Tuesday, January 11, 2011

Kajian Drama: Drama Dato' Onn

Drama Dato' Onn
( Othman Hj Zainuddin )
Sumber: Bahagian Pembangunan Kurikulum

Sinopsis:

Drama ini mengisahkan sejarah hidup Dato' Onn yang berjuang menentang penjajahan dan menuntut kemerdekaan sehinggalah ke akhir hayatnya. Selepas kematian isteri, Dato' Onn berkahwin dengan anak panggung iaitu Cik Kah tetapi jodoh mereka tidak panjang. Dato' Onn mengahwini Halimah, balu adiknya. Dato' Onn dipecat daripada jawatan pemungut cukai kerana menentang keras dasar penjajah Inggeris yang ingin memungut cukai. Rumah dan tanah kepunyaannya dirampas. Mereka sekeluarga berhijrah ke Singapura.

Di sana Dato' Onn dan Syed Hussien Alsagoff menerbit Akhbar Warta Malaya untuk menyatakan pendapat membentuk fikiran rakyat dan menentang Inggeris secara halus. Rakyat Tanah Melayu mula sedar dan bangun menentang Inggeris bersama-sama Dato' Onn. Penentangan bertambah kuat apabila ada gagasan untuk mewujudkan Malayan Union.

Kemudian Jepun menyerang Tanah Melayu dan Inggeris melarikan diri. Selepas Jepun menyerah kalah, berlaku huru-hara apabila MPAJA cuba mengambil alih pemerintahan secara kekerasan. Banyak nyawa yang terkorban dan kerugian harta benda yang banyak. Kemudian Dato' Onn dilantik menjadi pegawai daerah Muar. Satu pertemuan diatur bersama pemimpin MPAJA dan KMM, ketua kampung, Kiai Salleh dan lain-lain. Masing-masing tidak mahu mengalah. Dato' Onn menegah mereka berpecah belah dan menyeru mereka bersatu dan menuntut kemerdekaan tanpa pertumpahan darah.

Pada tahun 1946 dalam Kongres Melayu, UMNO telah lahir untuk memperjuangkan hak orang Melayu. Dato' Onn keluar parti lantaran cadangan untuk membuka keahlian kepada semua kaum ditolak. Masih ramai yang menyokong kepimpinannya sehingga namanya tersohor. Tanah Melayu diistiharkan merdeka oleh Tuanku Abdul Rahman. Dato' Onn menghembuskan nafasnya pada usia 67 tahun di Larkin, Johor Bahru.


Pemikiran:

Drama ini mengetengahkan pemikiran betapa pentingnya anak watan bangkit menentang sebarang bentuk penjajahan. Drama ini menyorot kisah perjuangan Dato' Onn menentang penjajah yang menguasai negeri Johor. Walaupun menghadapi pelbagai dugaan berat dan hidup melarat, tidak melunturkan semangat juangnya menentang Inggeris. Penentangan dibuat dengan pelbagai kaedah seperti melalui akhbar, penubuhan parti dan mengadakan permuafakatan dengan matlamat mencapai kemerdekaan tanpa menggunakan kekerasan. Dalam keadaan genting Dato' Onn tetap bersama anak-anak buahnya. Perjuangan diteruskan melalui penentangan Malayan Union. Walaupun menjadi pengasas UMNO, Dato' Onn terpaksa keluar parti kerana berlainan pendapat.

Persoalan:
  1. Persoalan golongan bangsawan yang berjiwa rakyat. Persoalan ini dapat dilihat melalui watak Dato' Onn yang sanggup hidup susah dan tidak meninggalkan anak buahnya dalam keadaan genting sekalipun.
  2. Persoalan kepentingan perpaduan dalam kalangan rakyat. Perpaduan amat penting untuk kesepakatan dan mewujudkan sebuah negara yang kukuh dan kuat. Dalam drama ini, rakyat jelata khususnya orang Melayu bersatu padu bersama Dato' Onn menentang penjajah demi mencapai kemerdekaan. Kesannya Malayan Union dibatalkan.

