Friday, September 3, 2010

Klimaks dalam Novel KOMSAS Tingkatan Satu

Dalam kajian novel, aspek binaan plot merupakan satu perkara penting. Binaan plot merujuk kepada jalan cerita yang disampaikan oleh pengarang yang meliputi permulaan, perkembangan, klimaks dan peleraian.
Klimaks ialah kemuncak cerita yang menjadi titik paling tinggi dalam konflik watak utamanya. Sesebuah karya pasti memiliki titik klimaks kerana tanpa klimaks, cerita akan mendatar dan tiada daya tarikan.
Untuk memudahkan pelajar mengenal pasti klimaks yang terdapat dalam novel yang dikaji, terdapat beberapa perkara hendaklah diberi perhatian, iaitu klimaks ada kaitan dengan tema dan persoalan novel, klimaks biasanya melibatkan watak utama, klimaks membawa perubahan kepada diri watak dan klimaks menyelesaikan konfliks watak utama dengan watak lain.
Oleh sebab itu, klimaks dalam Novel Anak Din Biola ialah pengumuman Budiman sebagai Juara Bintang Kota Raya. Hal ini demikian kerana sepanjang perkembangan plotnya, fokus utama cerita ialah usaha Budiman untuk belajar bermain biola dan memenuhi wasiat bapanya. Maka, apabila Budiman diumumkan sebagai juara, terjawablah segala konflik yang diwujudkan sejak awal cerita.
Perkara ini dapat diringkaskan seperti yang berikut:
  • TEMA : Kegigihan seorang remaja melaksanakan amanat arwah bapanya supaya dia berjaya dalam bidang muzik.
  • WATAK UTAMA: Budiman.
  • KONFLIK: Memenuhi wasiat arwah bapa.
  • KLIMAKS: Budiman berjaya menjadi juara Bintang Biola Remaja Kota Raya.
  • PENYELESAI KONFLIK:Budiman berjaya memenuhi impian arwah bapanya.

No comments:

Post a Comment