Thursday, August 19, 2010

PANTUN EMPAT KERAT ( Jenaka dan Sindiran )

Pantun Empat Kerat ( Jenaka dan Sindiran )

Apa guna berkain batik,
Kalau tidak memakai capal;
Apalah guna beristeri cantik,
Kalau tak pandai menumbuk sambal.

Menyindir seseorang yang mempunyai isteri yang cantik, tetapi tidak pandai menguruskan rumah tangga.




Dari Kelang lalu ke Jawa,
Naik sigai ke atas atap;
Ikan kering lagi ketawa,
Mendengar tupai membaca kitab.

Peristiwa lucu yang mustahil berlaku dijadikan gurauan dalam masyarakat.




Ambil segulung rotan saga,
Suruh diambil mari diurut;
Duduk termenung harimau tua,
Melihat kambing mencabut janggut.

Kelakuan lucu dijadikan sindiran dalam masyarakat. Kambing yang sepatutnya menjadi makanan harimau hanya dapat dilihat kerana ketidakupayaan harimau sendiri.

Kupu-kupu terbang melintang,
Hinggap menghisap bunga layu;
Hati di dalam menaruh bimbang,
Melihat ikan memanjat kayu.

Kebimbangan seseorang apabila melihat sesuatu yang aneh berlaku di persekitaran


Lebat sungguh padi di paya,
Kayu tumbang tepi pangkalan;
Hairan sekali hati saya,
Burung terbang disambar ikan.

Kehairanan seseorang apabila melihat sesuatu yang tidak sewajarnya telah berlaku. Sepatutnya ikan disambar burung, tetapi keadaan yang berlaku adalah sebaliknya.


Persoalan

  • Persediaan yang perlu dilakukan oleh seseorang wanita sebelum berumah tangga.
  • Kepentingan ilmu pengetahuan.
  • Kepentingan kuasa dan kekuatan dalam usaha meneruskan kehidupan.
  • Kebimbangan masyarakat tentang perlakuan aneh dalam masyarakat.
  • Kekuatan seseorang tidak akan kekal untuk jangka masa panjang.

Gaya bahasa

  • Pemilihan kata (diksi) yang indah - Apa guna berkain batik; kalau tidak memakai capal.
  • Inversi - Duduk termenung harimau tua.
  • Sinkope - Kalau tak pandai menumbuk sambal.
  • Asonansi - Duduk termenung harimau tua (perulangan vokal 'u')
  • Aliterasi - Burung terbang disambar ikan. (perulangan konsonan 'r')

Nilai

  • Bijaksana - bijak mengurus rumah tangga.
  • Rajin - berusaha menuntut ilmu.
  • Prihatin - mengambil berat segala peristiwa yang berlaku.

Pengajaran

  • sebagai seorang isteri kita hendaklah pandai menguruskan rumah tangga.
  • kita hendaklah berusaha untuk mencari ilmu pengetahuan.
  • kita hendaklah prihatin terhadap peristiwa yang berlaku.
  • kita hendaklah sentiasa berwaspada dalam kehidupan.

3 comments:

Anonymous said...

hahahha!!!!!!

Anonymous said...

rupa2nya,,,cikgu lama ku...hihihi...

Unknown said...

terima kash diatas maklumat BM,cikgu....

Post a Comment