  3. Persoalan pengorbanan seorang pemimpin. Dato' Onn sanggup dipecat daripada menjadi pemungut cukai lantaran tidak bersetuju dengan dasar penjajah dan beliau terpaksa berpindah ke Singapura dan menjalani kehidupan getir sebagai seorang nelayan.

  4. Persoalan keganasan pihak komunis di Tanah Melayu. Dalam novel ini, pihak komunis sanggup melakukan pelbagai keganasan jika ada pihak yang enggan memberi kerjasama. Banyak nyawa terkorban dan tidak kurang yang kehilangan harta benda.

  5. Persoalan menjaga kepentingan dan maruah keluarga. Demi menyelamatkan keluarga dan demi menyelamatkan anak-anak adiknya, Dato' Onn sanggup mengahwini Halimah iaitu balu kepada arwah adiknya, Muhammad. Dia tidak sanggup melihat Halimah dan anak-anaknya yang juga anak saudaranya hidup terbiar dan merempat.

  6. Persoalan kesenian bangsa yang pupus ditelan dek kemunculan teknologi terkini. Dalam drama ini, banyak kumpulan bangsawan yang terkubur dengan kemunculan wayang-wayang gambar. Secara tidak langsung ramai penggiat bangsawan pada ketika itu hilang pekerjaan.

  7. Persoalan kezaliman penjajah menindas rakyat jelata. Pihak Inggeris melalui tipu daya berjaya mendapatkan perintah Sultan Johor untu memungut cukai di negeri ini. Mana-mana rakyat yang gagal menjelaskan cukai akan ditindas. Rumah dan tanah keluarga Dato' Onn di Bukit Senyum turut dirampas kerana kononnya bapanya banyak berhutang dengan kerajaan Johor sedangkan harta benda itu semuanya anugerah Sultan Johor kepada bapa Dato' Onn.
  8. Persoalan akhbar dalam membentuk minda rakyat. Dato' Onn berjaya membentuk fikiran bangsanya yang jauh ketinggalan melalui akhbar Warta Malaya. Melalui akhbar warta Malaya, rakyat mula sedar akan kepentingan menentang penjajah dan menuntut kemerdekaan. Akhirnya mereka bangkit menentang Malayan Union.

Plot:


Secara keseluruhannya, plot drama ini digarap mengikut kronologi. Terdapat empat peringkat garapan plot iaitu:

( i ) Permulaan


Pada peringkat ini, watak Dato' Onn digambarkan sebagai pemimpin orang-orang Melayu yang berasal daripada keturunan bangsawan. Beliau seorang yang berpendidikan tinggi dan berjiwa rakyat. Dato' Onn juga pernah berkahwin daripadakumpulan bangsawan, tetapi perkahwinan mereka gagal.

( ii ) Perkembangan


Pada bahagian ini, watak Dato' Onn sebagai pejuang kemerdekaan tanah air berkembang. Adiknya meninggal dunia dan beliau mengahwini balu adiknya Halimah demi menyelamatkan keluarganya. Beliau telah dilantik menjadi pemungut cukai oleh Inggeris tetapi menentangnya dengan keras. Beliau telah dipecat dan hartanya telah dirampas dengan licik. Selepas berhijrah ke Singapura, beliau dan beberapa orang rakan menerbitkan akhbar sendiri untuk menyuarakan penentangan dan menyedarkan bangsanya. Banyak pihak bangkit menentang Inggeris apabila ada ura-ura akan diwujudkan gagasan Malayan Union. Keadaan tanah air menjadi huru-hara semasa penjajahan Jepun dan komunia. Dato' Onn tetap berusaha menyatupadukan rakyat jelata untuk mendapatkan kemerdekaan tanpa menggunakan kekerasan.

