Tuesday, August 24, 2010

Syair Definisi Orang Berakal

Syair Definisi Orang Berakal


Orang berakal sangatlah mulia,
Pakaian anbia dan aulia,
Barang siapa mengikut dia,
Itulah tanda orang bahagia.
Orang yang berakal merupakan orang mulia. Orang berakal juga seumpama pakaian bagi para nabi. Sesiapa sahaja yang mengikut ajaran orang yang berakal akan bahagia.
Kerana ia akalnya tajam,
Menjadi kepala bela bermacam,
Jikalau mata melihatkan kejam,
Disebutlah jalannya ia tersunjam
Orang yang berakal mempunyai pemikiran yang tajam. Jika menjadi ketua, mereka akan membela orang bawahan. Jika melihat sesuatu yang tidak baik, mereka akan membetulkannya.
Telek pandangan dengan makrifat,
Sangatlah mengasihi tuan dan sahabat,
Tiada mengasihi orang yang jahat,
Takut akhirnya menjadi fazihat.
Orang yang berakal mempunyai pandangan yang jauh dan kerohanian yang tinggi. Mereka juga amat mengasihi rakan-rakan dan majikan. Orang yang berakal akan menjauhi orang yang jahat kerana khuatir akan mendatangkan musibah kepada diri.
Sebagai lagi tanda berakal,
Perintah syarak tidak menyangkal,
Menjauhkan tamak hendak takwa,
Ibanya tahu dunia tak kekal.
Orang yang berakal akan mematuhi hukum agama. Mereka tidak bersikap tamak dan memperbanyak tawakal. Hal ini demikian kerana mereka tahu dunia ini hanyalah sementara sahaja.
Jika ia dikasihi raja,
Tiadalah ia melanja-lanja,
Tiadalah menyombong pada bekerja,
Dengan taulannya bersamaan sahaja.
Jika orang berakal ini dikasihi raja, mereka tidak akan membuat sesuatu sesuka hati. Mereka juga tidak akan sambalewa ketika bekerja dan bersikap biasa sahaja terhadap rakan-rakan.
Apabila raja kasih sangat,
Makin itu makin ia ingat,
Segala taulannya hatinya dihambat,
Merendahkan diri serta berkhidmat.
Semakin raja mengasihinya, orang yang berakal tetap berhati-hati. Mereka akan sentiasa mengambil hati sahabat dan sentiasa merendah diri.
Demikian lagi dengar olehmu,
Tanda berakal kasihkan ilmu,
Suka mentelaah tiadalah jemu,
Mencari kupasan jangan tersemu.
Orang yang berakal juga sangat suka akan ilmu. Mereka akan menelaah tanpa perasaan jemu. Orang yang berakal tidak akan terpedaya dalam mencari kepuasan dalam kehidupan.
Persoalan
  • kebahagian dapat dicapai jika seseorang itu mencontohi orang yang bijak.
  • kepentingan untuk mematuhi hukum agama.
  • sikap sombong sangat perlu dijauhi oleh semua orang.
  • kepentingan sikap rendah diri terhadap orang lain.
  • kepentingan penguasaan ilmu dalam kehidupan.

Gaya Bahasa

  • perkataan klasik - tersunjam dan melanja-lanja.
  • anafora - Tiadalah ia melanja-lanja, tiadalah menyombonh pada bekerja.
  • Sinkope - Ibanya tahu dunia tak kekal.
  • Asonansi - Pakaian anbia dan aulia. ( perulangan vokal 'a' )
  • Aliterasi - Orang berakal sangatlah mulia ( perulangan konsonan 'l' )

Nilai

  • kasih sayang - sangatlah mengasihi tuan dan sahabat.
  • baik hati - segala taulannya hatinya dihambat.
  • rendah diri - merendah diri serta berkhidmat.
  • tekun - suka mentelaah tiadalah jemu.

Pengajaran

  • kita hendaklah mencontohi orang yang berakal.
  • kita hendaklah menjadi pemimpin yang prihatin akan nasib orang bawahan.
  • kita hendaklah mematuhi hukum-hakam agama.
  • kita tidak boleh mengamalkan sikap melampau dalam kehidupan.
  • kita hendaklah sentiasa merendah diri.

No comments:

Post a Comment