Sunday, February 13, 2011

Sajak: Bangkitlah

Bangkitlah
(Rejab F.I)
Sumber: Bahagian Pembangunan Kurikulum
Anak-anak yang sedang lena
bangkitlah
matahari sudah tinggi
di puncak gunung.
Maksud: Penyajak menyeru anak bangsanya agar sedar daripada terlena dibuai kelalaian. Negara sudah lama merdeka dan semakin maju.
Lihat jernihnya pagi ini
burung-burung berterbangan di uadara
dan pepohon hijau merendang daunnya
apa kau masih belum bangkit?
Maksud: Negara kita semakin makmur dan bangsa-bangsa asing sibuk merebut kekayaan tanah air. Penyajak tertanya-tanya mengapa anak bangsanya masih leka.
Bangkitlah
jangan sesal nanti
madu bumi yang kekeringan
isi laut kekosongan
dan perut belantara menjadi ladang.
Maksud: Penyajak menyeru anak bangsanya supaya bangkit dari lena agar mereka tidak menyesal. Kekayaan hasil bumi negara semakin berkurangan dek pembangunan.
Anak-anak
esok apa yang akan kaumakan?
tanah atau batu atau debu?
kau mahu terus nangis
tanpa air mata?
Maksud: Penyajak berasa risau akan masa depan bangsanya yang mungkin terus ketinggalan dan hidup dalam kesusahan. Beliau tidak mahu bangsanya berputih mata.
Kalau tidak
bangkitlah
matahari belum lagi rembang
dan burung-burung belum lagi menjamah awan!
Maksud: Jikalau bangsanya tidak mahu perkara itu berlaku, mereka perlu bangkit dan berusaha. Masih ada waktu dan kesempatan mereka untuk maju dan mengejar arus pembangunan.
Tema:
Kesedaran anak bangsa perlu untuk bangkit daripada leka dalam mengejar arus pembangunan selepas kemerdekaan. Mereka harus merebut kemakmuran negara agar tidak menyesal.
Persoalan:
  1. Persoalan kepentingan mengejar arus pembangunan. Arus pembangunan perlu disedari dan diikuti oleh anak-anak.
  2. Persoalan kemajuan dan pembangunan negara tidak akan menunggu sesiapa yang leka. Kemajuan dan pembangunan negara tidak akan menunggu sesiapapun.
  3. Persoalan sumber bumi dan khazanah negara semakin berkurangan. Hal ini perlu disedari oleh semua orang.
  4. Persoalan masa depan anak bangsa yang masih leka. Kelekaan anak bangsa merunsingkan penyajak tentang masa depan mereka.

Nada:

  • Patriotik

Nilai:

(i) Nilai kegigihan.

  • Kegigihan diperlukan untuk mengejar kekayaan.

(ii) Nilai kerjasama.

  • Semangat ini diperlukan untuk merebut peluang yang ada.

(iii) Nilai kerajinan.

  • Kerajinan diperlu untuk memajukan diri.

Pengajaran:

  1. Kita tidak boleh leka walaupun telah merdeka.
  2. Kita perlu merebut peluang yang ada.
  3. Kita perlu bersaing dengan bangsa lain untuk maju.
  4. Kita janganlah leka kerana kelekaan menyebabkan kita menderita dan terus dihimpit kemiskinan.

No comments:

Post a Comment