( iii ) Konflik

  • Perkahwinan Dato' Onn tidak mendapat restu keluarga dan akhirnya terpaksa berpisah.

  • Dato' Onn menentang sekeras-kerasnya tindakan Inggeris untuk memunggut cukai di negeri itu. Akhirnya beliau dipecat daripada tugasnya sebagai pemungut cukai. Tanah dan rumah keluarganya dirampas.

  • MPAJA dan orang-orang di bawah pimpinan Kiai Salleh berperang. MPAJA bertindak zalim dengan membunuh dan membakar kampung. Orang-orang Kiai Salleh bertindak balas. Huru-hara berlaku.

  • MPAJA berkonflik dengan pemimpin KMM tentang isu hak sama rata antara orang-orang Melayu dan bukan Melayu selepas merdeka.
  • Dato' Onn tidak bersetuju dengan pendapat pemimpin KMM Burhanuddin dan Ahmad Boestamam yang ingin mengangkat senjata dan menyertai MPAJA menentang Inggeris untuk menuntut kemerdekaan.

( iv ) Klimaks

  • Dato' Onn menubuhkan UMNO untuk memperjuangkan nasib orang Melayu yang jauh ketinggalan

( v ) Peleraian

  • Oleh sebab dasar yang diperkenalkan dalam UMNO tidak dipersetujui banyak pihak, Dato' Onn meninggalkan UMNO. Sebelum ajalnya, Dato' Onn sempat mendengar berita kemerdekaan tahan air.

Teknik Penceritaan:

( i ) Teknik Pemerian.

Dato' Onn Jaafar, nama yang menghias setiap bibir bangsa Melayu, nama yang harum bermadu menjadi penawar keresahan dan kengsaraan hidup di bawah penjajahan.

( ii ) Imbas Kembali.

Tapi semalam dia sihat walafiat. Kawan tengok dia macam biasa. Tak nampak pun tanda-tanda dia sakit. Oh Muhammad adikku...

( iii ) Dialog

Onn: "Apakah ertinya ini? Inggeris ingin merampas tanah saya di Bukit Senyum"


Watak dan Perwatakan


Watak Utama


Dato' Onn b Jaafar

  • seorang reformis dan pemimpin Melayu terulung

  • Menteri Besar

  • Pengasas kemerdekaan

  • seorang yang bertanggungjawab. Dato' Onn b Jaafar tidak melepaskan adik iparnya Halimah keluar dari rumah membawa anak-anaknya setelah kematian suaminya kerana mereka kerabat dan darah daging beliau

  • seorang yang berani. Beliau sanggup menegur Tuan Campbell yang menekan pegawai-pegawai Melayu dengan sikapnya yang bakhil

Watak Sampingan

Halimah

  • isteri Dato' Onn

  • seorang yang tegas, rajin berusaha. Halimah membantu Dato' Onn mencari nafkah dengan menjual kuih selepas Dato' Onn diberhentikan kerja

Cik Kah

  • seri panggung

  • penari yang dapat menarik perhatian Dato' Onn

DJ Campbell

  • pegawai Inggeris

  • sukar menerima teguran. DJ Campbell menuduh Dato' Onn menentang pentadbiran British selepas menerima teguran dari Dato' Onn

Dr Burhanuddin

  • pemimpin KMM

  • pengasas parti PAS

  • seorang yang tidak berfikiran jauh. Beliau menyangka Dato' Onn lebih rela dijajah Inggeris di bawah Malayan Union apabila Dato' Onn tidak bersetuju bergabung dengan MPAJA menentang Inggeris.

