Wednesday, September 8, 2010

Bank SPM: Karangan Bhg A

KARANGAN BERDASARKAN BAHAN RANGSANGAN merupakan karangan pendek, iaitu karangan yang panjangnya sekitar 200 hingga 250 patah perkataan, berdasarkan maklumat atau pembayang yang diberikan. Bahan grafik, gambar kartun, gambar foto, bahan prosa dan sebagainya dapat dijadikan bahan rangsangan untuk membimbing calon SPM untuk menghasilkan karangan pendek.
Walau bagaimanapun karangan berdasarkan bahan rangsangan perlu sekurang-kurangnya terdiri daripada lima perenggan, iaitu pengenalan, tiga isi dan kesimpulan. Pengenalan dan kesimpulan karangan jenis ini ditulis lebih kurang tiga ayat, panjang setiap isi pula dalam lingkungan lima hingga enam ayat. Oleh sebab 30 markah diperuntukkan, calon dinasihati agar menggunakan masa tidak melebihi 45 minit untuk menjawab soalan. Sebaik-baiknya calon menggunakan 10 minit untuk mentafsir dan merangka isi, 30 minit menulis atau mengedit, dan lima minit untuk menyemak karangan.
Untuk menghasilkan karangan berdasarkan bahan rangsangan yang baik, karangan yang dihasilkan hendaklah menepati tema atau kehendak soalan yang digambarkan dalam PENANDA TUGASAN. Isi karangan pula perlu dihuraikan dengan paparan fikiran yang jelas dan matang, sesuai dengan isu atau tema yang diketengahkan dalam soalan. Bahasa yang digunakan hendaklah gramatis dari segi penggunaan kata dan ayat. Dengan kata lain, calon patut menggunakan kosa kata yang mencerminkan mutu bahasa peringkat SPM serta menguasai struktur ayat, jenis ayat dan ragam ayat bahasa Melayu dengan baik.
Selain itu, karangan calon hendaklah bebas daripada kesalahan ejaan dan penggunaan tanda baca mestilah tepat. Untuk menjalin idea dengan baik, calon hendaklah memaparkan keupayaan penggunaan penanda wacana dan kata hubung dengan betul di tempat yang sesuai. Gaya bahasa penulisan calon perlu dititikberatkan dengan menyelit peribahasa Melayu, seperti simpulan bahasa, pepatah, bidalan, dan perumpamaan, atau kata-kata hikmat, cogan kata yang sesuai dengan konteks isi yang disentuh. Bagi calon yang arif dalam agama, ayat daripada kitab suci boleh dipetik untuk mengukuhkan hujah yang ingin disampaikan.
Bagi calon yang akan menduduki SPM silalah muat turun di sini untuk melihat contoh karangan Kertas 1 Bahagian A berdasarkan bahan rangsangan.

No comments:

Post a Comment