Sebagai pelajar, perancangan tentang kerjaya pada masa hadapan perlu kalian rancang sejak dari awal. Apabila perancangan awal dibuat, kalian mempunyai waktu yang banyak untuk menentukan arah aliran pendidikan bagi mencapai cita-cita. Pendidikan di peringkat sekolah rendah banyak memperkenalkan kalian dengan pelbagai perkara baharu, seperti membaca, mengira, menulis dan kemahiran asas bergaul dalam masyarakat.
Sementara pendidikan di peringkat sekolah menengah pula membuka peluang kepada setiap individu untuk lebih bijak merangka asas kerjaya mereka. Pada ketika inilah arah aliran ditentukan oleh kalian berdasarkan minat dan pencapaian akademik yang dicapai terutama selepas PMR.
Selepas PMR kalian boleh memilih aliran yang dikehendaki, seperti aliran sains, sastera, vokasional dan agama. Pemilihan aliran berdasarkan minat, keupayaan diri, dan pencapaian PMR amat penting kerana dapat membentuk kerjaya masa hadapan kalian.
Setelah memilih aliran yang bersesuaian, kalian seharusnya mempunyai matlamat untuk berjaya dalam SPM yang merupakan peperiksaan yang menentukan arah aliran kerjaya seseorang individu. Bagi individu yang hanya berbekalkan pencapaian SPM untuk mencari pekerjaan, mereka tidak banyak mempunyai pilihan dalam menentukan bidang pekerjaan yang diminati.
Corak kerjaya menjadi lebih jelas apabila kalian berjaya menamatkan pendidikan di peringkat tinggi. Kerjaya selepas menamatkan pengajian, terutama di peringkat diploma dan ijazah sarjana muda, lebih memudahkan pemilihan kerjaya. Contohnya, dengan kelulusan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan, seseorang itu boleh menjadi seorang pegawai akauntan sama ada di sektor kerajaan ataupun swasta.
Perkembangan ekonomi dunia hari ini tidak hanya memerlukan sesebuah negara itu memberikan fokus kepada satu bidang semata-mata. Sebaliknya, melibatkan pelbagai bidang agar sesebuah negara itu tidak terlalu bergantung pada sesebuah negara lain untuk mendapat sesuatu produk. Hal ini demikian kerana kenaikan harga bagi satu-satu produk dari negara pengeluar akan memberi kesan kepada negara yang mengimport produk tersebut.
Justeru, kerajaan cuba mempelbagaikan produk negara supaya tidak hanya memberi fokus kepada bidang perindustrian, tetapi turut memberi perhatian terhadap sektor yang lain. Sehubungan dengan hal itu, kerajaan sentiasa menggalakkan graduan agar menyertai bidang pertanian kerana bidang ini mampu memberi pendapatan yang lumayan kepada individi yang gigih berusaha. Dasar kerajaan bertujuan untuk melahirkan petani moden dan berketerampilan agar mampu mengeksport produk pertanian Malaysia ke luar negara. Dasar ini telah membuka peluang pekerjaan yang banyak bagi individu yang bijak memanfaatkan peluang yang diberi oleh kerajaan.
Selain bidang pertanian, sektor perindustrian juga menawarkan peluang pekerjaan yang cerah. Kerjaya dalam bidang kejuruteraan, pembinaan, automobil, dan sebagainya menanti kalian. Bidang perindustrian akan terus berkembang dengan pesat kerana bidang ini dikenal pasti antara bidang yang banyak memberikan pendapatan kepada negara dan seterusnya berjaya menaikkan taraf kehidupan rakyat. Perindustrian akan terus berkembang dan menjana pembangunan negara.
Selain itu, bidang perubatan merupakan bidang yang masih mengalami kekurangan sumber tenaga mahir sebagai menampung keperluan negara sejajar dengan nisbah yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia ( WHO ). Bidang ini termasuklah perubatan, farmasi, kejururawatan, dan sebagainya. Keperluan dalam bidang ini semakin mendesak dengan pembinaan pelbagai pusat perubatan kerajaan dan swasta di seluruh negara. Kekurangan tenaga kerja dalam bidang ini juga disebabkan oleh tenaga mahir tempatan berhijrah ke luar negara kerana faktor upah yang lebih tinggi.
Isu dan masalah dalam sistem pendidikan, terutama dalam bidang perubatan, timbul apabila terlalu banyak pelajar yang mendapat keputusan cemerlang yang berminat untuk mengambil jurusan perubatan di IPTA. Hal ini menyebabkan kerajaan terpaksa campu tangan untuk mengatasi masalah ini. Selain itu, kerajaan juga mewajibkan pelajar lulusan ijazah pertama dalam bidang perubatan, farmasi atau pergigian bekerja di sektor awam sekurang-kurang bagi tempoh tiga tahun. Hal ini demikian adalah untuk mengatasi masalah kekurangan doktor di hospital kerajaan. Situasi ini jelas menunjukkan bahawa pelajar yang menyertai bidang perubatan mempunyai peluang yang amat cerah. Hal ini ditambah lagi oleh persepsi masyarakat yang memandang tinggi individu yang bergelar doktor, doktor gigi, atau ahli farmasi.
Pertambahan penduduk menyebabkan negara amat memerlukan individu yang menjadikan bidang perubatan sebagai kerjaya mereka. Bagi kalianyang dalam aliran sains tulin dan bercita-cita ingin menjadi doktor, doktor gigi atau ahli farmasi, syabas diucapkan. TEKUN BERUSAHA PASTI IMPIAN AKAN JADI KENYATAAN.
Untuk pengetahuan kalian, maklumat tentang kerjaya di dalam negara terlalu banyak. Kalian memerlukan inisiatif sendiri untuk mendapat maklumat tentang kerjaya pada masa hadapan. Kalian boleh mendapat khidmat nasihat dan bimbingan daripada guru di sekolah, terutama guru kaunseling. Pemilihan kerjaya perlu disesuaikan dengan minat, kelayakan akademik, budaya dan panduan dari sudut keagamaan. Hal ini amat penting kerana kerjaya akan menentukan arah tuju negara dan kedudukan masyarakat Malaysia pada masa hadapan.
Kita amat bertuah kerana menjadi warganegara Malaysia. Peluang pekerjaan terbuka luas kepada sesiapa yang berusaha ke arah kejayaan. Namun begitu, yang paling penting ialah belajar bersungguh-sungguh sehingga mendapat kejayaan cemerlang dalam pelajaran. Daripada kejayaan tersebut pasti pelajar mampu memilih kerjaya yang dicita-citakan demi menjami masa hadapan yang cemerlang untuk agama, bangsa, dan negara tercinta.
No comments:
Post a Comment