Latar

Latar Masa

  1. 1927, Dato' Onn menjadi nelayan

  2. 21 Ogos 1945 Dato' Onn bertemu pemimpin MPAJA dan KMM

  3. 14 Mac 1946 semasa penentangan Malayan Union

  4. 1947 penganugerahan Darjah Kerabat Kelas Dua

  5. 1951 Dato' Onn berucap

  6. 31 Ogos 1957 tarikh pengisytiharan kemerdekaan

Latar Tempat

  1. Singapura: Dato' Onn menjadi nelayan

  2. Bukit Pasir, Muar: Dato' Onn bertemu pemimpin MPAJA dan KMM

  3. Kuala Lumpur: Kongres bersama pemimpin Melayu menentang Malayan Union

  4. Istana Johor: Dato' Onn dianugerahkan Darjah Kerabat Kelas Dua

  5. Hotel Majestik, KL: Dato' Onn berucap

  6. Bandar Hilir, Melaka: Pengistiharan kemerdekaan tanah air

Latar Masyarakat

  1. Masyarakat golongan bangsawan yang berjiwa rakyat dan sayang akan tanah air, contohnya Dato' Onn

  2. Masyarakat Melayu negeri Johor dan Tanah Melayu yang dijajah, ditindas dan jauh ketinggalan

  3. Masyarakat penjajah yang suka menindas dan mengaut kekayaan negara yang dijajah, contohnya DJ Campbell dan Maxwell

  4. Masyarakat yang inginkan kemerdekaan melalui kekerasan seperti MPAJA dan KMM

Gaya Bahasa

( i ) Diksi

Kata Pinjaman ( Bahasa Inggeris )

Contohnya: miss, cabaret, right, club, Johor Spot Club


( ii ) Kata pinjaman ( Bahasa Arab )

Contohnya: Masya- Allah, Insya-Allah


( iii ) Peribahasa

Bagai melukut di tepi gantang, Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang

Nilai:

  1. Nilai taat kepada ibu bapa. Contohnya, lantaran tidak mendapat restu keluarga, akhirnya perkahwinan Dato' Onn dan Cik Kah tidak bertahan lama
  2. Nilai bertanggungjawab. Contohnya, Dato' Onn bertanggungjawab terhadap keluarga dan negaranya. Dia sanggup mengahwini balu adiknya. Dia juga bertanggungjawab memimpin rakyat jelata menuntut kemerdekaan
  3. Nilai bersatu padu. Contohnya, rakyat jelata bersatu padu agar menjadi lebih kuat. Dato' Onn menegah sama sekali perbalahan dalam kalangan rakyat sehingga berlakunya pergaduhan dan pertumpahan darah
  4. Nilai kesetiaan. Contohnya, rakyat jelata perlu menyatakan kesetiaan pada tanah air tanpa berbelah bagi dalam apa keadaan sekalipun. Keadaan inilah yang ditunjukkan oleh orang-orang Melayu di bawah pimpinan Dato' Onn
  5. Nilai menghargai jasa. Contohnya, Sultan Johor menganugerahkan Darjah Kerabat Kelas Dua kepada Dato' Onn dan beberapa orang pemimpin lain yang berjasa kepada tanah air
  6. Nilai muafakat. Contohnya, dalam menyelesaikan masalah, muafakat amat penting. Tanpa muafakat masalah tidak dapat diselesaikan. Dato' Onn telah mengaturkan pertemuan dengan pelbagai pihak untuk menyatupadukan mereka demi menuntut kemerdekaan

Pengajaran:

  1. Pemimpin hendaklah sanggup berkorban demi kepentingan rakyat dan negaranya.
  2. Kita hendaklah sanggup mempertahankan tanah air dari sebarang bentuk penjajahan.
  3. Kita hendaklah bersatu padu supaya lebih kuat dalam menentang penjajah.
  4. Kita perlu pandai memilih maklumat daripada media massa agar tidak terpengaruh dengan unsur negatif.
  5. Kita perlu pandai memilih jalan penyelesaian yang terbaik dan jangan menggunakan kekerasan yang banyak merugikan.
  6. Kita perlu berbincang secara rasional untuk mendapatkan keputusan yang terbaik berbanding perbincangan yang disertai emosi.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment