Tuesday, February 15, 2011

Sajak: Pasar Perasaan

Pasar Perasaan
(T. Alias Talib)
Sumber: Bahagian Pembangunan Kurikulum ( KPM )


ini pasar perasaan
pada gerainya duduk penjual sentimental
yang sering dikunjungi pembeli emosional.

Maksud: Penulis mendapati warung atau kedai kopi menjadi gelanggang untuk pengunjung melontarkan pendapat dan berdebat. Perdebatan yang berlaku pula dikuasai oleh emosi.


ini pasar perasaan
mereka memperdagangkan kata-kata
yang terbit daripada kalbu
bukan terbit daripada akal.

Maksud: Semasa berdebat, kata-kata yang dilontarkan lebih luahan perasaan dan bukannya hasil daripada pertimbangan akal fikiran.


mereka memperdagangkan hujah
yang rapuh dan lapuk
bagai kayu buruk;
yang mudah dipatahkan
bagai ranting kering.

Maksud: Mereka juga melontarkan pelbagai hujah sesuka hati tanpa sebarang makna dan fakta kukuh. Hujah-hujah yang begitu rapuh dan mudah disangkal.


ini pasar perasaan
di dalamnya mengalir sungai manusia
yang menghilirkan suara kosong.

Maksud: Di warung jugalah, para pengunjungnya memperlihatkan kelemahan mereka yang kurang ilmu pengetahuan. Perdebatan kosong terus menjadi agenda walaupun tidak membawa kebaikan.


ini pasar perasaan
yang memperdagangkan akal cetek
dan tawar-menawar yang dangkal.

Maksud: Di warung jugalah, para pengunjungnya memperlihatkan kelemahan mereka yang kurang ilmu pengetahuan. Perdebatan kosong terus menjadi agenda walaupun tidak membawa kebaikan.


kumasuki pasar ini
kususuri sungai sibuk ini
di tengah-tengah penjual dan pembeli
yang kaya dengan perasaan
tetapi miskin dengan kebijaksanaan.

Maksud: Penyajak cuba terlibat dan menyelami intipati perdebatan tersebut. Beliau mendapati pendebat-pendebat itu lebih dikuasai emosi ketika berbicara berbanding fakta dan ilmu.


ini pasar tidak berakal
yang diriuhkan kekosongan.
Maksud: Bagi penyajak perdebatan di warung atau kedai kopi hanya sesuai untuk mereka bercakap tanpa berfikir dahulu. Perdebatan nampak menarik tetapi tidak membawa makna.


Tema:

Perbincangan kosong di kedai kopi. Seringkali dikatakan kedai kopi sebagai tempat perdebatan pengunjungnya. Hujah mereka kosong tanpa fakta dan ilmu. Hanya sekadar meluahkan perasaan. Seringkali juga berlaku perdebatan yang sia-sia kerana dikuasai emosi.
Persoalan:
  1. Persoalan perbincangan kosong dan tidak ilmiah hanya sekadar menghamburkan kata-kata dan meluahkan perasaan.
  2. Persoalan luahan pendapat akan menjadi sia-sia kerana kurangnya kebijaksanaan.
  3. Persoalan pendapat tanpa ilmu dan fakta mudah dipatah dan ditepis.
  4. Persoalan kepentingan ilmu pengetahuan dalam menyampaikan hujahan.

Nada:

  • Sinis

Nilai:

  1. Nilai rasional. Kerasionalan diperlukan dalam menyampaikan maklumat.
  2. Nilai kerajinan. Kerajinan diperlukan untuk mencari ilmu untuk menguasai kemahiran.
  3. Nilai kebijaksanaan. Nilai ini diperlukan untuk mengemukakan maklumat
  4. Nilai kesabaran. Kesabaran diperlukan dalam menghadapi cabaran hidup.
  5. Nilai keprihatinan. Keprihatinan terhadap persekitaran amat diperlukan.

Pengajaran:

  1. Kita hendaklah mendengar dengan teliti sebelum memberikan pendapat.
  2. Kita mestilah mengemukakan pendapat yang bernas dan berfakta.
  3. Kita janganlah beremosi ketika berdebat kerana ini akan mendedahkan kelemahan diri sendiri.

1 comment:

Post a Comment