Wednesday, February 16, 2011

Sajak: Di Bawah Langit yang Sama

Di Bawah Langit yang Sama
( Lim Swee Tin )
Sumber: Bahagian Pembangunan Kurikulum ( KPM )
Di bawah langit yang sama
Kita hirup udara
Tanpa mengira Beirutmu
Atau Kuala Lumpurku
Kita menghirup udara
Di bawah langit yang sama
Maksud: Penyajak menggambarkan bahawa walau di manapun kita berada, kita menghirup udara yang sama dan berada di bumi ciptaan Tuhan. Taraf manusia pun sama.
Aku suka gerimis di Kota London
Pernah terpesona angin dingin-tajam di Washington
Pohon-pohon hijau atau aneka warna
tiada bezanya.
Siapa pun menghuni Australia penghuni Afrika
Kerana di bawah langit ini
Kita sama.
Maksud: Penyajak kagum akan gerimis di kota London dan terpesona dengan tiupan bayu dingin di Washington. Namun aneka warna tumbuh-tumbuhan tetap serupa. Tempat-tempat lain yang mempunyai keistimewaan tersendiri juga didiami oleh manusia.
Aku inigin menyeberang Laut China Selatan
Layari Lautan Teduh rentasi Laluan Sutera
Berkongsi siang miliki malam
Anyam cinta pelangikan zaman
Tiupkan harapan senada
Sesama kita - warga dunia
Di bawah langitnya
Yang sama.
Maksud: Penyajak ingin menjelajah ke seluruh pelosok dunia untuk mengeratkan hubungan silaturahim dan berkongsi impian yang sama iaitu melihat keamanan dan keharmonian dunia. Beliau ingin melihat dunia bersama-sama bagi memperjuangkan keamanan.
Peta-peta itu yang memisahkan
Jangan tutup pos sempadan
Visa hanya keperluan rasmi seketika
Pasport dokumen pengenalan titik mula
Kita dakapi mimpi tak berbeza
gapai hasrat
Lebur kebencian kuburkan sejarah hitam
Di bawah langit ini yang
Sama.
Maksud: Penyajak mendapati manusia sering dipisahkan oleh sempadan negara dan untuk memasuki negara tersebut perlu ada dokumen rasmi seperti pasport dan visa. Penyajak menyeru rakyat di dunia agar sama-sama berjuang mencapai keamanan dunia serta mengikis rasa benci dan dendam.
Tema:
Kesamatarafan manusia walau di mana-mana mereka berada. Walaupun manusia berada dan dipisahkan oleh sempadan, mereka setaraf dan mengimpikan kehidupan yang aman dan harmoni.
Persoalan:
  1. Persoalan keindahan alam semula jadi di sesuatu tempat. Setiap tempat mempunyai keindahan alam semulajadi yang tersendiri.
  2. Persoalan harapan dan impian manusia sejagat untuk kehidupan yang aman dan harmoni. Setiap orang mempunyai impian dan harapan untuk kehidupan yang aman dan harmoni.
  3. Persoalan garis sempadan seringkali memisah dan membezakan manusia. Manusia dipisahkan oleh faktor geografi.
  4. Persoalan kepentingan nilai hormat dan menghormati antara manusia. Nilai ini penting dalam kehidupan.

Nada:

  • Sinis

Nilai:

  1. Nilai menghargai keindahan alam. Keindahan alam perlu dihargai.
  2. Nilai hormat-menghormati sesama manusia. Nilai ini penting dalam kehidupan seharian.
  3. Nilai bertoleransi antara masyarakat. Toleransi penting dalam kehidupan bermasyarakat.
  4. Nilai kerjasama dalam menjayakan sesuatu. Kerjasama penting untuk menjayakan sesuatu.

Pengajaran:

  1. Kita mestilah menganggap manusia sebenarnya sama taraf walaupun di manapun mereka berada.
  2. Kita mestilah menganggap setiap tempat mempunyai keistimewaannya yang tersendiri.
  3. Kita hendaklah sedar bahawa manusia seringkali dipisahkan dan dibezakan oleh sempadan waktu dan tempat.
  4. Kita mestilah mewujudkan hubungan harmoni sesama negara dan rakyat.
  5. Kita hendaklah mengimpikan kehidupan yang lebih baik dan harmoni.

No comments:

Post a Comment