Friday, February 11, 2011

Sajak: Dirgahayu Bahasaku

Dirgahayu Bahasaku
( Ahmad Sarju )
Sumber: Bahagian Pembangunan Kurikulum
Tempatmu di singgahsana
hati nurani bangsaku
warga yang berbudi
setia dan amanah.
Maksud:
Bahasa Melayu tetap bersemadi di sanubari orang-orang Melayu. Bangsa Melayu sememangnya terkenal sebagai bangsa yang berbudi bahasa, setia dan amanah.
Bahasa itu maruah bangsa
yang mesti dipelihara martabatnya
agar tetap kukuh dan ampuh
melayari lautan bijaksana
salam ikatan mesra dan teguh.
Maksud:
Bahasa dilihat sebagai simbol maruah bangsa yang perlu dipertahankan agar terus kukuh dan menjadi keutamaan dalam banyak hal. Bahasa hendaklah digunakan dengan sebaik mungkin terutama dalam usaha mengeratkan hubungan silaturahim.
Cekal dan wajar semangat pejuangku
hak bangsaku memilikimu
hak bangsaku mendaulatkanmu
di bumi bertuah ini
merentas dunia tak bertepi.
Maksud:
Para cendiakawan dan penggiat bahasa terus berjuang demi mendaulatkan bahasa. Sebenarnya setiap orang perlu memainkan peranan ini tidak kira di mana-mana sahaja mereka berada.
Sejarah bangsa mencatatkan kegemilangan
ke barat dan ke timur menjalin persaudaraan
gagah pelautku membelah lautan
ke utara dan ke selatan bahasaku mencengkam
dari pulau ke pulau menggilat mutiara silam.
Maksud:
Suatu ketika dahulu, bangsa Melayu pernah mencatat sejarah sebagai pelayar hebat. Mereka begitu berani menjelajah dari sebuah pulau ke sebuah pulau dan dari sebuah benua ke benua lain. Dari situlah bahasa Melayu mula tersebar.
Dirgahayu bahasaku
di arena antarabangsa suaramu tumbuh
menusuk kalbu lagu bahasamu
bahasamu bahasa minda
mudah akrab dan bertatasusila
daripada bangsa yang bernama Melayu
menempa kejayaan di alaf baru.
Maksud:
Bahasa Melayu tetap di hati. Dalam masa yang sama, bahasa Melayu mula diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa. Bahasa Melayu turut dikenali. Kini bangsa Melayu menempa kejayaan demi kejayaan.
Tema:
Semangat cinta akan bahasa Melayu. Bahasa Melayu perlu dimartabatkan supaya mampu bersaing dengan bahasa-bahasa yang lain. Peranan ini perlu dimainkan oleh semua pihak.
Persoalan:
  1. Persoalan kepentingan memartabatkan bahasa Melayu. Bahasa Melayu perlu dimartabatkan di negara ini.
  2. Persoalan perjuangan memartabatkan bahasa. Perjuangan memartabatkan bangsa dipertanggungjawabkan kepada semua orang Melayu.
  3. Persoalan sejarah kegemilangan bahasa Melayu. Bahasa Melayu mempunyai sejarah kegemilangan yang tersendiri.
  4. Persoalan kepentingan Bahasa Melayu sebagai alat komunikasi. Bahasa Melayu berperanan sebagai alat komunikasi yang penting.

Nada:

  • Patriotik

Nilai:

1. Nilai bersopan santun.

  • Penggunaan bahasa yang betul membolehkan nilai budi bahasa dapat dilahirkan dalam komunikasi.

2. Nilai setia.

  • Apabila memartabatkan bahasa maka nilai setia dapat ditunjukkan.

3. Nilai amanah dalam meneruskan warisan bangsa.

  • Warisan bangsa perlu dipertahankan.

4. Nilai mencintai bahasa bangsa sendiri.

  • Sesuatu bangsa bertanggungjawab mencintai bahasanya sendiri.

5. Nilai bersatu padu semasa menggunakan bahasa yang sama.

  • Penggunaan bahasa yang sama dapat memupuk nilai bersatu padu.

6. Nilai kegigihan dalam memastikan bahasa Melayu terus digunakan.

  • Sifat ini penting agar penggunaan bahasa Melayu dapat diteruskan.

Pengajaran:

  1. Kita hendaklah mencintai bahasa Melayu sepenuh jiwa.
  2. Kita hendaklah bertanggungjawab mempertahankan dan memartabatkan bahasa Melayu.
  3. Kita perlu berusaha gigih untuk mendaulatkan bahasa Melayu.
  4. Kita mestilah memartabatkan bahasa Melayu supaya berkembang dan mendapat perhatian masyarakat dunia.

No comments:

Post a Comment