Friday, August 27, 2010

Strategi Menulis Karangan SPM

1. ANALISIS SOALAN


Golongan remaja merupakan aset penting kepada negara pada masa hadapan. Mereka bakal menerajui pemerintahan negara., menjadi tenaga yang akan memajukan negara dan menjaga kedaulatan negara daripada pelbagai ancaman.
Sebagai remaja yang berwawasan, bincangkan peranan anda untuk mencapai ketiga-tiga hasrat tersebut.
  • Tema :- Golongan remaja
  • Isu:- Golongan remaja merupakan aset penting kepada negara pada masa hadapan. Mereka bakal menerajui pemerintahan negara, menjadi tenaga yang akan memajukan negara dan menjaga kedaulatan negara daripada pelbagai ancaman
  • Fokus :- Sebagai remaja yang berwawasan, bincangkan peranan anda untuk mencapai ketiga-tiga hasrat tersebut.

2. MENULIS PENDAHULUAN

Mengandungi 3 komponen ayat utama:-

Ayat 1. Tema

  • Definisi

Golongan remaja ditakrifkan sebagai golongan berusia di antara 15 hingga 20 tahun.

  • Nilai Murni

Golongan remaja di negara ini seharusnya bersyukur kerana mereka dilahirkan dan dibesarkan di sebuah negara yang aman dan makmur seperti Malaysia.

  • Kepentingan tema

Kerajaan meletakkan harapan yang tinggi kepada golongan remaja sebagai pewaris kegemilangan negara pada masa hadapan kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.

Ayat 2. Isu

  • Salin pernyataan dalam soalan

Mereka merupakan aset penting kepada negara pada masa hadapan. Mereka bakal menerajui pemerintahan negara, menjadi tenaga yang akan memajukan negara dan menjaga kedaulatan negara daripada pelbagai ancaman.

Ayat 3. Fokus

  • Bina persoalan berdasarkan fokus soalan

Persoalannya, apakah peranan saya sebagai remaja yang berwawasan untuk mencapai ketiga-tiga hasrat tersebut?

Contoh Pendahuluan Lengkap:

Golongan remaja ditakrifkan sebagai golongan yang berusia di antara 15 hingga 20 tahun. Mereka merupakan aset penting kepada negara pada masa hadapan. Mereka bakal menerajui pemerintahan negara, menjadi tenaga yang akan memajukan negara dan menjaga kedaulatan negara daripada pelbagai ancaman. Persoalannnya, apakah peranan saya sebagai remaja yang berwawasan untuk mencapai ketiga-tiga hasrat tersebut?

3. MENULIS PERENGGAN ISI

Perenggan Isi Pertama:-

Ayat Wacana + Ayat Fokus

Pada pendapat saya, sebagai golongan yang menjadi aset kepada negara, ( AW ) golongan remaja perlulah menghayati dan mengambil pengajaran daripada peristiwa-peristiwa lampau seperti perit pedih pejuang-pejuang negara dalam usaha mendapatkan kemerdekaan dan penat lelah pemimpin seterusnya memajukan negara ( AF )

Ayat Sokongan

Hal ini demikian kerana, perjuangan tokoh-tokoh terdahulu perlulah dijadikan inspirasi untuk meneruskan pembangunan sekali gus melakar sejarah indah buat generasi yang akan datang pula.

Ayat Huraian / Contoh

Golongan remaja perlu sedar bahawa bukan mudah untuk kita mendapat kemerdekaan seperti sekarang. Rundingan demi rundingan, perbincangan demi perbincangan, barulah negara berjaya membebaskan diri daripada cengkaman kuasa asing yang telah lama beraja di mata dan bersultan di hati di negara kita yang tercinta ini.

Ayat Penegas

Justru, sebagai generasi pelapis, remaja perlu memandang ke hadapan dan mengorak langkah dengan penuh yakin agar kemerdekaan negara dapat dikekalkan.

Contoh Isi 2

Golongan remaja juga mestilah sentiasa menguatkan iltizam untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang pendidikan. Hal ini demikian kerana melalui pendidikan, golongan remaja dapat menambah ilmu di dada dan menajamkan fikiran untuk menghadapi hari mendatang. Dengan ilmu pengetahuan juga, remaja akan sentiasa dihargai walau di mana mereka berada. Jika di daratan akan menjadi pokok, dan jika dicampak ke laut akan menjadi pulau. Begitulah diibaratkan orang yang berilmu dan inilah ciri-ciri yang amat dititikberatkan untuk menjadi seorang pemimpin yang berwawasan dan berfikiran luas. Justeru, adalah menjadi tanggungjawab golongan remaja untuk memenuhi ilmu di dada dan mencari sebanyak mana pengalaman sebagai bekalan untuk menjadi pemimpin yang disegani.

