
( Zaen Kasturi )
Sumber: Bahagian Perkembangan Kurikulum ( KPM )

Sinopsis:

Kehidupan si penjaga panggung yang menjadikan hero sebagai idola hidupnya. Pendiriannya bercanggah dengan pendapat isterinya yang meminta dia mengubah cara hidup agar kehidupan mereka yang miskin dapat diubah. Pada suatu petang dia berjumpa dengan si hero yang mengisahkan realiti kehidupannya sebenar dan menasihatinya agar sedar dengan realiti hidup. Hal ini menyedarkan si penjaga panggung bahawa idola yang ideal hanya wujud dalam pementasan sandiwara dan dia perlu melakukan perubahan diri.

Tema:

Kekeliruan hidup antara fantasi dan realiti iaitu antara pementasan sandiwara dengan kehidupan sebenar.


Persoalan:
  1. Persoalan kesempitan hidup dan kemiskinan kerana pendapatan yang rendah. Si penjaga panggung dan keluarganya hanya mampu tinggal di sebuah rumah kecil.

  2. Persoalan suka berkhayal untuk menjadi seperti idola. Si penjaga panggung sentiasa beranggan-anggan menjadi hero.

  3. Persoalan kejujuran memberi pengertian kehidupan yang sebenar. Hero meminta si penjaga panggung kembali pada diri sendiri kerana kehidupan sebenar lebih menuntut perjuangan yang sesungguhnya.

  4. Persoalan kesedaran diri untuk mengubah nasib diri. Isteri Si penjaga panggung cuba menyedarkan suaminya bahawa pentas sandiwara tidak sama dengan pentas kehidupan sebenar.

Plot:

Secara keseluruhannya, plot cerpen ini digarap mengikut kronologi. Terdapat empat peringkat garapan plot iaitu:

( i ) Permulaan


Pembaca diperkenalkan dengan watak penjaga panggung yang tinggal seorang diri setelah panggung kosong dan akan menyusun kerusi yang ditinggalkan begitu sahaja oleh orang sebelum panggung dibuka, datang berbondong-bondong dari segenap penjuru kota sedangkan ketika itu jam sudah menunjukkan jam dua belas tengah malam.


( ii ) Perkembangan


Pada bahagian ini, watak penjaga panggung memerhatikan setiap gerak-geri hero sepanjang pemetasan dan berangan-angan menjadi watak hero. Sambil bekerja selepas pemetasan tamat dia terkenangkan isteri dan sepuluh orang anak-anaknya yang tinggal di rumah kecil kawasan setinggan. Dia juga memikirkan nasib diri yang masih belum berubah sehinggakan isterinya mula mempersoalkan pekerjaannya kini yang belum mampu membawa sebarang perubahan walaupun anak lelakinya sudah menjelang remaja.


( iii ) Konflik


Pada peringkat ini, watak penjaga panggung datang ke panggung pada suatu petang walaupun tidak bertugas waktu itu kerana terlalu ingin bertemu dengan watak hero yang menjadi idolanya selama ini. Penjaga panggung berjabat salam dan berdialog serta memuji lakonan hero. Hero telah menyambut pujian dengan menyatakan lakonannya bukan gambaran sebenar kehidupannya dan meminta penjaga panggung kembali menjalankan tugasnya dan menerima kenyataan hidup walaupun mengetahui penjaga panggung amat teringin menjadi seperti hero.


( iv ) Klimaks


Pada tahap ini watak penjaga panggung yang bertugas pada waktu malam selepas pemetasan tamat seperti tidak ada kemahuan menyusun kerusi seperti biasa kerana dia teringatkan kata-kata hero pada waktu siang semasa mereka bercakap yang sekali gus membuatkan dia berfikir tentang kekuatan dirinya sendiri.


( v ) Peleraian


Penjaga panggung telah bertindak melemparkan kerusi-kerusi panggung ke dinding sebagai tanda melepas amarah dan rasa bersalah yang terpendam dalam dirinya.



Teknik Plot:


1. Pemerian

Jam di belakang pentas berdetang dua belas kali. Si penjaga panggung membelingkas matanya ke sekeliling panggung, menatap dinding. Lamanya ditenungnya dinding kaku bercat kelabu itu ...


