Thursday, February 24, 2011

Sajak: Arkitek Kota

Arkitek Kota
( Muhammad Haji Salleh )
Sumber: Bahagian Pembangunan Kurikulum ( KPM )
hanya seniman peka
yang faham akan jiwa laut,
kenal lambung gelombangnya,
alur sungai serta diam batu,
perasaan musim,
fiil langit dan sabar bumi
berhak membina kota.
Kawasan kota sepatutnya dibangunkan oleh golongan yang benar-benar bertanggungjawab. Mereka merupakan golongan yang arif dan banyak pengetahuan tentang selok belok dan keadaan serta keperluan semasa kota yang hendak dibangunkan.
kerana arkitek matang itu anak di taman,
perenung di perpustakaan,
orang muda pulang bertandang di lorong malam,
pemunggah barang pasar di subuh hari,
pengadil di bangku bijaksana,
dan datuk bandar yang bangga.
Hal ini demikian kerana, mereka merupakan penghuni yang mendiaminya. Banyak kajian dibuat dan mengambil kira pandangan dan kepentingan pelbagai pihak yang menghuni kota tersebut.
dia harus sayangkan lagu burung,
pemancing di teduh pohon,
pemerhati tasik,
pengawas bintang,
dan bunga menjalar di beranda.
Perancang kota juga seharusnya seorang yang mencintai alam sekitar. Kehidupan flora dan fauna perlu dipelihara. Keindahan alam semula jadi perlu dipertahankan malah perlu diperindah dengan landskap yang mempersona.
pencipta kota ialah
pendekar muda dengan langkah berbagai-bagai,
kelakar tua yang mengampungkan cerita
orang bercinta yang perlukan bulan.
Orang yang membina kota merupakan generasi muda yang bukan sahaja luas ilmu pengetahuannya malah sarat dengan idea-idea bernas.
dia pengukir ruang hidup,
penghias suasana sempurna,
membenarkan penemuan,
memungkinkan kemungkinan.
Arkitek muda itu ialah orang yang menentukan kehidupan seterusnya dengan mempertahankan kebenaran dan berwaspada dengan sebarang kemungkinan.
Dari Seberang Diri.
Tema:
Keperluan pengetahuan dan pengalaman dalam melaksanakan pembangunan di kota.
Persoalan:
  1. Persoalan keprihatinan penting dalam memahami sesuatu keadaan. Hal ini penting suoaya sesuatu keadaan dapat difahami.
  2. Persoalan pembangunan kota perlu dilihat daripada pelbagai aspek. Pembangunan kota perlu dilihat menerusi pelbagai sudut.
  3. Persoalan kepentingan menjaga alam sekitar. Alam sekitar perlu dijaga.
  4. Persoalan generasi muda memiliki pelbagai idea bernas. Golongan ini mempunyai idea-idea baru yang bernas.

Nada:

  • Sinis

Gaya Bahasa:

1. Ayatnya pendek-pendek

  • Contohnya: perasaan musim

2. Diksi - mudah difahami

  • Contonya: pemerhati tasik

3. Aliterasi - Perulangan konsonan 'p'

  • Contohnya: perenung di perpustakaan

4. Asonansi - perulangan vokal 'i'

  • Contohnya: fiil langit dan sabar bumi

5. Kata ganda

  • Contohnya: berbagai-bagai

6. Metafora

  • Contohnya: jiwa laut, diam batu, perasaan musim

7. Perlambangan

  • Contohnya: pengadil, pemancing, pengawas, pendekar

Nilai:

  1. Nilai cinta akan alam sekitar. Alam sekitar perlu disayangi.
  2. Nilai bertoleransi. Nilai ini penting dalam menjalani kehidupan seharian terutamanya di kota.
  3. Nilai bertanggungjawab. Bertanggungjawab menjaga keindahan alam sekitar.
  4. Nilai bijaksana dalam membuat keputusan. Kebijaksanaan penting apabila membuat keputusan.
  5. Nilai rasional dalam semua sapek. Kerasionalan penting dalam semua aspek.

Pengajaran:

  1. Kita hendaklah mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang luas semasa merancang pembangunan.
  2. Kita hendaklah mengambil kira kepentingan rakyat ketika membangunkan negara.
  3. Kita perlulah membuat pertimbangan yang bijaksana sebelum membuat keputusan.
  4. Kita hendaklah memikirkan bencana alam yang mungkin timbul akibat pembangunan kota.
  5. Kita hendaklah menjadi perancang yang baik yang mempunyai pelbagai idea bernas dan alternatif.

1 comment:

cal said...

nota-nota yang diberi bagus , tetapi ada 1 kekurangan iaitu tidak ada muzik pendeklamasian sajak tersebut...

Post a Comment

Post a Comment