Contoh Isi 3

Di samping itu, golongan remaja perlu sentiasa menjaga maruah dan kehormatan diri walau di mana kita berada. Salah satu cara untuk mencapai hasrat tersebut adalah menjauhkan diri daripada kegiatan-kegiatan yang tidak bermoral seperti merokok, penyalahgunaan dadah, dan kegiatan lumba haram. Perbuatan-perbuatan yang tidak senonoh ini memberi gambaran imej yang jelas bahawa generasi muda kurang bersedia menerima amanah. Hal ini demikian kerana pemimpin yang berakhlak buruk tidak akan dihormati rakyat, apatah lagi untuk untuk mencapai kecemerlangan dalam pemerintahan. Dari sudut pandangan yang lain, generasi yang tidak bermoral ini dilihat hanya akan menjatuhkan dan meruntuhkan kestabilan negara yang telah dicapai hampir setengah abad. Justeru, golongan remaja harus sentiasa berhati-hati memilih rakan dan sentiasa berusaha mengelakkan diri daripada terjerumus ke kancah-kancah maksiat.

Contoh Isi 4

Selari dengan perkembangan ekonomi dan ledakan teknologi maklumat kini, golongan remaja perlu sentiasa peka dengan keadaan sekeliling dan perubahan yang berlaku sama ada di dalam ataupun di luar negara. Hal ini demikian kerana, remaja perlu sentiasa bersaing dan menggunakan peluang yang ada dengan sebaiknya agar dapat memaksimumkan keupayaan dan kebolehan diri sendiri dalam usaha untuk memajukan diri, bangsa, dan negara, berfikiran luas, terbuka, dan sentiasa rasional adalah sifat-sifat yang sangat perlu dalam pembentukan sahsiah seseorang bakal pemimpin. Contoh yang paling tepat ialah Tun Dr. Mahathir Mohammad, bekas Perdana Menteri Malaysia. Berkat kebijaksanaan dan keterbukaan beliau menerima pendapat dan teguran pihak lain, beliau berjaya memacu negara ke peringkat yang amat tinggi dan membanggakan. Oleh sebab itu, remaja haruslah menjadi sifat-sifat terpuji beliau sebagai pendorong dan inspirasi untuk mengekalkan kedaulatan negara dan membawa negara ke aras yang lebih tinggi.

Contoh Isi 5

Bidang sains dan teknologi amat penting dalam era globalisasi kini. Kerajaan dan pihak swasta, semuanya menumpukan perhatian kepada bidang yang mempunyai prospek dan masa hadapan yang cerah ini. Golongan remaja sebagai penggerak kemajuan negara, perlulah melibatkan diri dalam sektor-sektor berkaitan sains dan teknologi untuk memastikan perkembangan bidang ini yang berterusan. Kita perlulah mengambil dan menggunakan sepenuhnya peluang yang diberi agar dapat merealisasikan kemajuan sains dan teknologi. Majmis Amanah Rakyat ( MARA ) umpamanya menyediakan banyak peluang kepada rakyat, khususnya kaum bumiputera untuk melibatkan diri dalam bidang sains dan teknologi. Justeru, sebagai generasi pelapis, kita perlulah melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti berkaitan sains seperti Pertandingan Rekacipta, Pertandingan Inovasi Sains, Kuiz Sains Nasional, dan Pertandingan Mereka Laman Web.

Contoh Isi 6

Selain itu, golongan remaja perlu sentiasa menyokong usaha dan langkah-langkah yang telah diambil oleh pihak kerajaan melalui kementerian di bawahnya untuk memajukan Malaysia. Hal ini demikian kerana sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada semua pihak terutamanya golongan remaja, yang merupakan kumpulan majoriti adalah sangat penting. Remaja perlu menyahut seruan kerajaan dengan minda terbuka dan melaksanakan segala rancangan tersebut dengan jayanya. Contohnya, kempen membaca, kempen derma darah dan Progran Latihan Khidmat Negara. Pelbagai makna tersirat ingin disampaikan oleh kerajaan melalui kempen-kempen yang aktiviti yang dilaksanakan oleh badan-badan dan kementerian seperti Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Kesihatan, dan Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga. Pelbagai faedah akan diperoleh jika rancangan dan kempen tersebut mendapat perhatian dan penghayatan daripada golongan remaja. Antaranya, lahirlah golongan yang bersikap penyayang, matang, liberal, dan saling membantu. Justeru, adalah sangat perlu bagi remaja memainkan peranan mereka dalam menyokong seratus peratus dasar-dasar kerajaan.

4. MENULIS KESIMPULAN

Mengandungi 3 item yang utama:

  • Saranan
  • Harapan
  • Rayuan /Sinis

Contoh:

Sebagai kesimpulan, golongan remaja sememangnya mempunyai tanggungjawab yang besar untuk menerajui pemerintahan negara, menjadi tenaga untuk memajukan negara, dan menjaga kedaulatan negara. Seyogia diharapkan, golongan remaja akan memandang serius segala perubahan yang berlaku serta mengambil tahu senario politik semasa agar dapat menjadi asas untuk menjadi pemimpin yang berjaya. Jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Oleh itu, semua pihak harus berganding bahu membantu golongan remaja dalam usaha untuk memastikan tampuk pemerintahan negara pada masa akan datang akan mempunyai pelapis yang berwibawa.

No comments:

Post a Comment