Friday, September 24, 2010

MEMAHAMI POLISEMI DALAM PEPERIKSAAN PMR

Kategori : Tatabahasa PMR



Dalam pertuturan sehari-hari, kita sering terdengar kata-kata yang mempunyai pelbagai makna. Hal ini demikian kerana sesuatu makna bukan sahaja membawa makna seperti yang terdapat dalam kamus semata-mata, tetapi dilihat juga dalam konteks penggunaannya. Dalam bahasa Melayu, terdapat beberapa banyak perkataan yang mempunyai makna yang pelbagai. Misalnya, perkataan badan yang mendukung makna tubuh, luka membawa makna cedera dan boleh juga membawa maksud tersinggung. Perkataan Beradu yang bermakna tidur boleh juga membawa maksud berlawan atau bertanding. Makna yang pelbagai atau disebut polisemi dalam kajian semantik merujuk kepada sesuatu perkataan atau frasa yang mendukung dua atau lebih makna yang berbeza-beza. Perkataan yang polisemi adalah serupa dari segi bentuk dan ejaan tetapi berbeza makna berdasarkan konteks yang berlainan.
Konteks sememangnya sangat nyata boleh menentukan makna sesuatu perkataan atau sesuatu ujaran. Konteks dibahagikan kepada dua, iaitu konteks ayat dan konteks situasi atau disebut juga sebagai latar ujaran. Ada tiga perkara yang terlibat dalam konteks situasi:
  1. Orang yang mengambil bahagian dalam pertuturan.
  2. Tajuk atau perkara yang diperkatakan.
  3. Kesan daripada pertuturan tersebut.

Dalam masyarakat Melayu, seorang anak tidak boleh menggunakan perkataan "aku" atau "engkau" apabila bertutur dengan ibu bapa kerana perbuatan ini dianggap membawa konotasi yang tidak sopan. Tetapi perkataan "aku" dan "engkau" membawa konotasi kemesraan apabila digunakan semasa bertutur dengan kawan rapat.

Tajuk perbincangan atau perkara yang diperkatakan juga dianggap sebagai satu daripada aspek penting dalam konteks situasi. Sebagai contoh, perkataan "pasang". Kalau dikait dengan tajuk "keadaan sungai", perkataan itu membawa pengertian "air naik atau pasang", tetapi kalau dibincangkan dalam konteks tatabahasa, perkataan ini berfungsi sebagai "penjodoh bilangan".

Ayat ialah unsur bahasa yang penting dalam penentuan makna sesuatu perkataan. Sesuatu perkataan mungkin berubah terus maknanya sekiranya digunakan dalam konteks ayat yang berlainan atau mungkin juga hanya mengalami perbezaan makna yang kecil sahaja.

Oleh itu, untuk MENJAWAB SOALAN No 15 HINGGA 17 Kertas 1 PMR yang menguji kata banyak makna iaitu POLISEMI dalam bahasa MELAYU, pelajar harus selalu berdampingan dengan KAMUS.

Untuk mendapat latihan Ujian Polisemi dalam Kertas 1 PMR Sila Klik dan berbincanglah jawapan dengan GURU BM anda.



No comments:

Post a Comment