Friday, February 11, 2011

Sajak: Kecek - (V)

Kecek - (V)
Awang Abdullah
Sumber: Bahagian Pembangunan Kurikulum ( KPM )
1
seorang pengarah
membuka akaun semasanya
di sebuah bank ternama
tetapi dalam diam
dia mencantum kemiskinan
orang lain
ke dalam amanahnya
yang telah lama pecah.
Maksud: Seorang yang berjawatan pengarah dalam sebuah bank sibuk mengumpul kekayaan dengan hasil simpanan pelanggan. Semasa menjalankan tugas dia begitu licik pecah amanah dan menggelapkan wang. Perbuatan jenayah itu telah lama dilakukan.
2
di kampung
seorang petani
membuka akaun kemiskinannya
di ruang kedaifannya
dan mengunci sedozen anak-anaknya
di dalam pagar sengsara
tetapi dia tidak pernah mencantum
kekayaan orang lain
ke dalam getirnya
yang sudah lama
berumbi.
Maksud: Di kampung pula, seorang petani hidup dalam serba daif dan kekurangan. Dia tabah dalam membesarkan anak-anak dan menyara keluarga. Namun dia tidak pernah mengambil hak orang lain dalam usaha untuk keluar daripada belenggu kemiskinan.
3
di pantai
seorang nelayan
membuka akaun sengsaranya
di rahang laut ternganga
dan mengurung sederet anak-anaknya
di bawah pusara nasib
tapi dia tidak pernah mengumpul
kesenangan orang lain
ke dalam kegusarannya
yang telah sekian musim
berlumut
di papan hidupnya.
Maksud: Di kawasan pantai, seorang nelayan juga terus dibelenggu kemiskinan. Anak-anaknya turut dibesarkan dalam keadaan serba kekurangan. Namun dia juga tidak pernah menggunakan hasil titik peluh orang lain sepanjang meniti kehidupan yang semakin lama semakin menghimpit.
4
Tuhan tidak pernah mungkir
meencatatkan setiap angka
dan nilai hitungan paling kecil
ke dalam akaun-Nya
di rumah keadilan.
Maksud: Setiap dosa dan pahala, kebaikan dan kejahatan setiap individu itu akan dicatatkan. Mereka akan mendapat pembalasan dari Tuhan seperti yang telah dijanjikan.
Tema:
Sikap amanah. Dalam mencari rezeki kita perlu amanah kerana wang yang diperoleh digunakan untuk menyara keluarga. Golongan yang berjawatan didapati seringkali pecah amanah untuk hidup mewah berbanding golongan yang berpendapatan rendah.
Persoalan:
  1. Persoalan sikap pecah amanah oleh golongan berjawatan tinggi.
  2. Persoalan golongan miskin terus dibelenggu kemiskinan dan hidup susah.
  3. Persoalan setiap perbuatan pasti mendapat balasan seperti yang dijanjikan oleh Allah.

Nada:

  • Sinis

Nilai:

  1. Nilai amanah dalam memjalankan tugas. Apabila menjalankan tugas, laksanakan dengan penuh amanah.
  2. Nilai bertanggungjawab dalam mencari rezeki yang halal. Bertanggungjawablah untuk mencari yang halal.
  3. Nilai kegigihan berusaha walaupun mengalami kesusahan. Walaupun kesusahan melanda, kita perlu gigih berusaha mencari rezeki.
  4. Nilai simpati terhadap nasib golongan kurang berada. Perasaan ini perlu wujud terhadap golongan kurang berada.
  5. Nilai rasional dalam peredaran kehidupan. Untuk menjalani kehidupan, kerasionalan amat diperlukan.

Pengajaran:

  1. Kita hendaklah amanah semasa menjalankan tugas.
  2. Kita hendaklah menjadi seorang bapa yang bertanggungjawab mencari rezeki yang halal.
  3. Kita tudak boleh mencari kekayaan dengan menindas orang lain.

No comments:

Post a Comment