2. Monolog

"aku ...aku berupaya menjadi hero kepada diriku sendiri," bisik si penjaga panggung kepada diri sendiri, antara dengan tidak.


3. Dialog

"Err... tidak,"

"Bercakap benarlah saudara."

Err... ya ...ya..."


4. Suspen

Dengan bantuan tangan sasanya, si penjaga panggung mencapai kerusi di sisinya. Dengan sekuat tenaga, kerusi itu dijulangnya, kemudian dilemparkannya ke dinding. Satu demi satu di dalam panggung itu dilemparkannya ke dinding.


Watak dan Perwatakan

Watak Utama

Si Penjaga Panggung

  • Bekerja sebagai penjaga panggung

  • Mempunyai seorang isteri dan sepuluh orang anak

  • Keliru dengan pendirian diri terhadap idola. Si Penjaga Panggung selalu mengagumi kehebatan hero tanpa mengetahui Si Hero bukan hanya mahu memegang watak hero

Watak Sampingan

1. Si Hero

  • suka menyindir. Si Hero menyuruh Si Penjaga Panggung berhenti memuji dirinya dan meminta memuji diri sendiri.

  • seorang pelakon yang memegang watak utama ( hero )

  • berterus terang tentang realiti kehidupan yang dilaluinya. Si Hero menyatakan bahawa kehidupan di sini hanya sementara. Dia meminta Si Penjaga Panggung melupakan kehidupan di dalam panggung.

2. Isteri Penjaga Panggung

  • berfikir terbuka dan ingin mengubah nasib. Isteri penjaga panggung cuba menyedarkan suaminya tentang pekerjaan suaminya.

  • mempunyai 10 orang anak.

Latar:


Latar Masa:

  1. Waktu malam semasa si penjaga panggung menjalankan kerja.

  2. Waktu pemetasan sandiwara, contohnya pemetasan dilakukan sebelum hari menjelang tengah malam.

Latar Tempat:

  1. Panggung sandiwara dipersembahkan yang menjadi tempat kerja si penjaga panggung.

  2. Rumah penjaga panggung di lorong sempit dan longkang yang tersumbat oleh sampah.

Latar Masyarakat:

  1. Masyarakat yang terlibat dengan pementasan. contohnyanya hero yang menjadi pelakon pentas.

  2. Masyarakat yang tinggal di perkampungan setinggan, contohnya keluarga penjaga panggung.

  3. Masyarakat yang sukakan hiburan, contohnya penonton yang membanjiri panggung semasa pementasan.

  4. Masyarakat yang suka berkhayal, contohnya penjaga panggung yang berkhayal ingin menjadi hero.

Gaya Bahasa:

  1. Kata Ganda. Contohnya: Putera-puteri

  2. Metafora. Contohnya: kawah lupa diri

  3. Simpulan bahasa. Contohnya: merendah diri

  4. Hiperbola. Contohnya: suaranya bak halilintar

  5. Personifikasi. Contohnya: kerusi-kerusi tetap kaku

  6. Falsafah. Contohnya: seberkas sampah yang hanya layak digilai lalat dan gagak.

Nilai:

  1. Nilai kejujuran, contohnya hero menyampaikan realiti kehidupan yang dilalui adalah berbeza dengan lakonan.

  2. Nilai kesabaran, contohnya isteri penjaga panggung yang sabar menghadapi kemiskinan hidup dan masih lagi tinggal di rumah kecil.

  3. Nilai ketabahan, contohnya isteri penjaga panggung yang tabah menghadapi cabaran hidup dan membesarkan sepuluh orang anak dalam keadaan miskin dan tinggal di kawasan setinggan.

Pengajaran:

  1. kita hendaklah jujur dalam pekerjaan, contonya hero dengan jujur memberitahu kenyataan hidupnya berbeza dengan dunia lakonan.

  2. seorang isteri mestilah bersabar menjalankan tanggungjawabnya dalam rumahtangga. Contohnya isteri Si Penjaga Panggung sabar dengan karenah suaminya yang terlalu mengagung-agungkan hero.

  3. seorang isteri hendaklah tabah melalui cabaran membesarkan dan mendidik anak-anak. Contohnya isteri Si Penjaga Panggung menjalankan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu walaupun dalam keadaan hidup mereka yang susah.


No comments:

Post a Comment